Sunday 29 November 2020

TELAGA ITU

 Sebuah telaga di tepi bendang.. di kampung lama kami... 

Tempat kami berkongsi mandi, membasuh & mendapatkan bekalan air minuman. Telaga itu dikongsi oleh 4 keluarga. Tidak pernah ada jadual untuk siapa yang patut dulu mandi atau membasuh atau mencedok ainya mengisi tempayan minuman. Pandai-pandailah menggunakan mata untuk melihat ada kelibat jik orang sedang mandi. Pandai-pandai telingalah untuk mendengar bunyi basuhan menandakan ada orang sedang membasuh.Jika yang mandi & yang membasuh itu sejantina, pergi sajalah. Bukankah sambil mandi, sambil membasuh boleh juga bertanya berita, berkongsi sabun jika sudah kehabisan. Tapi andai yang sedang mandi & membasuh itu lain jantinya, tunggulah sekejap. Tidak begitu manis, apatah lagi jika yang sedang mandi itu anak gadis. Tentu ada malu & segannya. Cuma kadang bila terdesak untuk berkejar kemana-mana pepandailah mencari ruang untuk mencelah mandi. Anak dara yang sedang berkemban itu jangan diusik. Anak dara juga walau berkemban, pepandailah tutup bahumu yang terdedah dengan kain batik atau tuala.Jika yang membasuh itu pangkatnya makcik & nenek, boleh sahaja berbual bicara sambil mandi.. in sya Allah tidak berlaku fitnah. Tapi jika isterinya orang, cukup sekadar menegur sepatah menandakan kamu terdesak menggunakan telaga  untuk bersegera. Tak perlu terlalu beramah mesra. Telaga bukan tempat nya. Telaga itu bulat. Jika yang membasuhnya disebelah sana, bukankah ada lagi ruang disebelah sini untuk mencedok airnya. Hati-hati semasa mencedok airnya, jika terlepas tali timba, satu masalah juga kepada semua. Jika timbanya dibuat daripada gelen minyak disel plastik masih ada pilihan kerana timbanya masih timbul. Carikan ranting kayu yang panjang, kaitlah tali timba tu & tarik ke atas. Teruskan mandi. Tapi andai timba daripada tin minyak kelapa cap  udang yang potong separuh itu, andai terlepas talinya, tenggelamlah ia ke dasar telaga bersama talinya. Boleh dapatkan galah yang tersandar dipohon rambai tu, tapi nanti keruhlah telaga digagau galah yang mencari punca tali timba. Untung nasib dapat juga tali timba tersangkut pada galah & naik lah semula timba itu kedarat. Jika tidak bersemadilah timba itu didasar telaga. Tunggulah musim kemarau akan terungkaplah segala rahsia di dasar telaga .Kalau yang jujur, maka dibuatlah timba baharu sebagai ganti. Selalu terjadi si penjatuh timba akan mendiamkan diri bila semua orang sudah riuh mencari timba. Mana tidak riuh, yang baru balik dari bendang ada selut hendak dicucikan. Yang balik dari motong, ada bau yang hendak dibersihkan. Habis riuh, timbanya tidak juga muncul, tahulah mereka timba sudah tenggelam di dasar telaga.Tidak perlu ditanya siapa pembuat onar, tapi jalan penyelesaian harus difikirkan. Bukan mudah mendapatkan tin minyak masak @ gelen minyak disel untuk menggantikan timba yang tenggelam. Altenatifnya upih pinang di potong dilipat menjadi bentuk timba. Segala akar menjalar dihutan rumbia dipintal panjang & diikat pada timba  upih pinang. Dapatlah semua 4 seleluarga mencedok air semula. Cuma kelemahan menggunakan timba upih ini ia terlalu ringan & semasa dijatuhkan ke dalam telaga ia sukar diterbalikkan bagi membolehkan air dicedok. Puas menggerakkan tali baru air terisi.Tapi apa pilihan yang ada? Tunggulah hari Sabtu nanti tokwan akan ke pekan menjual anor & kok. Sebelum balik bolehlah tokwan minta gelen atau tin minyak kosong dari Cina AhKuang. Jerat lembu yang tersimpan di alang jelapang boleh dijadikan tali timba. Akan bergantilah timba baharu nanti. Tinnya harus dipotong separuh. Timbanya jangan terlalu besar & tinggi. Nanti tidak terangkat oleh anak-anak kecil yang mamdi. Dapat mandi dengan adanya timba baru juga sudah menjadi  satu keterujaan. Maka anak yang sehari sekali mandi akan berulang 3 kali sehari mandi bertimbakan tin minyak atau gelen plasti yang baru. 

Saya yang masih bersekolah rendah, akan berulang alik sehari beberapa kali mengangkut air untuk membasuh pinggan & untuk isi ditempayan. Jika langit mendung, emak sudah berpesan, salin tempayan. Buang semua sisa air lama & basuh bersih. Isi tempayan penuh-penuh. Jika hujan turun nanti air telaga akan keruh. Jika hujan berterusan air telaga akan bertambah keruh & terpaksa menunggu berhari-hari untuk ainya kembali jernih. Sebab itulah bila mendung mesti pastikan tempayan penuh berisi. Jika tidak, air keruhlah menjadi minuman. Jika musim hujan, andai air kosong dihidangkan itu jernih, menandakan anak gadis rumah tersebut seorang yang rajin & beringat. Jika gelas dihulur airnya keruh,pelbagai andaian boleh disimpulkan. 


Kini telaga itu sudah berkubur. Kampung itu sudah usangSelepas tokwan meninggal, kami berpindah. Rumah tokwan juga sudah tidak berpenghuni. Hanya tinggal 1 rumah. Pun sudah berperigi sendiri. Kini air  paip sudah mengambil alih. Sesekali pulang kenangan itu masih utuh. Beberapa bulan yang lepas ketika Raya Haji, saya bersama Achik cuba menjejak tapak telaga itu. Malang tidak kami ketemu. Landskapnya sudah berubah. Penuh semak samun tidak berbela. Pohon rambai juga sudah tiada kesan tunggulnya. Bendang di tepi telaga juga sudah hilang bentuknya. Hendak berlama juga sudah tidak berani. Saya & Achik tinggalkan kawasan telaga. Telaga itu sudah hilang. 

Saya hanya mampu memberi gambaran. Berdasarkan bayangan kenangan masa silam. 


Ilustrasi : by Cella (medium pen & water colour) 



8 comments:

  1. Tetiba sy teringat pada peribahasa, "Mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan'.. hurmm.. soalannya, pernah tak terjadi, hari tak jadi hujan, tapi tempayan dah kosong?

    Saya ada jugak tau pengalaman mandi di telaga, mandi air hujan, mandi air perigi ni, tapi cuma sekali sekala aje bila balik kampung atuk dan pergi jalan2 ke rumah mak angkat, itupun dah cukup rasa sukar.

    ReplyDelete
  2. Peribahasa tu bagi yang tadah air hujan untuk penuhkan tempayan kot.. Hihihi
    Kalau perigi memang dah ada air jernih, kalau nak hujan kena penuhkan temoayan dengan air telaga yang masih jernih. Kalau dah hujan airnya keruh..

    Mandi perigi dengan mandi air paip memang lah jauh lebih susah mandi perigi.Tapi yang ajaibnya walaupun perigi nampak bahaya tapi tersangat jarang mendengar ada orang jatuh perigi. Selepas telaga manual kami sempat merasai pengalaman guna telaga pam sebwlum datangnya bekalan air paip tahun 90's

    ReplyDelete
  3. Kenangan itu sangat mahal harganya. Tiada nilai yang setanding dengannya. Hiba rasanya bila kembali ke tempat lama tapi suasana sudah berubah. Patutlah ada ungkapan, tempat jatuh lagi dikenang, dan lagu-lagu kenangan mengusik jiwa.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul kan cikgu..
      Tempat jatuh lagi dikenang.. Inikan pula tempat bermain, tempat membesar.

      Delete
  4. Teramat cantik lukisan Cella menghimbau kenangan Masa sekolah selalu lukis sawah padi dgn gunung 2 ketul tu. Dulu 2 kad selamat hariraya mesti Ada lukisan cengini.masa sekolah subject seni paling benci sbb tak de bakat seni. Bila buat lukisan tangan asik kena ketuk dek cikgu.tu la kengkadang cikgu pn punca kita jadi keras hati.
    Air telaga sumber air mineral masa budak togok je dari timba

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hihihi..
      Itu la saya ada cakap pasal gunung 2 ketul tu. Saya cakap macam nasi lemak sahaja. Hihihi.

      Saya dulu pun ke sekolah tidak pernah bawa bekal air kosong. Kat sekolah pakcik tukang kebun akan cedok air dari perigi di dalam kawasan sekolahisi dalam tong merah. Siapa nak minum ada cawan plastik kat situ. Balik sekolah sepanjang jalan kalau dahaga berhenti tepi jalan tadah sahaja mata air yang mengalir. Dulu air bersih & memang selamat diminum.

      Delete
  5. Dulu masa kecik pon mandi air telaga😘😘
    Cantik lukisan cella👍

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih nayfatimah. Kembang kuncup hidung cella bila baca komen readers yang dia familiar. Sayangnya kesibukan tidak mengizinkan..

      Delete