Wednesday 4 November 2020

LEPAT UBI KAYU

 Saya juga masak Lepat Ubi Kayu untuk berbuka puasa semalam. Sudah lama teringin nak makan lepat ubi kayu. Tapi malas nak mengerjakan. Tengok tempat jual kuih-muih pula tiada yang jual lepat ubi. Bingka ubi ada jual. Tapi tekak orang tua ni pelik sikit. Kalau dah lepat, memang lepat lah, Tak maunya  diganti bingka..Harap-harap jika saya dipanjangkan umur, janganlah saya ni cerewet & menyusahkan anak-anak. Tetiba rasa nak nangis pulak. Padahal nak makan lepat ubi sahaja pun. 


Saya masak lepat ni ketika sesambil menantikan sambal tumis sotong kembang tu pecah minyak. Dah petang sangat, hampir pukul 6 petang. Sekarang waktu solat memang awal. Sebab tu saya ajak anak-anak puasa dengan umpan waktu berbuka awal sekarang ni. 

Pukul 6.59 dah azan maghrib. Saya tidak sabar nak makan lepat ubi. Ketika dikeluarkan dari pengukus memang masih panas dan hasilnya memang lembik melekit. Namun tidak kalah dengan rasa. Teksturnya halus. Rasanya cukup lemak, manis & sedikit masin. Anak-anak leka makan nasi lemak bungkus sambal sotong, saya melayan lepat ubi panas. Makan lebik-lembik memang nikmat sangat. Alhamdulillah. Tapi sepatutnya kuih lepat ubi ni kena masak waktu tengahari kalau nak makan waktu petang supaya kuih sempat sejuk & teksturnya stabil cantik bila nak makan. 


Ni ketika  lepat ubi sudah sejuk. Teksturnya lebih baik. Ada bentuk. Yang ini saya bukakan untuk Cella yang sedang menyiapkan assigmentnya ditengah malam. Saya paksa dia makan sebab nak tahu komennya. Katanya sedap, tapi hanya separuh dimakan. Itupun dengan sudu. Adah langsung tidak menyentuh lepat ubi ni. Nasi lemak sotong dilayannya sampai 2 bungkus sambil meratah sambal sotong. Si bujang melayan juga lepat ni. 3. 4 bungkus juga selesai masuk kedalam perutnya. 



LEPAT UBI KAYU
(10-12 lepat saiz sederhana)

1ketul ubi kayu (1 cawan ubi parut)
1/2 kotak santan (1/2 cawan)
1/2 cawan gula melaka/gula merah
(untuk warna yang lebih gelap, gunakan gula merah/darkbrown)
1/2 sudu teh garam
15 keping daun pisang(layur)

1. Ubi diparut & diperah. Air perahan dibiar mendap.Ambil pati mendapan air ubi tadi dan campur kedalam ubi yang diperah.

2.Campurkan juga gula melaka/garam & santan dan kacau rata. Adunan memang agak berair.

3. Bentang sekeping daun pisang & letak 1@2 sudu adunan. Cepat-cepat bungkus kerana adunan agak beriar. Tetapi jangan risau kerana nanti bila kuih masak ia akan membeku

4. Kukus selama 20 minit & biarkan beberapa jam sebelum hidang supaya kuih sejuk & tekstur kemas.

Cara saya:
Ubi dipotong kecil & diblend bersama 1/2 cawan air. Blend agak halus supaya lebih sedap. Tapiskan ubi blend dalam penapis santan. Perah ubi dengaan menekan-nekan ubi dalam tapis. Biar air ubi mendap menjadi lapisan jernih atasnya & bahagian bawahnya ada mendapan seperti pes tepung. Perlahan-lahan buangkan air jernih kekuningan tu & ambil pes mendapan tu untuk dicamput kedalam parutan ubi. Baru dicampur semua bahan lain

-Jika terus dibuat kuih tanpa perah air ubi, rasanya sedikit pahit(bergantung kepada jenis ubi)

- Pati mendapan ubi, kena ambil & campur semula dalam parutan ubi yang diperah. Ini kerana pati mendapan tu ibarat gam yang membantu kuih melekat dengan baik & memberi tekstur yang lebih halus dan sedap.

-Jika pati ubi tidak diambil, kuih kurang kenyal & rasanya agak kasar.

STEP BY STEP BOLEH LIHAT DI SINI.....


7 comments:

  1. Replies
    1. Sedap tapi nak membuatnya memang kena pujuk mood.. Nak ngejakan ubi tu yang kekadang menguji kerajinan. 😁

      Delete
    2. Salaam buat extra letak dlm fridge. Bila sejuk pun sedap

      Delete
  2. nampak canti betul tekstur lepat ubi yang dah sejuk tu. Sy suka juga makan lepat ubi, tapi nak membuatnya memang tak pandai (malas sebenarnya), sebab tu kagum tengok Mak Cella rajin buat kuih2 tradisi

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kalau saya jadi SK pun saya tak buat🤭
      Baik beli sahaja kalau ada jual. Kadang masak kuih-kuih kukus lembik macam ni bukan ada sangat pun peminatnya😁

      Delete
  3. Lama tak mkn lepat ubi.. Mssa kecik dulu mak selalu buat dalam loyang

    ReplyDelete