Alhamdulillah.. Baru lepas mengadap rezeki. Nasi putih, ayam masak cabai, telur dadar hancur dan ulam kobis mentah. Biasalah makan nasi waktu petang.. Hihihi..
Anak dara sorang ni pun rupanya dari pagi belum makan, hanya minum susu. Nampak saya nak makan nasi, baru dia pun nak makan.Sibuk beronline class dsri pagi
Hari ni saya buatkan Ayam Masak Cabai Cara Dulu-dulu. Orang kampung saya memang panggil cabai sejak dulu. Cili tu rasanya dah masuk tahun 90s baru famous penggunaannya. Satu rumah bau harum masakan ni. Aromanya saling tak tumpah seperti masak cabai dulu-dulu seperti yang pernah diajar oleh mak saya & bau yang sama juga jika ada kenduri di kampung yang ada menu ayam ni.Memasak dalam kesunyian pagi, membuatkan aromanya lebih terserlah tanpa gangguan bauan lain.
Kalau dulu kalau ayam kampung biasanya akan dimasak kari atau sup. Manakala kalau ayam putih bela tu (orang kampung saya panggil ayam daging) akan dijadikan masak cabai. Ayam daging ni dah hujung-hujung tahun 80-an baru popular di kampung saya. Awal 80-an seingat saya hanya ada ayam kampung. Tapi lembu @ kerbau memang wajib lah sembelih. Menu sampingan ayam kampung. Ayam daging memang tiada. Yang saya paling saya ingat kali pertama kenduri kat kampung guna ayam daging ni masa perkahwinan sorang ni. Sekarang beliau adalah JKKK kampung. Maklumlah beliau satu-satunya kontraktor berjaya kat kampung masa tu. Salah satunya menu ayam daging masak kari sebab ada jemputannya Cina & mereka Buddha yang tidak makan daging lembu. Disebabkan orang kampunng masa tu sudah biasa masak ayam kampung yang liat, maka ayam daging tu dipotong kecil. Sudahnya kerana dimasak dalam kawah & dimasak lama macam masak ayam kampung, maka habis lerai isi ayam umpama serondeng ayam. Lama juga topik tu jadi bualan hangat dikampung sebab tu saya masih ingat. Lagipun masa tu saya dah sekolah menengah, jadi fahamlah topik yang dibincang.. Beberapa tahun kemudian masa saya masih sekolah menengah, orang kampung mendapat bantuan penternakan ayam daging termasuk keluarga kami. Setiap rumah diberikan sejumlah anak ayam, dedak, pelita ayam hatta bekas air untuk ayam. Orang kampung hanya perlu sediakan reban sahaja. Terbayang lagi reban ayam daging yang ayah saya bina. Leceh rupanya membela ayam daging. Kena sentiasa bagi makan dedak, isi air minuman & malam pun kena pasang pelita. Ayam daging ni juga tidak tahan lasak ssperti ayam kampung yang boleh berdikari. Banyak juga anak-anak ayam belaan orang kampung mati kesejukan kerana tempias hujan & kekurangan pengetahuan. Tapi yang seronoknya masa tu bila dapat makan ayam daging yang lembut & berisi. Selalu makan ayam kampung keras liat sahaja. Hihihi.
Selepas itu tidak nampak lagi orang kampung memembela ayam daging ni. Tapi sejak.masuk 2000's kampung sudah jadi tempat bela ayam daging pula. Setiap kali musim hujan lalat menjadi masalah besar kepada orang kampung. Itu cerita yang saya dengar dari mak. Patutlah bila sesekali kami masak & makan di kampung, sangat banyak lalat.
Sepatutnya ayam masak cabai cara dulu-dulu tiadapun penggunaan kentang. Ini saya hanya tambah kentang yang sudah dipotong wedges dan digoreng masak kedalam masakan tanpa mengubah rasa. Ini kerana anak-anak suka kentang. Lagipun ayam hanya 8 ketul iaitu 1/2 ekor sahaja.
AYAM MASAK CABAI DULU-DULU
1/2 ekor ayam-8 ketul (gaul garam+kunyit)
1/4 cawan minyak
1 sudu garam
2 sudu teh gula perang
Bahan Giling /Blend
30 cili kering - buang biji & rebus
1 bawang besar
5 bawang putih
2 batang serai
3 hiris lengkuas
3 hiris halia
1 ketul kunyit
1. Panaskan minyak dan goreng ayam hingga masak(tak perlu garing)
2. Dalam minyak yang sama anggaran 1/4 cawan, tumis bahan blend hingga naik minyak
3. Tambah garam, gula & masukkan juga ayam yang sudah digoreng.
4. Gaul rata & biar hingga kuah pekat d berminyak.
5. Sesuaikan rasa.
** Hiasannya dulu-dulu memang ditabur hirisan kucai dan bukan daun bawang. Mungkin masa tu kucai lebih mudah didapati berbanding daun bawang. Hihihi.
Sungguh bau & rasanya sangat hampir dengan masakan ayam masak cabai dulu-dulu yangbpernah saya makan. Cuma sedikit kurang dari segi penggunaan kunyit. Sepatutnya guna kunyit hidup yang akan memberi impak sambalnya merah oren yang lebih segar. Tapi saya hanya guna serbuk kunyit. Kuranglah sedikit markahnya dari 90% menjadi 88% sahaja..hihihi
Selepas mengisi bekal anak bujang, bakinya saya isikan dalam bekas untuk lunch 2 anak dara di rumah ni. Kuali bekas masak cabai tu saya gaulkan sesenduk nasi yang masih panas. Makanya, belum subuh lagi saya sudah menjamah nasi. Aduh, terasa kembali ke zaman duku-dulu. Kalau mak masak ayam masak cabai ni atau kalau dikenduri pun memang kuali bekas masak cabai akan digaul nasi. Nikmat & berkat dulu-dulu tanpa sedikit pun dibazirkan. Manakan tidak, nak menghasilkan masak cabai bukan senang. Pijar tangan menggiling cabai dan serai lengkuasnya. Nasi juga hasil beras daripada padi yang ditanam menggunakan tulang 4 kerat membuatkan semua sangat menghargai sumber makanan. Anak-anak memang dididik kutip walau sebutir nasi kerana dikatakan jika dibuang nasi akan menangis. Lama pesanan tu melekat dalam kepala anak-anak zaman dulu. Agaknya sebab itu kehidupan & makanan zaman dulu lebih terasa nikmat & barokahnya....
Nampak sangat menggoda. Akak pun tiap pagi masak nasi dan lauk untuk bekalan anak bujang pergi kerja.
ReplyDeleteKadang seronok kan swkarang ni.. Banyak mengajar kita semua erti bersyukur & merapatkan hubungan keluarga
DeleteBaca entri ini sebelum tidur. Nanti termimpi ayam daging masak sampai hancur terlerai macam serunding. Kenangan mengusik rasa!
ReplyDeleteHihihi...jangan mimpi jumpa tandas sudah la... Hahahaa
DeleteNampak sedap kejadiannya
ReplyDeleteSelamat menjamu selera seisi keluarga.
Alhamdulillah....
DeleteOrang banjar pun kalau lada tu panggil cabai juga mak cella..tetiba teringat arwah mak bila suruh tumbuk lada.
ReplyDeleteResepinya mudah tapi nampak sedap mak cella masak.
Akak orang Banjar yer.. Saya ingat Jowo.. Hihihi..
DeleteDulu masa sekokah pun dalam buki teks cili tu dipanggil lada.. Terbayang lagi gambar lada tu...