Monday, 9 November 2020

SERAWA PISANG NANGKA

Semalam saya masak Serawa Pisang Nangka. Hanya saya yang sebut Serawa Pisang. Anak-anak semua sebut Pengat Pisang. Bendanya sama sahaja. Umpama tembikai dengan semangka. Sama juga dengan bendi, kalau mak saya sebut sebagai kacang lendir. Pengat Pisang ni kalau orang-orang lama kampung saya memang panggil serawa. Sebab ada sejenis lagi kuih dibuat daripada pisang dipanggil Lengat Pisang. Bukan pengat tapi lengat. Lengat tu kalau orang-orang lama diutara memaksudkan sebagai kukus dalam kuali yang mengandungi air. Macam orang Cina selalu kukus ikan bagai tu. Air dididihkan dalam kuali. Dalam air diletak pengalas seperti gegelang atau kekaki & atasnya diletakkan loyang. Kemudian kuali ditutup dengan penutup kuali atau dulang bulat yang muat dengan kuali. Kuih-kuih yang dimasak dalam loyang dengan kaedah begitu dipanggil kuih lengat. Kalau dikukus dalam periuk kukus berlubang tu tetap dipanggil kukus. Sebab pulut dimasak dalam periuk berlubang tu dipanggil pulut kukus, bukan pulut lengat. 


Serawa Pisang Nangka ni asalnya pisang nangka tu saya beli untuk dibuat pisang goreng. Tetapi sudah seminggu belum juga digoreng hingga pisangnya sudah masak benar. Hendak digoreng macam sudah kurang sedap. Hendak dilenyek sebagai cekodok pula, pisang nangka ni ada macam tidak begitu lembut & rasanya juga sedikit masam. Maka saya serawakan dia. 


Serawa Pisang memang ada peminatnya dalam rumah ni. Mungkin sebab saya memang kerap memasak Serawa Pisang terutama kalau bulan puasa.Berbelas tahun juga semasa tinggal di kuaters dahulu, serawa pisang akan menjadi hidangan wajib pada hari pertama puasa. Biasanya digandingkan dengan lauk berbuka hari pertama mesti ada Asam Pedas dan Sambal Goreng. Tetapi itu bebelas tahun dahulu... 


Satu habit saya apabila makan sebarang jenis serawa atau sebarang jenis bubur, saya akan makan bersama cream creaker ni. Saya pun tidak tahu mengapa saya mesti makan macam ni. Emak saya tidak pernah ajar pun, tetapi cara makan bubur/serawa bersama cream creaker ni menjadi kebiasaaan bagi kebanyakan orang utara termasuk, Perlis, Kedah, Penang & Perak Utara. Orang kampung saya tidak menyebut cream creaker tetapi  memanggilnya sebagai Roti 4 Segi. Generasi lagi lama memanggilnya sebagai Roti Lemak. Cream  creaker tu nama modennya. Kalau ke Kedah jangan terkejut jika semua biskut dipanggil "roti". Biskut Marie dipanggil Roti Marie, Biskut Jem dipanggil Roti Jem. Kalau roti pun dipanggil roti juga. Contoh roti kaya, roti krim bagai memang kekal dipanggil roti. Cuma roti paun tu dipanggil sebagai "Roti Benggali" Kalau ke kedai @ Kedah pepandailah hafal nama-nama tu. Hihihi


PENGAT PISANG NANGKA
10 biji pisang nangka
3 cawan santan cair
1 cawan santan pekat
1 keping gula melaka
1/2 cawan gulaputih
1/2 sudu teh garam
2 daun pandan
2 sudu besar sagu- rendam agak-agak 15 minit 

1. Kupas pisang dan potong bulat @serong. 

2. Dalam periuk, masukkan pisang,santan cair,garam dan masak atas api hingga mendidih.

3. Sagu dibasuh dan direndam terlebih dahulu supaya senang masak..

4. Bila mendidih masukkan sagu dan kacau supaya sagu tidak mendap kebawah

5. Bila sagu sudah jernih,masukkan gula melaka,gula putih dan santan pekat

6. Masukkan pula daun pandan dan biar mendidih sekejap sambil dikacau supaya tidak pecah minyak..


19 comments:

  1. Sedap pengat pisang nangka tapi jarang kat sini jumpa org jual pisang nangka.
    Arwah mak mertua akak pun biskut panggil roti.Dulu akak pun keliru juga bila disuruh beli biskut ...lama2 faham sendiri. #Mak cella akak lebih tua dari mak cella tau...dah ada cucu pun.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tempat saya pula memang pisang nangka yang paling banyak.Pisang nipah pula yang susah dapat. Betul tu, kalau di utara nak-nak pula generasi lama memang semua dirotikan. Biskut bagi merwka adalah biskut raya.Heeee,baiklah saya panggil kakak lah.. Terima kasih ya kak.

      Delete
  2. Kalu nak makan serawa kita cari sekut kan...nikmat

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya Naz,kalau tiada biskut macam tidak lengkap pula kan...

      Delete
  3. Tapi Ada setengah tempat serawa tu makan ngan roti Jala atau pulut durian

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya, betul tapi biasa kalau yang makan dengan roti jala tu tidak ditambah sagu. Ada sejenis lagi kuah macam serawa ni dimakan bersama kuih serabai. Sedap

      Delete
  4. Wak pun panggil pengat pisang.
    petang tadi cemilam pisang nangka goreng.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wah, mesti sedap pisang hasil dari berkebun sendiri ya WP. Bila melaihat dusun & kebun WP yang dikongsikan, terujanya saya. Nanti dah pencen nak berkebun juga lah.. Tapi lambat lagi la.. Heee

      Delete
  5. Saya sebut ni pengat, suami sy sebut serawa. Kalau abg ipar sy, dia akan makan dengan pulut, hihi.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Haaaaa, SK dah Kutub Utara vs Kutub Selatan kan memang pertembungan nama tu.. Kalau di Kedah Asam Pedas tu mean Asam Rebus tau...Laksa pun jauh beza kan Laksa Johor & Laksa Kedah. Untunglah SK anak beranak dapat nikmati perbezaan rasa. Saya suka Laksa Johor tapi tak pandai masak.. Tapi saya boleh masak Botok-botok dengan jayanya. Cuma susah nak dapat dedaun yang pelbagai tu

      Delete
  6. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  7. Salaam,

    Biskut cicah serawa atau bubur kacang etc .kalau kat rumah arwah auntie, dia Dari Taiping.

    Not bad kan satu pokok dapat dua buah ie: Pisang nangka.😁😁🤓


    anyway pengat Pisang pengat durian..best...

    ReplyDelete
    Replies
    1. وعليکم اسلام
      Haaa.. So, G pernah makan la bubur vs biskut ni kan. Sedap kan.. Ada tekstur la bila makan, tidaklah telan jer, dapat lah kunyah kan..

      Delete
  8. Apapun semua menu dan cerita yg puan kisahkan disini mengamit memori sehingga boleh mengalir air mata suka dan duka.sentiasa ternanti2 apa pengkesahan seterusnya

    ReplyDelete
    Replies
    1. Mungkin perjalanan kita hampir sama laluannya. Bila bercerita kita terasa dekat dengan moemori lalu kan.. Saya pula rasa mata masuk habuk.. Tetiba...

      Delete
  9. Sedapnya pisang nangka. Ada rasa masam sikit, tu yg unik dari pisang lain. Di tempat saya memang susah sangat nak dapat pisang nangka. Balik Malaya baru dapat makan puas-puas.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul tu cikgu, pisang ni memang unik kan, rasa pisau, baunya nangka, rasa ada masam manis. Kat tempat saya mudah dapat oisang nangka, tapi susahlah pula nk cari pisang sabak macam kat Sabah tu.

      Delete
  10. Sebelum Ada lebuhraya bas jarak jauh bergerak malam smpi kematu punggung tapi Tak de pilihan.nostalgia tol tanjung malim ,pudu Raya templer park. Pengalaman pahit kena gangguan sexual dlm bas

    ReplyDelete
  11. Kalau kat Melaka di panggil pengat ni

    ReplyDelete