Sunday, 8 November 2020

SAYUR PEDAS TENE vs IKAN REBUS GORENG

 Sayur Tene Pedas. Pernah dengar tene? Tene mean sayur petola. Orang Pantai Timur panggil tene. Saya bukanlah orang Pantai  Timur, tapi saya belajar masakan ni daripada orang Pantai Timur. Kerana  itu saya namakan Sayur Tene. Sayur ni diajar oleh seorang rakan sekerja lebih 10 tahun yang lalu. Rakan tu pula lelaki, tetapi memang beliau handal memasak. Fatah namanya. Paling sedap masakannya yang pernah saya rasa ialah Sup Perut. Ini kerana beliau pernah membuka restoran yang menyediakan aneka jenis sup. Dari sup daging, tulang, perut, ekor, paru & segala organ hinggalah kepada sup exotic torpedo. Memang masakannya sungguh sedap. Sayangnya restoran tersebut sudah ditutup. Tidak lah dapat lagi merasai keenakan air tangan Fatah. Tapi ada  3 jenis masakan yang sempat dia ajar saya iaitu Sayur Tene, Ikke Kronge & Ketupat Sotong. Ikke Kronge yang dimaksudkan ialah Ikan Cencaru yang orang Pantai Timur panggil sebagai Ikke Kronge. Manakala Ketupat Sotong memang sama la sebutannya. Biasanya kesemua tu  saya hanya akan masak pada bulan puasa. Bukan ada pengkhususan pun kena masak dalam bulan puasa, tetapi mungkin kerana masakan tu diajar Fatah ketika bulan puasa. Maka setiap kali bulan puasa baru teringat nak masak 3 menu tu. Sayur Tene ni ada 2 versi yang diajar. Satu versi masak lemak & satu lagi versi tumis air. Versi masak lemak, saya selalu masak. Yang versi tumis ni jarang saya masak. 


Sayur Pedas Tene. Pedasnya bukan daripada cili tetapi pedas lada hitam. Bila makan memang berpeluh. Tapi berpeluh sorang-sorang la kerana hanya saya seorang yang makan sayur ni. Nampak sangat ni lauk mak-mak. Anak-anak langsung tidak mahu mencuba waima mencicip pun tidak sudi. 
Saya pernah cakap, jangan terkejut suatu masa nanti ketika kamu semua sudah tua, lauk-lauk yang macam ni lah akan dirindui, kerana, saya juga pernah melalui situasi tersebut. Banyak antara makanan yang saya sangat tidak suka sewaktu kanak-kanak & waktu remaja, sekarang ini menjadi kesukaan seperti kuih-kuih kukus serta makanan tradisional yang lain. Paling ketara ialah bawang. Dahulu saya langsung tidak suka bawang. Jika emak saya masak nasi goreng waktu pagi, saya akan menangis kerana tidak suka bawang. Kalau mak saya masak cucur bawang, memang emak akan asingkan sedikit adunan tanpa bawang untuk saya. Kalau saya masak sendiri memang nasi goreng tanpa bawang. Tetapi sekarang selera sudah berputar 180°.Masak wajib guna banyak bawang. Paling ketara saya menggemari bawang goreng untuk dimakan bersama nasi. Jadi, tidak mustahil makanan yang anak-anak tidak gemari ini akan dirindu apabila mereka sudah tua nanti.


SAYUR PEDAS TENE

1 biji petola (yang ini saya gunakan petola ular)
1 biji cili merah - hiris
2 sudu minyak
1 sudu teh garam

Bahan Tumbuk
1 ekor ikan (ambil isinya sahaja)
1 sudu teh lada hitam biji
2 bawang merah
3 ulas bawang putih

1. Kikis kulit petola. Belah & potong.
2. Panaskan minyak & tumis bahan tumbuk.
3.Masukkan air anggaran 2 cawan & biar mendidih
4.Masukkan petola, cili hiris dan garam
5. Masak hingga mendidih & petola lembut.
6. Sesuaikan rasa. 

Petola ular. Biasa saya guna petola bersegi-segi tu tetapi kali ini saya gunakan petola ular. Petola ni memang ada yang bentuk & saiznya panjang macam ular. Saya hanya memilih  saiz sebesar lengan bayi kerana sudah tahu hanya saya seorang yang akan makan. Harga sayur ini tidak menentu. Yang ini saya beli minggu lepas harganya sebiji ni hanya 99 sen. Tapi kena bayar seringgit lah..., Sayur ni hendaklah dikikis kulitnya sebelum dipotong.


Bahan untuk di tumbuk. Sepatutnya kalau ikut Fatah ajar, ikannya perlu ikan mentah supaya kuah lebih manis rasa ikan. Tetapi yang ini saya menggunakan ikan rebus kerana tiada stok ikan mentah. 


Sayur Pedas Tene ni lebih sedap dipadankan dengan budu. Dahulu saya hanya tahu sayur petola hanya dimasak sayur. Tetapi rupanya diPantai Timur, petola juga direbus & dijadikan ulam yang dicicah bersama budu. Saya pernah ceritakan kepada emak saya bahawa petola boleh direbus untuk dijadikan ulam. Kata emak saya petola memang sedap dijadikan ulam.. Mmm, nampaknya saya salah orang untuk disampaikan info. Hahaha... Kata emak saya, lagi sedap kalau petola dibakar atas bara api untuk dijadikan ulam. Bila saya katakan emak tidak pernah buat pun, emak saya mengatakan  cara itu dibuat ketika makan nasi dikebun/huma. Kata emak saya makan di huma serba kekurangan tiada peralatan memasak. Ikan hanya dipanggang dengan mengepit ikan pada belahan buluh. Ulaman dimakan mentah atau dibakar atas bara api. 


Sayur Pedas Tene saya padankan dengan ikan rebus goreng. Ikan rebus a.k.a ikan lengat dalam bahasa mak saya. Penuh taburan cili padi merah dan bawang goreng. 
Inilah orang yang masa mudanya tidak suka bawang..... (jom ketawakan berjemaah) 


10 comments:

  1. YaAllah Kita serupa bila mak masak kena tumbuk smpi Tak nampak bawang kalau sambal nasi lemak kena asingkn sikit baru masuk bawang.Tene sayur paling Saya benci sbb lembik empulurnya.dah tua ni tene masak ganu blh habis sepoyok

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul la kita ini bersifat baharu kan.. Berubah-ubah mengikut waktu.
      Jangan kita berubah dari perkara baik kepada perkara buruk sudah la kannn

      Delete
  2. Sy penggemar bawang dari dulu, suka jer kalau ada bawang dalam jemput2 ke, dalam sambal sardin ke. Kebanyakan makanan tetap sy suka dari muda tak kisahlah walaupun tu makanan org tua2 jer yg suka, cuma dulu sy tak makan ikan kering, sekarang dah suka makan, hihi

    ReplyDelete
    Replies
    1. Dari segi bawang SK tidak berubah, tetapi berubah citarasa ikan kering la pulak. Bila terbaca SK dah suka ikan kering, saya teringat pernah baca mengwnai mantan PM iaitu Tun M.. Katanya beliau tidak makan ikan tetapi ikan kering beliau makan.. Wallahua'alam....

      Delete
  3. Selamat menjamu selera.
    tene tu wak panggil gambas.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Oh.. Gambas nama lain untuk petola ni yer WP.Info baharu ni untuk saya. Terima kasih WP

      Delete
  4. Salaam sedapnya.. sebagai Fanti petola saya pakai courgette atau zucchini.

    Sedap masak air atau lemak stay goreng.. bako Belum pernah.

    ReplyDelete
    Replies
    1. وعليکم اسلام
      Courgette & zucchini tu sama ker lain-lain. Saya hanya kenal zucchini, sedap pada tekak saya

      Delete
  5. Salaam
    Courgette British panggil. Zucchini American n Italian.samaje...

    Sama

    ReplyDelete
  6. Menu cam nie... Makan panas panas sedappp

    ReplyDelete