Saturday, 7 November 2020

PULUT SAMBAL BILIS

Semalam, sebelum menziarahi sahabat kami yang dilanda musibah banjir di Hulu Langat, saya sempat memasak Pulut Sambal Bilis. Sarapan berat merangkap lunch kerana biasanya ketika cuti, anak-anak akan brunch. Saya pula kalau cuti (walaupun sekarang bekerja dari rumah @BDR)memang jenis mengambil sarapan. Seawal mana bangun, seawal itu juga saya akan mengambil sarapan.Kalau hari bekerja, saya biasa bersarapan bekal di tempat kerja. 



Pulut Sambal Bilis vs Teh O Panas. Pulut sememangnya menjadi makanan ruji ke-2 dalam keluarga saya sejak sekian lama. Seingat saya, sejak dulu-dulu, emak saya pastinya akan memasukkan menu pulut dalam list sarapan pagi. Dalam seminggu pasti ada hari bersarapan pulut. Tidak kira sama ada pulut kelapa kukur dimakan bersama ikan masin, pulut lemak dimakan bersama ikan pekasam. Selalu juga pulut kukus bergaul santan yang kami panggil pulut lemak dilawankan dengan inti kelapa manis.Di tempat saya @ Kedah juga pulut lemak tidak asing dihidangkan bersama buah-buahan yang manis seperti pisang masak ranum, cempedak masak ranum, & nangka masak. Sebaliknya pulut mangga hanya popular sejak beberapa tahun kebelakangan ini sahaja sejak adanya mangga harumanis. Pulut durian memang sudah sebati sejak berzaman. Tetapi dimakan bersama kuah santan mentah yang dicampur sedikit garam. Dalam keluarga saya & kebanyakan keluarga lain dikampung, hidangan pulut bersama, serawa durian, serawa pisang, serawa labu, serawa nangka hinggalah serawa ubi kayu juga bukan sesuatu yang pelik. Biasanya hidangan manis sebegini dimakan terutama musim hujan. 

Di rumah kami, sememangnya bekalan pulut tidak pernah putus. Mungkin kerana  emak dan ayah saya bersawah padi. Selain padi biasa, padi pulut memang ditanam untuk bekalan setahun. Kadangkala diselitkan juga tanaman  padi pulut hitam Jika beras berkurangan di dalam tin simpanan beras, emak saya akan mengeluarkan seguni padi dari jelapang dan menjemurnya dari pagi hingga petang. Sayalah yang akan menjaga padi jemur agar tidak dimakan ayam-ayam belaan emak saya & yang paling geram bila ayam-ayam jiran juga membuat lawatan datang makan padi jemur itu secara berjemaah. Menghalau ayam yang makan padi jemur ini memang stress. Kita halau yang ini, yang lain pula datang menyerbu. Ayam-ayam ni semacam sengaja menguji kesabaran. Begitu juga jika stok beras pulut mulai berkurangan.Cuma seingat saya padi pulut dijemur dalam 1/2 guni sahaja setiap kali. Tujuan padi dijemur terlebih dahulu adalah supaya kulitnya kering & rapuh memudahkan proses memesin padi. Jika tidak dijemur sempurna, natijahnya nanti beras akan banyak antah. Antah tu ialah biji-biji padi yang  tersesat dalam beras kerana tidak terproses oleh mesin. Nanti jenuh, setiap kali hendak tanak nasi, kena tuangkan beras dalam nyiru( mak saya panggil "badang") & kena asingkan antah sebelum tanak nasi. Kalau tidak, mahu tercekik padi/antah masa makan nasi nanti. Sebab itu kena jemur sempurna kering. Setelah padi kering, ayah saya akan menghantar ke kilang memproses beras yang jauhnya lebih kurang 6 batu dari kampung saya. Seguni padi menghasilkan lebih kurang 3 tin beras (tin besar 4 segi yang sama selperti tin biskut timbang di kedai) Sementara beras pulut pula akan ada stoknya 1 tin penuh. Upah kepada kilang beras dibayar dalam bentuk beras. Bermakna tokey kilang beras akan mengambil sebahagian beras sebagai upah. Cuma saya tidak tahu nisbahnya kerana tidak pernah bertanya kepada emak berapa banyak beras yang mereka ambil sebagai upahnya. Di rumah saya tin-tin beras akan di susun ditepi dapur kayu. Saya masih terbayang susunan 3 tin besar beras biasa(emak saya panggil beras jawi) & 1 tin penuh beras pulut. Di atas tin-tin beras itu diletakkan papan besar sebagai penutup(sebab biasanya penutup tin sudah hilang) Di sebabkan dapur kayu emak saya memang berkaki 4 dan setinggi meja makan, maka diatas deretan tin beras itulah saya akan bertenggek melihat emak saya memasak.Ketika mula memasak sejak darjah dua memang saya akan panjat tin beras untuk menghidupkan api & juga memasak kerana dapur tinggi. Jika dikenang kehidupan kanak-kanak saya memang struggle tetapi ketika itu namapun kanak-kanak. Tiada rasa gusar atau  sedih kerana ianya satu kebiasaan. Seperti kata perpatah "Alah Bisa Tegal Biasa". Banyak daripada pengalaman hidup saya, sudah saya kongsikan kepada anak bongsu saya Cella. Saya tidak pasti dia faham atau sekadar mengiyakan untuk mengambil hati saya yang bersunguh-sungguh bercerita sesuatu perkara kepadanya sebelum ini. Kepada Adah & anak lelaki saya pun banyak yang saya kongsikan tetapi tidaklah sebanyak cerita saya kepada Cella.Bukan pilih kasih, kerana cerita pengalaman bukanlah harta pusaka yang perlu dibahagikan mengikut faraid kan.. 🤭🤭🤭Ramai orang boleh menjadi pencerita yang hebat, tetapi tidak ramai yang mempunyai kemahiran mendengar


Ok, berbalik kepada Pulut Sambal Bilis ini. 
Malam itu sebaik mendapat whatsApp dari kak Mel yang mengajak ke Hulu Langat, kepala saya terus berfikir apakah makanan berat yang boleh saya masak untuk ditinggalkan kepada anak-anak di rumah. Sambil berfikir, tangan sudah mengambil 1kg bungkusan beras pulut & terus dibasuh & direndam. Saya rendam kosong tanpa serbuk kunyit kerana dalam planing adalah untuk memasak Pulut Lemak Kukus yang akan dilawankan dengan sambal Bilis. 

Selalunya Pulut Sambal Bilis akan saya bungkus dalam daun pisang seperti bungkusan Nasi Lemak macam PULUT SAMBAL.. DI SINI
Tetapi dalam PKPB ni saya jarang ke pasar. Stok daun pisang yang ada dalam peti ais juga sudah saya gunakan untuk membuat Lepat Ubi beberapa hari lepas

Maka, pulut yang sudah siap, saya hanya masukkan kedalam mangkuk kecil & telangkupkan atas pinggan. Selebihnya, pulut yang banyak itu saya isikan dalam bekas besar, tutup sahaja atas meja bersama sambal yang masih dalam kuali. Pepandailah 3 orang itu makan, kerana pukul 9 pagi saya sudah bergerak ke tempat yang dijanjikan untuk berkumpul sebelum berkonvoi ke Hulu Langat itu. 

PULUT SAMBAL LEMAK SAMBAL BILIS
1kg  beras pulut- rendam semalaman
3 cawan santan pekat + 2 sudu teh garam & 1 sudu besar  gula
2 helai pandan
daun pisang- layurkan

Sambal:
2 cawan ikan bilis
1 cawan + 1 bawang besar blend
1 asam keping
1 sudu teh garam
1/2 keping gula melaka
1/4 cawan minyak

1. Beras pulut yang dah rendam,kukus sampai masak
2. Masa masih panas tuangkan dalam mangkuk besar & gaul dengan santan yang sudah campur garam & gula.
3. Mula gaul memang nampak berair tapi jangan risau sebab nanti pulut tu akan serap santan & pulut akan jadi cantik & berkilat.
****Tips supaya tahan tidak basi sampai ke malam... Lepas gaul santan kukus semula TETAPI JANGAN TUTUP pengukus.. Biar naik wap & wap tidak terperangkap. Jika selepas gaul santan jika dikukus semula  dgn menutup pengukus, pulut akan lembik d cepat muak bila dimakan

Sambal:
1. Panaskan minyak dalam kuali & goreng ikan bilis.
2. Tanpa mengangkat bilis yg sedang  digoreng, terus masukkan  cili yang dah blend dengan bawang besar.Biar mendidih bersama bilis goreng supaya sambal lebih sedap.
3. Bila sudah naik minyak,masukkan asam keping,garam & sedikit gula melaka.
4. Kacau sesekali sampai kering dan minyak naik dipermukaan sambal. sesuaikan rasa
5. Sendukkan sedikit pulut & letak atas sekeping daun pisang.Letak sikit sambal & bungkus macam nasi lemak


14 comments:

  1. Setuju, ramai yang boleh bercerita dengan hebat, tapi jarang yang mahu mendengar dengan penuh perhatian. Kakak pun termasuk golongan itu,tapi selalu muhasabah diri agar mampu jadi pendengar yang baik. Kena ada skill kemahiran mendengar.
    Sedapnya pulut cecah sambal ikan bilis! Tak dapat bayangkan dengan minuman panasnya lagi....nyum nyummmm!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul kan cikgu...
      Kadang-kadang dalam majlis pun semmua orang nak bercerita,sampaikan terpotong cakap orang lain.Tak ramai yang nak mendengar lebih-lebih lagi apa yang disampaikan tidak seperti yang telinga harapkan untuk mendengar. Saya juga kadang-kadang terfikir, adakah saya juga tergolong dalam golongan itu tanpa saya sedar. Betul kata cikgu, kita kena muhasabah ni. Terima kasih cikgu, singgah sini.. 🌹

      Delete
  2. Saya membayangkan semua yg Mak Cella ceritakan.. dan seingat Saya, sejak mengenali blog Cella, memang banyak kisah mak Cella yg diselitkan sebelum dikongsikan resepi. Ada orang Hanya mendengar dan ingat sendiri, ada orang mendengar dan mengabadikan apa yg didengar dalam bentuk diari, macam yg Cella buat dlm blog ini.

    Cerita pasal pulut, Masa kecik dulu seeing juga bersarapan pulut, paling kerap, pulut dengan kelapa parut, tapi sy kurang suka pulut yg dihidang bersama2 benda manis. Pulut mangga tu pun mula kenal lps pergi festival MAKANAN thai, heheh

    ReplyDelete
    Replies
    1. Agaknya, kalau SK berada ditempat Cella, apa yang akan dirasakan yer.. 🤭

      Pernah sekali tu masa dia sekolah rendah lagi,ketika sedang makan,pakcik kedai makan tu pasang ceramah Ustaza Kazim. Ustaz Kazim kan suka nyanyi lagu-lagu Syarifah Aini bertajuk "perasaan hati". Tak semena-mena si Cella ni ikut nyanyi sekali lagu tu. Pakcik2 & makcik2 yg sedang dengar ceramah tu semua pandang kepada Cella. Agaknya pelik budak zaman melenium nyanyinlagu retro🤭

      Ni la akibatnya bila selalu ikut mak sampaikan tua sebelum waktunya.. 🤭

      Pulut kelapa memang evergreen kan SK

      Delete
  3. Salaam,sambal ikan bilis nampak sedap.

    Boleh rosak diet.

    Anyway...pulut dengan mangga, durian, nangka , etc..adalah satu menu dessert Di Thai restaurant Sana sini. Also kalau pergi kedai groceries mereka frozen pulut Dan santan durian monthong. Boleh lah setakat nak menghilangkan keinginan..
    Mungkin Kedah naturally and historically have the Siam influence so menu Tu Sama.

    ReplyDelete
    Replies
    1. وعليکم اسلام..
      Betul G, orang siam memang suka makan pulut & mereka kreatif dalam menyediakan makanan. Teknologi pertanian mereka juga hebat hingga buah asam jawa yang masam pun mereka boleh jadikan manis. Tapi pasal durian katanya mereka kalah sebab durian Malaysia lagi sedap kan..😁

      Delete
    2. Salaam, sangat betul. Technology makanan Dan pertanian trlalu advance jika dibAndingkan dengan kita.

      Tapi mereka gigih Dan humble. Sampaikan segala daun mereka export ke negara barat.

      Delete
  4. Kenangan waktu kecik mengamit rindu walaupun

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul tu...
      Tambahan bila dah semakin berumur (ayat jujurnya semakin tua) 🤭

      Delete
  5. Kesusahan orang dulu masih blh survived Tak perlu meminta2

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sungguh bagai dikata...
      Dalam kesusahan terselit banyak nikmat hidup yang mungkin tidak akan berulang

      Delete
    2. Sekarang Ada go fund me.patreon..

      Delete
  6. Suka pulut mangga ngan derian😀😀

    ReplyDelete
    Replies
    1. Minta maaf dear
      Baru nak balas... Saya juha sukakan pulut durian mangga lemak manis kan

      Delete