Saturday, 14 November 2020

GULAI MANIS BUAH LANAS & CERITA KENDURI PADI BARU

Gulai Manis Buah Lanas.. Nampak macam Pajeri Nanas. Sebenarnya memang ini ialah Pajeri Nanas. Gulai Manis Buah Lanas tu panggilan orang kampung saya. Pajeri dipanggil Gulai Manis. Buah Nanas disebut Buah Lanas. Maka Pejeri Nanas memang dipanggil Gulai Manis Buah Lanas la ceritanya. 

Gulai Manis Buah Lanas ni merupakan salah satu lauk yang paling saya tidak suka masa zaman kanak-kanak. Kalau emak masak memang saya tidak akan makan. Saya lebih rela makan nasi dengan minyak goreng ikan. Minyak bekas goreng ikan tamban masin kering tu saya cedok dari kuali goreng ikan & tuang sesudu dalam nasi panas & gaul. Nikmatnya makan nasi panas gaul minyak ikan masin goreng. Lagi-lagi jika ada air teh O. Tapi itu dulu la. Kalau sekarang,emak masak Gulai Manis Buah Lanas, memang bertambah makan nasi. Cuma emak la pula jarang masak lauk ni. Nasib baik juga dalam tidak suka Gulai Manis Buah Lanas ni pun saya sempat belajar masak lauk ini daripada emak. Semuanya kerana sejak awal sekolah rendah lagi saya sudah menggalas tanggungjawab memamasak untuk keluarga.Kalau macam Gulai Manis Buah Lanas ni memang emak yang masak. Tetapi daripada mengupas buah, menghiris bawang, kukur kelapa, perah santan, goreng kelapa untuk jadikan kerisik & giling kelapa kerisik tu memang emak akan suruh saya buat. Kadang ketika proses memasak pun emak hanya akan arahkan saya untuk buat. Contoh tumis, masukkan rempah, masukkan santan bagai. Jika emak yang masak, saya akan bertenggek atas tin beras tepi dapur tu menjenguk dalam periuk kerana dapur kayu tu setinggi meja makan(rumah saya tiada meja makan pun waktu itu). Lama-kelamaan hampir semua lauk saya kena masak.sepenuhnya,kecuali ketika saya tinggal di asrama.


Gulai Manis Buah Lanas ini juga selalu menjadi salah satu menu jika ada kenduri kahwin atau kenduri Padi Baru. Kalau masa kenduri kahwin, maka semasa mengupas nanas, kanak-kanak akan berkeliling la mengharapkan dapat makan pulur nanas ni. Tapi biasa kalau nanas nak buat acar mentah, baru dibuang pulur & menjadi rebutan kanak-kanak. Kalau masak pajeri a.k.a gulai manis, nanas dipotong bulat tanpa buang pulurnya. Selain nanas, dikampung saya pelbagai  bahan lain juga dimasak pajeri seperti terung panjang, rebung & labu kuning.Pajeri juga menjadi lauk Kenduri Padi Baru bersama lauk lain seperti gulai ikan darat, kerabu ubi keladi, ikan masin & lain-lain. 
Kenduri Padi Baru, dibuat oleh orang kampung  ketika musim menuai padi. Hampir semua penduduk kampung yang mempunyai sawah padi akan mengadakan Kenduri Padi Baru .Banyaklah kenduri waktu itu. Biasanya dahulu musim menuai padi dalam bulan Disember hingga bulan Januari iaitu ketika musim kemarau. Bulan Disember pula memang tengah cuti persekolahan yang panjang. Kalau kendurinya waktu tengahari,, dapatlah kanak-kanak pun makan. Kalau kendurinya waktu malam, biasanya hanya dijemput kaum lelaki sahaja. Biasanya kalau kenduri waktu malam bermakna  selepas maghrib, kaum lelaki akan beramai-ramai ke kenduri tersebut & dimulai dengan majlis tahlil. Kalau kenduri waktu siang, penuhlah dengan kanak-kanak. Kenduri Padi baru akan menggunakan beras dari padi yang baru dituai. Bila seseorang itu selesai kerja-kerja menuai padi & mengeluarkan zakat padi, seguni padi akan dijemur, dihantar ke kilang padi untuk mesi jadikan beras & diadakan kenduri. Kenduri ini selain daripada kenduri kesyukuran kerana hasil padi menjadi, ia juga diadakan sebagai ucapan terima kasih kepada semua penduduk kampung yang bekerjasama. Bekerjasama bukan setakat membantu bergotong royong menuai padi tetapi juga memberikan kerjasama dengan menambat lembu & kerbau masing agar tidak merosakkan tanaman padi bermula sejak proses menanam padi hingga seluruh kampung selesai menuai padi. Selepas orang yang terakhir selesai kerja menuai padi, barulah semua penduduk yang ada lembu dan kerbau boleh melepas bebas ternakan mereka untuk makan jerami padi & rumput rampai di sawah. Binatang ternakan akan dilepaskan bebas sehinggalah musim menamam padi akan datang. Ketika musim menanam padi tiba, semua yang sudah melepaskan lembu kerbau wajib menangkap semua ternakan mereka. Waktu ni pun meriah juga dengan pesta menangkap lembu. Kalau lembu jinak senang ditangkap. Kalau lembu garang la yang selalu buat hal.Perlu dikepung beramai-ramai & mencampak gelung tali keleher lembu macam pesta cowboy. Sebab itu kebanyakan penternak lembu akan mencucuk hidung lembu ketika anak lembu masih kecil.Jangan cakap penternak tu kejam, kerana itu lumrah seperti juga menindik telinga anak perempuan & khatan anak lelaki. Lama kelamaan luka tu sembuh & ada la lubang pada hidung lembu tu & ada tali sepanjang beberapa jengkal diikat dengan teknik yang tidak memudaratkan lembu. Tujuan lembu dicucuk hidung adalah supaya mumudahkan kerja-kerja menangkap lembu pada musim menanam. Juga supaya lembu akan memberikan kerjasama ketika talinya diheret untuk ditambat nanti. Lembu akan mengikut kemana sahaja kita mengheretnya kerana kalau degil kita akan tarik tali tu kuat, akan sakitlah hidungnya. Biasanya kalau kita tarik, lembu akan mengikut sahaja agar hidungnya tidak sakit & tuannya tidak marah. Dari situasi inilah agaknya timbul perumpamaan "seperti lembu dicucuk hidung" Dahulu semua masyarakat kampung saling bekerjasama & mempunyai hubungan yang rapat. Sekarang sudah banyak berubah. Masa yang mengubah atau manusia yang berubah? 


Selera juga sudah berubah. Daripada tidak suka Gulai Manis Buah Lanas, sekarang saya menggemarinya. Cuma saya sudah terbiasa memanggilnya sebagai Pajeri Nanas. Emak saya & generasi lama di kebanyakan kampung @ Kedah masih memanggil Gulai Manis Buah Lanas. Yang peliknya anak saya Adah salah seorang penggemar pajeri nanas ni. Begitu juga anak lelaki. Cuma Cella seorang yang langsung tidak mahu mencuba. Katanya potong feel makan nasi berlauk manis. Itu sekarang, 10 tahun akan datang mungkin lain seleranya. Pajeri ni bukan masakan hari ini tetapi masakan sebelum ni. 

Saya hanya masak sibiji nanas sahaja tetapi ini resipi yang disalin daripada post lama yang menggunakan 2 biji nanas. Saya tidak mengubahsuai, cuma jika hendak masak sebiji nanas, kurangkan sukatan kepada 1/2

PAJERI NANAS (2 BIJI NANAS) 

2 biji nanas
2 paket kecil rempah kari ikan
1 paket kecil remoah kari daging
1/2 kotak kecil santan
( kalau santan fresh = 1 cawan santan pekat)
1 sudu teh garam
1 sudu besar kerisik
2 sudu besar gula perang / gula melaka
½ cawan minyak
1/2 cawan ikan bilis- tumbuk halus

Bahan Tumis:
1/2 bawang besar - hiris nipis
3 bawang putih - cincang
5 keping halia- racik
1 batang kulit kayu manis
10 bunga cengkih
3 bunga lawang
10 buah pelaga
1 tangkai daun kari

1. Kupas nanas dan belah dua.Hiris tebal anggaran 1 cm.
2. Panaskan minyak dan tumis bahan tumis hingga harum
3. Masukkan kedua2 jenis rempah kari yang dibancuh bersama 1 cawan air
4. Masak hingga naik minyak & tambah bilis tumbuk
5. Masukkan nanas potong
6. Masak hingga nampak berair kesan jus nanas keluar.Tak perlu tambah air kerana nanti nanas akan mengeluarkan jusnya.
7. Tambah garam,santan dan masak hingga kuah pekat.
8. Tambah kerisik dan gula perang
9. Perlahankan api dan biar sampainkuah nampak naik minyak
10. Sesuaikan rasa

** Pajeri Nanas akan lebih sedap dimakan jika dimasak.lebih awal beberapa jam..
Atau dimasak waktu malam @ pagi..jika nak makan waktu tengahari

RESIPI PAJERI NANAS STEP BY STEP... kat sini



6 comments:

  1. Salaam, says suka paceri ni atau paceri Bombay atau APA apa paceri.
    Kalau makan dengan ikan masin, lauk APA pun jalan..

    Sungguh menjilat screen.

    ReplyDelete
    Replies
    1. وعليکم اسلام..
      Yaaa.. Pajeri Bombay pun sedap kan.. Light jer tidak terlalu berempah. Selalu lupa nak masak pajeri bombay ni

      Delete
  2. Akak suka pajeri nenas tapi tak suka makan dengan nasi sbb rasa manis2 spt kata cella tu.Jadinya ratah je lah..hihii.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ratah pun sedap kan akak.
      Saya ada baca buah nanas ni superfood. Bagus untuk kesihatan. Tapi itu kalau dimakan segar la. Kalau dah jadi pejeri tak tahulah pula khasiatnya..

      Delete
  3. Masa kecil hingga remaja, saya hanya makan kuah gulai / pajeri nanas. Dah tua-tua ni, suka pula makan lawan dengan nasi minyak.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kannn... Ramai yang masa muda tidak suka pajeri nanas ni. Tapi menjadi kesukaan diwaktu tua. Agaknya pajeri ni tercipta untuk hari tua kot... Hihihi

      Delete