Wednesday, 4 November 2020

SARDIN SAMBAL CILI API & SAYUR SAWI NOSTALGIA

 Tahun ini sudah dua kali PKPB. Sewaktu PKP kali pertama bulan Mac yang lalu, saya sangat paranoid sehingga seperti dunia hendak kiamat. Saya sangat takut. Takut akan mati, takut dunia macam-macam. Hendak makan pun takut. Hendak masak pun takut makanan habis.Melihat deretan kenderaan yang diparkir saya selalu fikir, lagi beberapa bulan semua kenderaan itu akan jadi besi buruk. Melihat bangunan disekeliling saya selalu fikir nanti bangunan itu akan jadi tempat tinggal jin & hantu syaitan. Memandang pokok-pokok saya beranggapan bahawa nanti tiada makanan, semua orang berebut hendak makan pokok-pokok tu. Sampai suatu tahap saya berimaginasi bahawa semua maka nan sudah habis, bekalan elektrik akan habis dan semua kena gali perigi untuk dapatkan air minuman. Bila malam saya takut nak tidur. Memang sangat takut jika diingat PKP 1. Tapi sangat banyak hikmah terutama dalam bermuhasabah diri. Terasa nikmat dalam musibah

Kali ini PKPB 2.0 kurang sedikit trauma tu. Mungkin sebab tidak seketat PKP 1.0. Mungkin juga sebab kali ini bukan seluruh negara. Hanya beberapa tempat & negeri terlibat termasuk KL.Jika dahulu sardin dikaitkan dengan makanan hujung bulan. Tetapi sekarang macam sudah senonim pula sebagai lauk PKP

Sebenarnya nak cerita sardin sahaja. Tetapi siap dengan flashback PKP pula. Agaknya saya ni memang jenis suka bercerita. Sebelum ni telinga anak saya cella yang jadi mangsa kena dengar cerita-cerita saya. Alhamdulillah dia tidak merungut walaupun kadangkala saya tahu saya terlalu banyak cakap sehingga meleleh telinganya mendengar cerita-cerita saya. Tetapi dalam hantinya saya tidak tahu walaupun dia lahir dari rahim saya. 
Dengan Adah, saya kena fikir 2 kali kalau hendak bercerita hal remeh temeh seperti ini kerna dia akan banyak bertanya mengapa mesti itu, mengapa mesti ini. Kenpa mesti macam tu, mengapa bukan macam ni. Mengapa masa tu orang macam tu.Kadang saya pun tiada jawapan. 

Jika PKP 1.0 dahulu 1 tin kecik sardin, jika boleh saya nak jadikan lauk untuk 2 hari sebab terlalu paranoid. Kali ini saya masak 2 tin sardin dengan harapan sampai ke malam pun jadilah. 

SARDIN SAMBAL CILI API
2 tin sardin macerel
2 biji kentang
2 pokok daun bawang
1 asam keping
1 sudu teh garam
1 sudu teh gula
1/4 cawan minyak

Bahan Blend
1 cawan cili api merah vietnam
1 bawang besar
2 bawang putih

1. Panaskan minyak & goreng kentang yang dipotong wedges. Angkat & ketepikan
2. Dalam minyak yang sama tumis bahan blend. Tambah asam keping, garam & gula & masak hingga naik minyak
3. Tambah sardin, kentang goreng & masak hingga mendidih semula. 
4. Sesuaikan rasa & tambah daun bawang

Selalin sardin, saya juga masak Sayur Sawi Nostalgia. 
Sayur ini mempunyai nilai sentimental untuk saya. Ketika zaman sekolah, jarang dapat makan daging goreng. Tetapi Sayur Sawi berdaging macam ini memang agak selalu juga. Setiap hari Sabtu biasanya kami akan makan lauk sedap sebab setiap Sabtu, emak saya akan ke pekan membeli barang dapur. Emak saya akan mengayuh basikal sejauh hampir 10 km untuk sampai ke jalan besar. Kemudian menaiki bas sejauh 8km lagi untuk sampai ke pekan. Kiranya berbasikal lagi jauh daripada naik bas. Antara yang mak saya akan beli ialah 1/2 kati daging & sayur sawi. Untuk makan daging goreng atau daging kicap memang tidak berpadanan dengan daging 1/2 kati(ini timbangan lama) Kalau timbangan metriks 1/2 kati itu lebih kurang 300gm. 
Maka Sayur Sup Sawi sepertri ini memang jadi pilihan emak saya setiap kali beli 1/2 kati daging. Kalau bukan sawi, pastinya emak saya akan beli sayur kobis panjang atau kobis bulat. Masakannya tetap sama, hanya bertukar sayur sahaja. Kerana itu agaknya, sesekali saya akan merindu lauk ni. Hari ini saya masak sayur sawi bercampur daging ni. Kebetulan ada sebungkus daging rebus yang siap dihiris adalam freezer. Biasanya memang saya akan beli sekilo daging dan rebus sebuku-sebuku besar tu hingga empuk. Kemudian saya akan bahagikan kepada 4 bahagian. Setiap bagaian akan dihiris nipis, dimasukkan ke dalam plastik bersama air rebusan daging(air rebusan juga dibahagi 4) & dibekukan. Satu bungkusan untuk sekali masak sebagai rencah mee goreng, mihun @ apa-apa yang sesuai. Ini salah satu bungkus daging rebus frozen tu. Saya jadikan rencah Sup Sawi
Sedap menghirup kuahnya. 

SUP SAYUR SAWI
250 daging rebus( bersama air rebusannya) 
5 pokok sawi
1 cili merah
1 bawang besar
2 bawang putih
1 sudu teh garam
2 sudu minyak

1. Panaskan minyak & tumis bawang putih d bawang besar. 
2. Bila harum masukkan daging bersama air rebusan daging(tambah air jika mahukan kuah lebih) 
3. Bila mendidih, tambah garam, cili dan batang sawi. Biar mendidih & baru tambah daun-daun sawi. Biar mendidih sekali lagi
4. Sesuaikan rasa. 

Seperti selalunya juga, jika masak sardin


Mestinyalah esoknya Nasi Goreng Sardin.. 

4 comments:

  1. Salam,
    Kenangan waktu Di awal 80an memang berbeza dengan Sekarang.

    Bila generasi sekarang mereka tidak dapat memahami sepenuhnya.
    Melainkan mereka mendalami sejarah selepas merdeka.
    Saya pun stock up basics. SBB tak nak kluar.

    Memang makanan Ada tapi tidak lah masak membazir. Masak simple. Kerana tidak diketahui berapa lama lockdown.plus the fact that keadaan semasa Dan supply chains affected with lockdown, border lockdowns and floods, risks of shortages etc..etc..you never know.
    For some immediate loss of earnings so tak bleh beli makan etc ... More obvious like in USA and UK . The food banks suddenly got long lists of queues people that unable to beli makan.hilang punca pendapatan.

    Tapi kalau dilihat golongan yg dikenali sebagai prepper bersedia. The moment issue covid mereka dah mula stock up food so no need leave the house etc.
    Yes ..kerisauan itu valid. Cuma alhamdullillah Belum terjadi kat negara kita. Negara yg ramai pendududk cam di India yg hidup Kais pagi makan pagi, diberitahu lockdown notice in few hours notice ..suffered and riot.
    Dan beberapa kejadian dinegara miskin.

    Di lubnan ubatan basic shortages ... Dan macam macam lagi.

    Take jika Kita beringat Dan bersedia. Lebih baik Kita bersedia Dan tak perlu keluar jika boleh dielakkan.
    Takpe kejadian lockdown adalah hikmah disebalik bencana..

    Lauk lauk sedap. Sambal sardin buh petai. Dengan ikan masin...sedap. saya suka makan Ada soup...

    Kita bermula lockdown esok.

    Lepas ni economy sini into great depression. No dynamics in cycle of economy.


    Simpan lah cash...utk hard time ahead.

    ReplyDelete
  2. Betul kan G..
    Alhamdulillah, sangat bersyukur.. Tapi ramai juga sudah mula terkesan, hilang pekerjaan etc. Tidak sabar hendak mendengar bajet 2021 Jumaat ini. Apapun semoga Allah mendengar doa kita semua

    ReplyDelete
  3. Baru jew msk sambal sardin, 🌹🌹
    Soup sayur tue belum pernah buat lagi... Nanti nak try

    ReplyDelete