Saturday, 21 November 2020

SECANGKIR KOPI & SEPIRING PULUT

 Cuaca sejuk & mendung sejak semalam. Petang hujan lebat. Pagi ini masih hujan. Sejak semalam, bila hujan turun sudah teragak cuaca begini akan berpanjangan hingga ke esok. Malam tadi ketika masih hujan, sebelum tidur sempat merendam pulut untuk dikukus pagi ini sebagai sarapan


Pulut Kelapa & Ikan Lengat Goreng Garing. 
vs Kopi O Panas. Walau tahu risiko minum kopi tapi kerana pulut & kopi tidak dapat dipisahkan, maka saya bancuh juga secawan kecil. Bila difikir berbaloikah nanti  untuk menanggung sakit kepala. Akhirnya hirup juga  dua teguk kopi O ini menghilangkan ketagih. 

Cella makan pulut bersulam milo panas
Pun tak habis dimakan. Bukan makanan mereka anak-anak zaman baru. Adah terlebih dahulu sarapan roti. 

Set sarapan nostalgia saya... 
Pulut Kukus
Kelapa parut gaul sikit garam
Ikan Lengat  digoreng garing
Kalau ikan lengat yang sudah di ulang panaskan beberapa hari lagilah sedap. Lemak, masin & sikit masam

Terbayang zaman kanak-kanak
Kalau hujan, emak tak dapat motong(menoreh) Kalau musim hujan panjang, memang langsung tidak dapat motong. Tapi mak bukan duduk berehat.Malam mak akan menganyam tikar mengkuang. Tebal bersusun ditempat tidur tikar mengkuang  anyaman emak. Mak selalu pesan,kalau ada tetamu datang, bentangkan sebidang tikar sebagai tanda meraikan tetamu. Jangan biar tetamu duduk tidak beralas kerana rumah kami tiada setti. Penat menganyam,sebelum tidur emak akan rendam pulut untuk dikukus  esok pagi. Kalau terlupa rendam, terpaksalah emak tanak pulut tu. Pulut tanak tidak perlu direndam pulutnya. Tapi pulut kukus lagi sedap & tidak muak dimakan. Musim hujan biasanya musim orang kampung menanam padi. Mak & ayah akan berhujan di bendang. Habis menanam di bendang sendiri, mak ambil upah menanam dibendang orang bagi menampung belanja kerana musim hujan tidak boleh motong. Pagi mak akan tanak pulut, kukur kelapa dan goreng ikan tamban kering sebagai sarapan kami adik beradik & bekal mak. Cerita dari mak, selalu sahaja makan bekal di tengah bendang dalam hujan pula, memang makan bekal berkuahkan air hujan. Balik rumah dengan tapak tangan dan jari-jari kecut berendam air, mak hidupkan api dapur & halakan tangan ke api sambil dibuka di digenggam berulang kali untuk panaskan badan. Kadang belum sempat emak jamah nasi untuk makan malam, kami sudah sampaikan pesanan cikgu. "Mak, cikgu minta duit yuran, ni dah nak habis tahun". Mak biasanya akan cakap,"tunggu padi masak la, ni kan musim hujan". Kami diam & terus ambil beg, keluarkan buku & mentelaah bertemankan pelita minyak.Masa di rumah lama dekat rumah tok wan .,kalau hujan tirislah atap rumbia yang sudah usang & tempias dari celah dinding buluh menjadi perkara biasa. Bila mak & ayah mengambil. Keputusan pindah ke tanah sediri & bina rumah baru,lega sikit kerana sudah berbumbung zink & berdinding papan. Selalu juga kami baca buku yang lembab kembang kerana kehujanan semasa pulang dari sekolah dengan berbasikal sejauh 5 batu. Berbuih mulut cikgu pesan suruh beli beg peti untuk elakkan buku basah, tapi mak kami hanya mampu beli beg canvas hijau tu sahaja. Penat berleter buku basah, cikgu akan minta yuran yang tertunggak. Tidak sabar menanti padi membesar, masak, & bila padi dapat dijual, boleh lah bayar yuran sekolah.Kadang kalau cikgu mendesak sangat, mak terpaksa masukkan gelang emas emak ke pajak gadai. Besar pengorbanan mak untuk kami



Sambil mengunyah pulut kukus berlaukkan ikan lengat goreng ini, hati saya sangat terusik. 

Kalau boleh saya tidak mahu anak-anak merasai pengalaman itu. Tapi ada ketika tempiasnya tetap dirasai. Ketika anak sulung & kedua di sekolah menengah & sibongsu sekolah rendah, saya sangat menyesali diri saya kerana anak merasai tempias. Saya mampu membayar yuran sekolah & membeli buku mereka bertiga. Tetapi saya pernah lambat  membayar yuran PIBG yang mencecah ratusan untuk 3 sekolah berasingan. Pernah lambat membayar yuran gradusi anak sulung ketika dia form 5 sehingga dia merajuk tidak mahu kesekolah kerana malu.Sesekali saya menyalahkan diri kerana gagal mengelak anak merasai semua itu. Seboleh mungkin saya cuba memenuhi keperluan anak-anak walaupun  hakikatnya bukan semudah itu, tetapi saya juga harus bersyukur kerana sebenarnya rezeki Allah tidak terhitung jika dibandingkan ujian yang sekelumit itu. 




 



12 comments:

  1. sedapnya, lama tak dapat. kalau balik kampung, mesti abang ipar akan belanja. haih cepatlah habis pkpb ni..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kedah dah left group PKPB.. Hihihi
      Kelantan pula join group PKPB

      Delete
  2. Sedap pulut tu tapi bukan makanan kebiasaan kami di sini.Yang biasa pulut kuning dimakan dengan kari atau rendang.Atau juga pulut yang disalut serunding.
    Anak2 akak juga masa kesemua 5 org masih belajar merasa pengalaman susah .Yang no 3 sampai cikgu bayarkan yuran asrama dan pibg.Sedih kalau diingatkan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Aaa kan kak.. Johor biasa pulut serondeng kelapa tu kan. Sedap juga tu masin lemak pedas. Kalau kg saya dulu2 pulut kuning hanya untuk kenduri.
      Allah uji, Allah juga memberi..
      Sesekali teringat.. insaf dengan nasib orang yang terkesan dengan Covid 19 ni.. Yang diberhwntikan kerja & tiada sumber pendapatan. Semoga Allahudahkan urusan mereka

      Delete
  3. Itu la naratif perjalanan hidup Kita tapi dulu tak pernah meminta2 usahalah bercucuk tanam w/pun menumpang tanah orang sbb kebanyakan semua susah jugak.dengan situasi dunia sekarang apakah hidup anak2 kita akan mengulangi zaman kita dulu.Semuga Allah melindungi semua umat Islam di dunia ini

    ReplyDelete
    Replies
    1. Apa yang ada dalam fikiran kita sama laaaaaa.... Kadang saya jadi paranoid sangat.

      Bila dengar ustaz tazkirah pun, katanya akan sampai satu zaman dimana teknologi berakhir & manusia kembali berpedang & memanah

      Delete
  4. Allahu... kalau dulu Cella selalu selitkan nostalgia emak, kini baca dari luahan Mak Cella sendiri, amat menyentuh hati sy. Pengalaman kita memang tak sama, tapi getirnya tetap ada.

    Cerita tentang pulut, dulu mak sy akan goreng bertih dan taburkan atas pulut yang dimakan bersama kelapa parut. Sy suka kerangupan bertih disulam lemaknya kelapa, tapi kelapa tak boleh ambil banyak, kena ingat orang belakang. Ikan lengat tu memang tak ada, cuma ada ikan kering dan sy masa budak2 dulu memang tak pandai makan ikan kering sampailah dah umo 40-an baru reti makan sikit2, heheh.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Bertihhhh...
      Nostalgia tu SK
      Bertih padi pulut ker bertih jagung. Kalau bertih padi, nostalgianya mistik sikit kat kg saya.
      Betul.. Setiap orang ujiannya berbeza. Ada orang diuji kesusahan, ada juga diuji kesenangan. Apapun kita yakin kan.. Allah memberi yang terbaik

      Delete
  5. Baca coretan ni .kenangan aruah nenek menjelma.menoreh.tanam padi.anyam tikaq mengkuang.tumbuk padi..kg di kedah dulu setiap rumah ada rumah kecil tempat simpn padi.berguni2.

    ReplyDelete
    Replies

    1. R


      Naz sempat juga yer melalui zaman tu... Dalam susah ada banyak nostalgianya kan...

      Rumah kecil ada yang panggil jelapang. Ada yang panggil kepok. Zaman saya sekolah rendah, itu soalan popular subjeck Ilmu Alam.. Mesti naik soalan "Rumah kecil tempat menyimpan padi dikenali swbagai ________."

      Delete
  6. Sedapnya ikan lengat goreng garing makan dengan pulut! Ya Allah... terus terbayang zaman emak bapak berkebun, kalau emak bawa bekalan pulut dengan kelapa pun dah cukup sedap, apalagi kalau ada ikan lengat goreng. Dulu emak selalu suruh beli ikan lengat, harga sekati sering dua puluh lima sen. Terliur ni bayangkan makan dengan kopi hitam panas!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hujan-hujan ni memang ngam makan pulut kelapa ikan lengat goreng vs kopi O (kopi hitam tu sama ke dengan kopi O?)

      Kalau kat kat Kedah RM1.25 tu disebut Singgit Dua Kupang Lima Duit....Kalau 25 sen disebut Suku... hihihi... Lain kan sebutannya..

      Delete