Friday 27 August 2021

AL-QUR'AN ITU MELEMBUTKAN HATI

 


Al-Quran Itu Melembutkan Hati

=========

1. Dalam al-Quran, Allah menyifatkan orang yang berilmu dan beriman itu sebagai orang yang mudah tersentuh apabila dibacakan kepada mereka al-Quran. Dan Allah turut menggambarkan bahawa al-Quran itu mempunyai mukjizat menambah kekhusyukan jiwa manusia. Firman Allah:


وَيَخِرُّونَ لِلْأَذْقَانِ يَبْكُونَ وَيَزِيدُهُمْ خُشُوعًا


Dan mereka segera tunduk sujud itu sambil menangis, sedang Al-Quran menambahkan kekhusyukan mereka. (Surah al-Isra: 109)


2. Ayat ini turut memberikan petunjuk bahawa orang yang beriman itu mudah berinteraksi dengan al-Quran. Jiwanya memberikan respon terhadap petunjuk dan peringatan yang disampaikan oleh Allah. Sheikh al-Tantawi menjelaskan bahawa:


أن البكاء من خشية الله، يدل على صدق الإيمان، وعلى نقاء النفس


“Sesungguhnya tangisan seseorang itu kerana takutkan Allah adalah petanda kepada kebenaran iman serta kesucian jiwa.” (Tafsir al-Wasit)


3. Bukan sahaja al-Quran melembutkan jiwa dan menambah kekhusyukan orang yang beriman, al-Quran juga mencairkan kekerasan hati orang kafir. Sayyid Qutb di dalam karyanya menukilkan kisah bagaimana al-Walid ibn Mughirah, seorang pembesar Qurasyh yang tersohor memberikan reaksinya mengenai al-Quran.  


4. Pada suatu hari al-Walid pernah diminta oleh Abu Jahal untuk memberikan pandangan beliau tentang isi kandung al-Quran. Setelah mendengar al-Quran, al-Walid berkata:


صبأ والله الوليد، ولتصبون قريش كلها


Demi Allah, sesungguhnya (aku) al-Walid telah terpukau (mendengar al-Quran ini), dan pasti Quraysh akan terpukau mendengarnya. 


5. Jelas di sini bahawa al-Quran bukan sahaja menyentuh jiwa orang yang beriman malah melembutkan jiwa orang kafir yang keras menentang Rasulullah ketika itu. Perbanyakkan membaca al-Quran, pelajari Bahasa Arab agar kita mampu memahaminya dengan baik. Mudah-mudahan Allah melembutkan hati kita dan menambah kekhusyukan dan ketundukan kita kepada Allah.


Semoga Allah membimbing kita.


Dr. Ahmad Sanusi Azmi

3 comments: