Thursday 10 June 2021

HUKUM MENCUCI PAKAIAN MENGGUNAKAN MESIN BASUH

Setiap hari dalam group semasa,ada bermacam perkongsian.Dari info kesihatan,perkongsian berita semasa,bznz kecil-kecikan hinggalah kepada perkongsian ilmu.Pagi ini agak panjang perkongsian Ustaz Kamarul Hadfidz berkaitan hukum mencuci pakaian menggunakan mesin basuh.....

Saya c&p perkongsian tersebut untuk lebih jelas  & manfaat  bersama.


"Pagi tadi saya terbaca satu perkongsian oleh Saudari Nor Nur berkenaan perbahasan mesin basuh dan pakaian bernajis. Ia adalah rumusan dari satu pembentangan kertas kerja oleh Dr. Hapiz Kodiang berkenaan fatwa yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti P. Pinang.


Setelah selesai menonton keseluruhan pembentangan kertas kerja tersebut, bolehlah saya tambahkan beberapa point penting lain yang mungkin tidak dimasukkan ke dalam penulisan berkenaan untuk memberi lebih kefahaman kepada mereka yang tak sempat menontonnya."


1. Fatwa keharusan menggunakan mesin basuh untuk terus mencuci pakaian bernajis ini adalah hasil kajian oleh pakar dari bidang syariah, bidang kimia dan juga bidang sains gunaan.


2. Kaedah yang digunakan untuk mengenal pasti kewujudan najis selepas basuhan adalah menerusi kajian sains forensik DNA.


3. Sampel yang digunakan dalam kajian adalah darah manusia, najis budak dan air kencing. Kategori najis mutawassitah yang sering dihadapi oleh masyarakat.


4. Medium yang digunakan pula adalah fabrik dari jenis kapas biasa yang berpoket dan fabrik tebal jenis denim. Mewakili fabrik yang sering digunakan oleh kebiasaan masyarakat di kuar sana.


5. Mesin basuh yang digunakan pula adalah jenis domestik top load jenama Sharp 8kg Fully Auto Washing Machine Washer Es818x dan mesin basuh kedai layan diri front load Electrolux 5th-Generation W5130S. Manakala cecair pencuci yang digunakan adalah jenama Dynamo.


6. Mod basuhan yang digunakan pada mesin basuh adalah mod standard manakala mesin layan diri menggunakan modnya yang telah ditetapkan. Oh, pakaian bernajis tersebut juga dibasuh bersama pakaian lain.


7. Dikatakan sebanyak 5ml sukatan darah manusia telah digunakan bagi setiap sampel. Manakala najis budak yang digunakan juga jelas kelihatan ainnya.


8. Sampel diuji sebaik sahaja basuhan selesai tanpa ada apa-apa campur tangan pengeringan dari matahari yang mungkin boleh merosakkan hasil dapatan dari sampel.


9. Hasil dapatan menunjukkan pakaian yang bernajis ain telah menjadi suci setelah dibasuh menggunakan mesin basuh domestik dan mesin basuh layan diri. Dengan kata lain, tiada langsung kesan najis yang tinggal selepas dicuci dengan mesin tersebut.


10. Jika ada pihak yang ingin menyangkal kajian ini, diminta untuk mendatangkan kajian yang lebih ilmiah, terperinci dan saintifik yang menafikan hasil di atas.


11. Mesin basuh yang biasa digunakan oleh orang ramai sama ada di rumah atau di kedai dobi layan diri sudahpun bermazhab Syafie di mana air yang akan mendatangi pakaian bernajis dan bukan pakaian bernajis yang mendatangi air. Yakni, kita yang memasukkan pakaian bernajis terlebih dahulu, barulah air masuk untuk mencucinya.


12. Mesin basuh ini juga bermazhab Syafie kerana telah menepati kaedah taharah yang sepatutnya iaitu air basuhan disalin dengan beberapa kali bilasan.


13. Hasil kajian juga mendapati sampel darah pada pakaian memang sukar dihilangkan melalui basuhan biasa. Namun ujian mendapati pakaian tersebut telahpun suci dari segala DNA najis apabila dibandingkan dengan sampel kawalan. Ini bermakna jika kesan warna darah sahaja yang masih tinggal, sedangkan bau dan rasanya sudah pun hilang, maka ia sudah pun suci dan warna tersebut dimaafkan. Ianya selari dengan pendapat ulama silam.


14. Harus juga bagi orang Islam untuk menggunakan mesin basuh di kedai dobi layan diri walaupun turut digunakan oleh orang bukan Islam. Selagi mana kita tidak melihat sendiri dan mempunyai keyakinan bahawa ada najis mughallazah pada pakaian yang dibasuh oleh mereka. 


15. Tidak dinafikan bahawa basuhan secara tradisional adalah terlebih baik dan terlebih meyakinkan dalam menghilangkan najis. Namun kajian ini lahir dari perbahasan berdasarkan realiti semasa dan praktikaliti umum masyarakat di luar sana.


Semoga dengan ini terhilanglah dzan-dzan dan segala syak wasangka yang sentiasa menghantui kita selama ini.


Akhir kata, walaupun kita masih mengambil jalan berhati-hati dengan membuat basuhan yang sewajarnya, namun kajian ini merupakan satu rahmat buat mereka yang 'susah' di luar sana.


Mungkin ada yang anaknya ramai, ibu tunggal, hanya ada mesin basuh di kedai, kurang pendedahan dan lain-lain lagi yang tak senasib dengan kita. Dan sekurang-kurangnya masing-masing dah boleh berlapang dada.


Link video:

https://www.facebook.com/971387613008936/posts/1803590453121977


Wallahu'alam.


Bijen Mohd



2 comments:

  1. Perkongsian yang bermanafaat.. sebaiknya najis tu biar hilang bau, warna dan rasa dulu, kan. Kalau terang2 ada setompok darah atau nanah tu kenalah cuci dahulu kalau nak campur dengan baju lain.

    Sekurang2nya perkongsian ini amat melegakan sebab kita yg perempuan ni mungkin menggunakan pakaian tu semasa beribadah walaupun menyarung telekung di luar.

    Wallahu 'alam

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kan...kadang kalau dengar fatwa rakan-rakan sekeliling lagi la kan....hihihi

      Delete