Thursday 18 January 2024

LAKSA LEMAK SARDIN ULAM PUCUK PUTAT

Bila tekak teringin...Malam malam pun saya masak



Laksa lemak ulam pucuk putat


LAKSA KUAH LEMAK SARDIN

½bungkus laksa kering( saya guna laksa siam yang lebih halus)

1 tin sardin macerel(tin sederhana)

1 paket kecil rempah kari ikan

1/2 kotak santan kara

4 cawan air

3  asam keping

1 bunga kantan/1 pokok daun kesum

1 sudu teh garam

½ bawang besar -blend

3 sudu minyak


Bahan Ulam

4 biji telur rebus

1/4 batang timun - hiris

1/4 bawang besar - hiris

3 tangkai pucuk putat - hiris

( boleh ganti daun selom)
2  limau nipis

- belah 6

Cili padi potong - jika nak pedas


**Rebus laksa & basuh bersiah ,& toskan.

Buat Kuah:


1. Panaskan minyak & tumis bawang merah hiris.

2. Masukkan rempah kari yng dibancuh dengan 1 cawan air. Masak hingga naik minyak/hingga kering

3. Masukan sardin macerel yang dilenyek bersama sosnya. Tambah 4- 5 cawan air, garam, asam keping & masak hingga mendidih.

4. Bila mendidih masukkan santan & kacau rata & masukkan bunga kantan/daun kesum

5. Sesuaikan rasa

6. Masuklan laksa ke dalam mangkuk dan siram kuah hingga banjir. Tambah ulaman



Rebus dulu laksa supaya bila kuah siap..laksa dah kering elok.Kalau laksa masih basah kita masukkan kuah,kuah tak bersalut.

Tapi ni saya buat kuah takda la guna ikan darat,sebaliknya saya shortcut guna sardin tin sahaja.Saya guna  sardin tin  ayam brand jenis mackerel

 


Seperti biasa ,saya akan pilih mackerel sebab ikannya besar dan isi padat sesuai untuk buat kuah laksa.Sos dia pun saya ambil sekali sebab ni versi kuah lemak kari memang sesuai .Kalau buat kuah asam laksa mungkin tak perlu ambil  sosnya.


Masak kuah laksa lemak cara saya.Kuah lemak ni versi utara.Dia ala kuah kari tapi aroma laksa.Kalau kuah lemak Pantai timur versi putih kan.



Kuah laksa ni sebaiknya dimasak beberapa jam awal supaya bila nak makan  kuah jadi sebati keluar rasa masam masinnya dan lebih pekat.


Laksa koboi ja malam malam..Ulaman hanya ada timun dan pucuk putat.Bawang pun saya tak hiris sebab takmau makan bawang mentah sebab dah malam Telur pun tak rebus.Sebab nak feel makan laksa dulu dulu kat kampung memang takda telur pun.Dulu dulu kat kampung saya bila tiba musim menuai padi iaitu sekitar bulan Januari hingga Mac adalah musim kemarau.Musim kemarau,sawah padi dan parit mula kering.Banyak la ikan ikan seperti haruan keli dan puyu berkumpul dalam lopak lopak air dan menjadi buruan orang kampung menangkapnya.Ikan darat ni sangat sesuai nak masak kuah lemak utara ni kerana isinya lebih halus dan berlemak.
Musim kemarau juga pokok-pokok akan gugur daunnya dan akan berpucuk bila sesekali disirami hujan.Masa ni la ulam ulaman pucuk kayu banyak.Sesuai la nak buat laksa sebab ikan dan pucuk kayu banyak.Laksa pun dulu-dulu buat secara bergotong royong guna "keboq" iaitu acuan khas yang dibuat daripada tembaga.Rupanya lebih kurang acuan maruku yang jenis pulas tu tapi saiz besar.Tepung beras pakat tumbuk sendiri dan bawa ke tempat buat laksa. Yang ada ikan,bawa ikan ,yang  ada kelapa bawa la sekali kelapa,Yang lain bawa kukur kelapa dan segala kawah,besen,talam dan sewaktu dengannya untuk proses buat laksa.Sekampung akan berkumpul untuk buat laksa.Biasanya depa akan buat laksa dekat dengan telaga sebab buat laksa banyak nak guna air untuk uli,rebus dan basuh laksa.



Pucuk putat memang senonim sebagai ulam laksa lemak.Pucuk putat ni pun ada banyak versi.Ada versi putat hutan,putat bendang & putat kampung.


Yang saya guna ni putat kampung. Ni pokok kat tempat kerja saya.Saya bawa biji benih pokok putat ni dan minta gardener tanam sebelum PKP dulu lagi.Alhamdulillah dah beberapa tahun dapat makan hasil.Tidak putus berpucuk sebab Pak Man gardener rajin memangkas .


Pokok ni kalu dibiarkan boleh membesar dan tinggi macam pokok mangga.Kalau taknak tinggi ,rajin rajin la pangkas 



Makan laksa dalam pinggan untuk feel makan laksa kat kampung dulu-dulu..
Tak tau pasai apa dulu kat kampung saya & kat kedai laksa di bandar pun masa tu memang hidang laksa  dalam pinggan..Laksa ni juga senonim  dengan gerai Ais Kacang.Dulu kalau musim kemarau  awal-awal tahun ,banyak gerai ais kacang (ABC) yang muncul di tepi tepi jalan.Tak lama hanya dalam tempoh 3,4 bulan masa musim kemarau sahaja lepas tu depa tutup.Gerai pun simple saja bawah pokok tepi jalan.Kalau  berbumbungpun hanya  atap rumbia kat bahagian dapur masak laksa untuk elakkan burung berry..hihihi.. Tidak berdinding.kerusi meja pun buatan sendiri guna kayu-kayu pokok dan papan terpakai.Sesuai dengan gerai bermusim pada musim kemarau sahaja.Gerai simple sebab musim kemarau tak risau hujan.Orang makan bawah pokok open air .Ais nya  disagat guna pengetam kayu macam mamak jual cendol bawah pokok ceri dulu dulu...Menu wajib ialah ais kacang,ais sirap,minuman botol "ayaq minet".laksa dan bihun sup.Laksanya pula biasanya da 2 versi.Kuah asam laksa dan kuah lemak ni la...
Time balik sekolah,ramai lah anak-anak sekolah singgah beli ais kepal 10 sen,ais kacang 20 sen.mihun sup dan laksa 30 sen untuk budak sekolah diisi dalam plastik siap straw macam isi air sirap.Sedut kuah dulu,kemudian tebuk penjuru bawah plastik makan isi laksa atau bihun sup.Nostalgic....!!
Biasanya bila berakhir musim kemarau,gerai pun berakhirlah.Musim hujan orang dah fokus nak tanam padi bagai.Begitulah kitarannya panorama zaman saya sekolah dulu.


Laksa lemak saya versi kuah sardin dan ulam pucuk putat..


12 comments:

  1. Pengalaman yg unik utk dikongsikan. Tentu terkenang dulu semasa lalu tu yang tiber terbuat laksa malam² apa nak jadik, jadiklah janji dapat makan laksa. Mak mertua dan kak ipaq tak pnh masak laksa ni, dorg lebih ke arah laksa Penang, mgkin sebab mak mertia org Kulim yg lebih dekat dgn Pulau Pinang.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tak semua tempat ada laksa ni kot..
      Rasanya laksa lemak ni famous kat velah Pendang ni ja SK...
      Adoi...dah reply sblm ni rupanya tak lekat

      Delete
  2. Perkongsian pengalaman yang menarik. Bagus kalau menulis buat buku ni - memoir.

    Haritu ada orang beri laksa lemak. Pertama kali saya merasa, sedap kena selera saya 😋. Jadi terliur tengok laksa lemak mamaCella nilah.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kan...sedap kan Ujie...
      Kalau tekak saya memang lagi suka laksa lemak berbanding asam laksa.

      Delete
  3. Yamsss saya tahu rasanya mesti sedap!

    ReplyDelete
  4. akak guna laksa jenis apa?haritu saya pernah buat sekali laksa ni tapi guna laksa kering tp macam tak bersalut dengan kuah,jadi tak syok nak makan,kuah dah sedap

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya guna laksa brand "Eka" tapi yang jenis laksa halus.
      Lepas rebus.basuh beberapa kali & bair dalam ½ jam sebelum makan.Kalau lepas basuh terus makan..kuah jadi tak bersalut sebab laksa basah

      Delete
  5. Malu nak kata, sy tak pernah makan laksa lemak mcm ni 🤭 tapi tu la, mula dah berangan nak buat bila Abang balik asrama nanti. Dia bole geng makan apa pun hehe....
    Pucuk putat buat ulam pun sedap nooo

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tak semua tempat kot ada kuah ni.Hari tu ada yang komen kata depa panggil " Laksa Pendang" sebab jumpa kat Pendang ja..tempat depa takda..

      Delete
  6. Cantik pucuk putat! Memang kena rajin cantas untuk kekal rendah dan rendang.
    Memang sedap menikmati laksa kalau kuah meresap dalam laksanya.

    ReplyDelete
  7. SA x pernah jumpa laksa jenis ni..selalu asam laksa je..pucuk putat tu pun SA x pernah jumpa...

    ReplyDelete