Monday 30 November 2020

GLASSES & CHERRY

 Seharian dia mengadap & hasilnya... 

Glasses & Cherry...






Ilustation by : Cella

RONDA-RONDA TERAPI MATA

 Bangun sejak pukul 4 pagi tapi tak tahu apa dibuat. Semua serba tak sempat sahaja rasanya. Usai menjemur kain baju pagi tadi terus gerak 


Hari ni sarapan kat tempat kerja. Sarapan roti bakar sapu garlic spread sahaja kat little pantry ni.Saya dengan kerja. Cella juga dengan kerjanya. Segala barang dihangkutnya bawa. Katanya nak online kelas sambil temankan saya. Ada lagi beberapa orang datang siapkan kerja hari ini tapi masing-masing cakap nak balik awal
Kemudian  Ita pula ajak saya ke belakang tangki air untuk mencari buah cermai. Memang saya ngan Ita sahaja yang selalu mencari buah cermai di pokok dekat tangki air tu. Sambil tengok Pak Man berkebun. 

Pokok cermai juga sudah tua dan tidak sesubur dahulu. Dulu beberapa tahun dulu masa pokoknya masih muda & kak Siti jadi security guard selalu kak Siti petik pucuk cermai tu untuk saya waktu petang sebelum saya balik. Sedap dimasak lemak putih. 

Ni gambar dari galerry lama. Saya masak pucuk cermai masak lemak putih. Rasanya lebih kurang sayur pucuk manis. Pucuk cermai masak lemak putih ni selalu tengok mak saya masak masa saya masih sekolah rendah semasa dikampung lama.Masa tu ada pokok cermai besar di tepi halaman pondok kecil kami. Pagi-pagi saya akan kutip banyak-banyak ranting pelepah daun cermai yang gugur & ikat buat penyapu seperti penyapu lidi. Tak perlu diraut kerana lidi pelepah cermai tu akan gugur setelah daunnya juga gugur. Kalau musim kemarau daunnya semua gugur. Kemudian akan berpucuk kemerahan dengan lebatnya. Masa tu lah mak saya akan petik pucuk-pucuk merah yang masih lembut & masak sayur lemak putih. 

Tidak banyak buah cermai yang dapat hari ini dari pokok kat tepi tangki air tu. Ita dengan saya memang boleh ngam kerana cerita kami memang tentang kampung & berkebun. Ita memang berkebun di rumahnya. 

Ini pokok kerkup 
Benihnya saya bawa dari kampung & bagi Pak Man tanam. Tapi hari ni Pak Man tiada, hanya tinggal Pak Zul. Kata Pak Zul, hari Pak Man akan menjalani pembedahan di Hospital Sungai Buluh kerana masalah jantung. Semoga Pak Man dipermudah urusan & diberi kesembuhan oleh Allah s.w.t


Dicelah-celah rumput tu banyak sahaja pokok pegaga tetapi sudah ditenggelami rumput. Dulu cleaner  dua orang tu selalu petikkan untuk saya.Hari ini kami hanya berbual dari jauh.Mereka minta saya  jangan dekati mereka kerana diperumahan mereka sudah ada kes positif Covid 19.Walaupun berlainan blok tapi kata mereka biarlah kita sama-sama jaga kita. Sudah ada beberapa keluarga sedang melakukan kuarantin kendiri. Lihatlah, cleaner pun ada kesedaran tentang Covid. 


Mula hajat nak petik pegaga ni
Tapi mengenangkan Pak Zul tu juga dari perumaham sama dengan cleaner, baiklah saya dan Ita segera beredar dari kawasan tersebut. Bak kata cleaner tadi #kitajagakita#


Minggu lepas memang nampak Pak Man semai pokok ni. Pak Man kata pokok salad. Minggu ni dah nampak pucuknya


Ni pokok-pokok kangkung Pak Man.. Semoga tuannya. cepat sihat & dapat jaga pokok ni.Bulan lepas, dapat rasa Sawi Korea hasil tanaman Pak Man. Sebelum tu dapat cili putih Sabah, bayam Brazil & terung. Alhamdulillah, Pak Man & cleaner selalu berkongsi hasil tanaman mereka. Kadang berkongsi info jika ada jualan diperumahan mereka. Tidak rugi berbaik dengan semua orang walau siapapun mereka. Kita pun bukan siapa-siapa pun. 

Buah Delima ni dulu besar-besar. Tapi sejak pokoknya sudah tua. Buahmya makin kecil

Nampak pokok mengkudu. Ita ajak saya petik pucuk mengkudu. 

Dapat secekak. Cuma sudah tidak berapa muda. Ini kalau masak lemak putih. Ada pula budu atau sambal belacan. Sedapnya lahai.. Tapi hari ni memang tak la.Entah pukul berapa nak balik ni.


Sunday 29 November 2020

UBI KELADI REBUS CICAH KELAPA

 Teringin nak makan ubi  keladi rebus cicah kelapa. Tapi tiada pokok keladi hendak dikorek ubinya. Kalau dapat keladi telur sedapnya lahai direbus empuk dicicah kelapa bergula + sikit garam. 


Tiada keladi telur, keladi tidak bertelur pun boleh. Keladi juga kan.. Kalau keladi telur terus direbus bersama kulitnya. Hendak makan baru dikopek kulitnya. Tapi ini keladi Indonesia. Saya kupas kulitnya & potong dadu besar-besar. Kalau direbus takut berlendir pula. Maka saya kukus. 20 minit dikukus, alhamdulillah empuk gebu ubinya. Harum aroma keladinya. Warna ungunya terserlah



Padat isinya & sungguh sedap pada tekak. Saya. Dimakan bersama kelapa parut putih bergaul gula dan secubit garam


Sayangnya tidak dapat digandingkan dengan Kopi 0.Saya hanya lawankan bersama teh 0 panas.. Kalau dulu-dulu emak saya memang menanam pelbagai keladi di kampung. Hendak makan ubinya gali sahaja. Hendak menggulai pelepahnya potong sahaja seberapa yang hendak. Tapi ada petuanya. Kata emak masa potong pelepah keladi kena berlawanan cahaya matahari. Jangan terpijak bayang sendiri, supaya keladi yang diambil tidak gatal. Apa rasionalnya wallahua'lam. Tapi itu dulu, sekarang dikampung  pun susah hendak menanam. Lagi-lagi kalau ubi-ubian. Serangan babi memang tidak terkawal. Kata emak beberapa bulan lepas emak cuba menanam ubi kayu. Alhamdulillah elok suburnya & sudah mula berisi. Beberapa hari lepas emak call bercerita sekarang musim hujan. Sudah beberapa hari tidak balik ke kampung. Kata emak hendak pulang ke kampung untuk menggali ubi kayu yang ditanam.Malangnya, tanaman ubi kayu emak sudah rata disondol gerombolan babi. Pandai pula babi-babi tu tahu bila ubi sesuai dituai. Kalau tanam keladi lagilah menjadi favourite si babi-babi itu. Dulu-dulu babi hanya menghuni hutan & jumlahnya tidak banyak. Tapi sekarang terlalu banyak babi hingga berkeliaran dijalanraya pun.Bukan spesis babi hutan, tapi spesis babi peliharaaan. Kata orang kampung, ia berpunca ketika wabak JE melanda negara satu ketika dahulu. Ada orang-orang yang tidak bertanggungjawab membawa babi-babi peliharaan mereka & dilepaskan dihutan untuk mengelakkan dimusnahkan oleh pihak berkuasa. Kesannya berlaku pembiakan tidak terkawal. Babi pula kalau sekali beranak bukan seekor dua. Yang menjadi mangsa adalah orang-orang kampung. Habis tanaman dimusnahkan. Anak-anak getah yang baharu ditanam juga menjadi mangsa serangan babi.Kerugian bukan sedikit. Berulang kali menanam getah belum tentu panjang umir pokok tu. Kehidupan juga terganggu kerna  babi ada dimana-mana. Kalau fikir masalah negara boleh sakit lagi kepala. Sekarang nak makan semua kena beli. Nasib baik juga rumah dipekan tu ada juga tanahnya sejengkal dua untuk emak bercucuk tanam ulam & cili. 


Lemak lunak bila dikunyah. Rasa ubi keladinya kenyal kenyal bercampur kelapa. 

Berketul-ketul saya makan tanpa rasa bersalah sedikit pun.. Hihihi

TELAGA ITU

 Sebuah telaga di tepi bendang.. di kampung lama kami... 

Tempat kami berkongsi mandi, membasuh & mendapatkan bekalan air minuman. Telaga itu dikongsi oleh 4 keluarga. Tidak pernah ada jadual untuk siapa yang patut dulu mandi atau membasuh atau mencedok ainya mengisi tempayan minuman. Pandai-pandailah menggunakan mata untuk melihat ada kelibat jik orang sedang mandi. Pandai-pandai telingalah untuk mendengar bunyi basuhan menandakan ada orang sedang membasuh.Jika yang mandi & yang membasuh itu sejantina, pergi sajalah. Bukankah sambil mandi, sambil membasuh boleh juga bertanya berita, berkongsi sabun jika sudah kehabisan. Tapi andai yang sedang mandi & membasuh itu lain jantinya, tunggulah sekejap. Tidak begitu manis, apatah lagi jika yang sedang mandi itu anak gadis. Tentu ada malu & segannya. Cuma kadang bila terdesak untuk berkejar kemana-mana pepandailah mencari ruang untuk mencelah mandi. Anak dara yang sedang berkemban itu jangan diusik. Anak dara juga walau berkemban, pepandailah tutup bahumu yang terdedah dengan kain batik atau tuala.Jika yang membasuh itu pangkatnya makcik & nenek, boleh sahaja berbual bicara sambil mandi.. in sya Allah tidak berlaku fitnah. Tapi jika isterinya orang, cukup sekadar menegur sepatah menandakan kamu terdesak menggunakan telaga  untuk bersegera. Tak perlu terlalu beramah mesra. Telaga bukan tempat nya. Telaga itu bulat. Jika yang membasuhnya disebelah sana, bukankah ada lagi ruang disebelah sini untuk mencedok airnya. Hati-hati semasa mencedok airnya, jika terlepas tali timba, satu masalah juga kepada semua. Jika timbanya dibuat daripada gelen minyak disel plastik masih ada pilihan kerana timbanya masih timbul. Carikan ranting kayu yang panjang, kaitlah tali timba tu & tarik ke atas. Teruskan mandi. Tapi andai timba daripada tin minyak kelapa cap  udang yang potong separuh itu, andai terlepas talinya, tenggelamlah ia ke dasar telaga bersama talinya. Boleh dapatkan galah yang tersandar dipohon rambai tu, tapi nanti keruhlah telaga digagau galah yang mencari punca tali timba. Untung nasib dapat juga tali timba tersangkut pada galah & naik lah semula timba itu kedarat. Jika tidak bersemadilah timba itu didasar telaga. Tunggulah musim kemarau akan terungkaplah segala rahsia di dasar telaga .Kalau yang jujur, maka dibuatlah timba baharu sebagai ganti. Selalu terjadi si penjatuh timba akan mendiamkan diri bila semua orang sudah riuh mencari timba. Mana tidak riuh, yang baru balik dari bendang ada selut hendak dicucikan. Yang balik dari motong, ada bau yang hendak dibersihkan. Habis riuh, timbanya tidak juga muncul, tahulah mereka timba sudah tenggelam di dasar telaga.Tidak perlu ditanya siapa pembuat onar, tapi jalan penyelesaian harus difikirkan. Bukan mudah mendapatkan tin minyak masak @ gelen minyak disel untuk menggantikan timba yang tenggelam. Altenatifnya upih pinang di potong dilipat menjadi bentuk timba. Segala akar menjalar dihutan rumbia dipintal panjang & diikat pada timba  upih pinang. Dapatlah semua 4 seleluarga mencedok air semula. Cuma kelemahan menggunakan timba upih ini ia terlalu ringan & semasa dijatuhkan ke dalam telaga ia sukar diterbalikkan bagi membolehkan air dicedok. Puas menggerakkan tali baru air terisi.Tapi apa pilihan yang ada? Tunggulah hari Sabtu nanti tokwan akan ke pekan menjual anor & kok. Sebelum balik bolehlah tokwan minta gelen atau tin minyak kosong dari Cina AhKuang. Jerat lembu yang tersimpan di alang jelapang boleh dijadikan tali timba. Akan bergantilah timba baharu nanti. Tinnya harus dipotong separuh. Timbanya jangan terlalu besar & tinggi. Nanti tidak terangkat oleh anak-anak kecil yang mamdi. Dapat mandi dengan adanya timba baru juga sudah menjadi  satu keterujaan. Maka anak yang sehari sekali mandi akan berulang 3 kali sehari mandi bertimbakan tin minyak atau gelen plasti yang baru. 

Saya yang masih bersekolah rendah, akan berulang alik sehari beberapa kali mengangkut air untuk membasuh pinggan & untuk isi ditempayan. Jika langit mendung, emak sudah berpesan, salin tempayan. Buang semua sisa air lama & basuh bersih. Isi tempayan penuh-penuh. Jika hujan turun nanti air telaga akan keruh. Jika hujan berterusan air telaga akan bertambah keruh & terpaksa menunggu berhari-hari untuk ainya kembali jernih. Sebab itulah bila mendung mesti pastikan tempayan penuh berisi. Jika tidak, air keruhlah menjadi minuman. Jika musim hujan, andai air kosong dihidangkan itu jernih, menandakan anak gadis rumah tersebut seorang yang rajin & beringat. Jika gelas dihulur airnya keruh,pelbagai andaian boleh disimpulkan. 


Kini telaga itu sudah berkubur. Kampung itu sudah usangSelepas tokwan meninggal, kami berpindah. Rumah tokwan juga sudah tidak berpenghuni. Hanya tinggal 1 rumah. Pun sudah berperigi sendiri. Kini air  paip sudah mengambil alih. Sesekali pulang kenangan itu masih utuh. Beberapa bulan yang lepas ketika Raya Haji, saya bersama Achik cuba menjejak tapak telaga itu. Malang tidak kami ketemu. Landskapnya sudah berubah. Penuh semak samun tidak berbela. Pohon rambai juga sudah tiada kesan tunggulnya. Bendang di tepi telaga juga sudah hilang bentuknya. Hendak berlama juga sudah tidak berani. Saya & Achik tinggalkan kawasan telaga. Telaga itu sudah hilang. 

Saya hanya mampu memberi gambaran. Berdasarkan bayangan kenangan masa silam. 


Ilustrasi : by Cella (medium pen & water colour) 



CUCUR JAGUNG + BILIS KUDAPAN MALAM

 Kudapan malam tadi

Cucur Jagung + Bilis bersama Thai Chilly Sauce. Dilawankan  dengan teh 0 panas. Bertemankan hujan sepanjang malam. 

Makan panas-panas. Rangup, masin, pedas dan sikit manis. Tak sedar habis sebekas



Sambil menghirup teh 0 panas. Riuh rendah katak di luar sana memanggil hujan. Apa lagi yang nak dipanggil. Bukankah hujan sudah turun? 


Jagung dibeli sudah lebih seminggu. Hendak dibuburkan sudah tidak sesuai. Sudah mula kering & berkedut isinya. Kalau dibubur juga akan terasa hambar & berhampas. Jangan dibuang makanan itu, tambahan dikala ekonomi negara sedang diuji. Makanya jagung ducucurkan bersama bilis. Sedapnya hingga kegigitan terakhir. Benda yang nampak tidak begitu beharga pun, jika diolah diberi perisa. Mampu sahaja menawan selera. 

CUCUR JAGUNG +BILIS
2 tongkol jagung-hiris ambil isi
2 genggam bilis-bersihkan kepala & perutnya
1 biji bawang holland-dadu halus
1 cili merah-hiris halus
1 pokok daun sup-hiris
1 cawan tepung b
1 biji telur
1 sudu teh garam
1 sudu teh gula
Minyak

1. Gaul tepung, jagung, bawang, daun sup, cili, garam dan gula hingga bercampur rata. 
2. Pacahkan telur  & gaul 
3.Tambah air sikit demi sikit hingga sekadar melekatkan adunan. Jangan lembik nanti menyerap minyak
4. Jemput dengan tangan anggaran sesudu makan & sambil leperkan & terua masukkan dalam minyak yang sudah dipanaskan. 
5. Goreng sambil dibalik-balikkan
6. Angkat & hidangkan dengan sos cili

Alhamdulillah.. Rezeki malam

Saturday 28 November 2020

AIR NASI

 

Air Didihan Nasi atau hanya dipanggil Air Nasi. Minuman nostalgia zaman dulu. Bila mak tanak nasi terutama menggunakan beras yang baharu dituai padinya memang selalu dapat minum air nasi ni. Tiap kali emak tanak nasi atas dapur kayu yang tinggi tu, saya akan panjat tin beras yang bersusun tepi dapur kayu tu. Menanti dengan harapan ada air nasi yang mak akan cedok. Beras kalau padi yang baharu dituai agak sukar hendak mengagak airnya. Ini kerana beras daripada padi baru lebih kurang beras wangi cap naga. Baunya sangatlah harum tak ubah seperti beras wangi. Teksturnya memang melekit berkanji macam juga beras wangi. Kalau terkurang air akan mentah. Kalau terlebih sikit air akan lembik. Jadi selalunya untuk elak nasi lembik, mak akan buangkan sikit air masa mendidih. Air tu memang pekat kalau nasi beras baru. Mak akan sendukkan perlahan supaya tidak tersenduk nasi yang sedang mendidih itu. Dapat dalam 1 cawan mak tambah sikit garam & gula. Kacau & berebut minum dengan adik saya Achik. Itulah Air Barli bagi kami. Hingga sekarang sesekali saya masih mencedok air didihan nasi & +gula & sikit garam & menikmatinya. Sunggulah tidak seenak nasi puluhan tahun dahulu tapi setiap kali minum, kenangan-kenangan lalu tetap segar dalam ingatan seperti baru sebentar tadi terjadi. 


Bila padi semakin lama disimpan dalam jelapang, bila dijemur & dihantar ke kilang untuk dimesin dijadikan beras, lama kelamaan beras sudah tidak lagi sewangi ketika baru dituai. Sikit demi sikit beras kembali rasa seperti beras biasa. Jika terlalu lama disimpan padinya, beras yang terhasil akan sedikit kemerahan & dipanggil padi usang atau beras usang. Dulu hampir setiap rumah ada jelapang sendiri untuk menyimpan padi untuk bekalan hingga tiba pula musim menuai padi musim seterusnya.Seguni atau 2 guni dipilih daripada padi terbaik diasingkan & ditandakan sebagai padi benih. Yang itu tidak akan diusik.Yang selebihnya adalah untuk stok makanan harian. Kalau ada kenduri kahwin di kampung, mak cakap memang orang kampung akan sumbangkan padi kepada tuan kenduri. Seorang 1/2 guni akan dikumpul, dijemur & ditumbuk bergotong royong beramai macam rewang. Yang berjiran akan menggolek lesung ke rumah yang akan kenduri untuk membolehkan menumbuk padi beramai. Rempah kari pun mak cakap masa perkahwinan emak dulu bergantang-gamtang perlu ditumbuk untuk gulai 2 ekor kerbau. Mak cakap rempah ketumbar, jintan segala dijemur & disangai. Kemudian ditumbuk di diayak  secara bergotong royong. Zaman saya, sudah tiada lagi acara menumbuk rempah ratus tu. Sudah dibeli rempah siap bentuk serbuk tu. Cuma padi, saya sempat merasa beras daripada padi yang ditumbuk & dikisar dengan pengisar tangan. Dulu kat kampung saya padi hanya sekali setahun kerana tiada bekalan air yang disalurkan melalui  tali air. Hanya mengharap hujan semata-mata. Tapi rezekinya Allah kurniakan kemenjadian hasil memang tak terjangkau akal. Dengan limpahan padi, ikan haruan, keli, puyu dan segala macam pokok buah-buahan yang tidak ditanam tapi banyak yang tumbuh sendiri & dikongsi makan seluruh kampung. Ok dulu meraban hari ni. Dari Air Nasi dah jauh pula merabannya. Hihihihi

MASAK SPAGHETTI JER

 Semalam Jumaat lepas masak Abuk-abuk Sagu terus ketiduran. Sakit kepala kembali menyerang. Mungkin sebab hari Khamis saya minum kopi masa makan rendang itik dengan cleaner tu. Malam tadi makan ubat & tidur dengan harapan bangun pagi ni akan lega. Sama seperti saya yang degil tak mahu tinggalkan kopi, maka sakit kepala pun degil tak mahu lega. Padan muka


Pagi tadi dalam kesakitan kepala bangun juga masak bekal untuk bujang. Kesian pula semalam pun saya masak ketupat goreng tu lambat tak sempat bawa bekal sebab masuk kerja awal. Hari ni masak express sahaja. Spaghetti Bolognese. Guna sos segera Adabi sahaja. Tambah sosej. Pukul 5 pagi dia dah gerak 


Makanya merangkap lunch la untuk yang kat rumah. Saya tidak minat spaghetti bolosnese ni. Lepas subuh, kepala sudah tidak boleh tahan, saya bancuh secawan milo, bakar 2 keping roti garlic & telan pula sebiji Synflex. Kita dilarang tidur selepas subuh tapi saya tertidur juga. Siap mimpi pergi ambil ubat  ke Klinik D. Mansur.. Hihihihi tu namanya mimpi siang hari. Orang dah ke bulan, ekau masih bermimpi... Alhamdulillah bangun sebelum zuhur tadi sakit kepala dah hilang. Betul lah nikmat kesihatan itu tiada tandingnya.. Setakat Allah uji dengan seciput kesakitan tu adalah sebagai kifarah untuk menggugurkan dosa-dosa kecil. Apalah sangat nak dibandingkan dengan nikmat seluas alam yang Allah kurniakan...Alhamdulillah..... 

Bangun tengok Cella masih di meja dengan asigmentnya... Dia cakap kakaknya ke Bangi.. Mereka berdua dah makan spaghetti tu.. Mmmm kepala ligat lagi berfikir nak masak apa ni petang ni..Kat Radio Klasik DJ AdiSuwardy tengah buat servey  dengan topik minum petang dengan menu cucur. Cucur Udang, Cucur Bawang & Cucur Bilis dipertandingkan. Macam sedap la pulak.. 

ABUK-ABUK SAGU KUIH NOSTALGIA

Semalam seharian dalam rumah. Tidak kemana-mana.. Saya masak Kuih Abuk-abuk Sagu. Kuih nostalgia juga ni. 


Kuih abuk-abuk sagu ni emak saya tidak pernah buat pun. Kali pertama makan & kali pertama belajar buat masa subject Sains Rumah Tangga ketika tingkatan 2 dalam Bab Kuih Tempatan. Antara menu & resipi kuih tempatan dalam bab tersebut yang masih saya ingat ialah kuih abuk-abuk, onde-onde keledek, kuih keria, cucur badak, lepat pisang, kuih kasui, pulut panggang, kuih cara.Dalam jadual  subject SRT akan ada 2waktu seminggu. Pelajar lelaki  tidak belajar SRT. Mereka boleh pilih hendak Sains Pertanian(bertani) atau Seni Perusahaan(bertukang) Jadi masa subject SRT/S. Pertankan/S. Perusahaan, kelas akan berpecah. Lelaki ke kebun @ bengkel. Perempuan ke Bilik Jahitan/Bilil Masakan. Cikgu SRT akan ajar masak berselang minggu. Seminggu memasak. Minggu berikutnya menjahit. Saya masih ingat nama-nama cikgu SRT dari tingkata1 hingga tingkatan 3.Tingkatan 1 Cikgu Rahimah, cikgu yang paling cantik. Tingkatan 2 Cikgu Azean, andalusia garang macam singa. Tingkatan 3 Cikgu Fauziah sangat bertimbang rasa. (siap lablekan cikgu) hihihi. Cikgu Rahimah cantik & kalau waktu masak/jahit  kena cermat & bersih. Masak tak jadi pun tak apa kalau dengan Cikgu Rahimah. Janji bersih & cermat. Cikgu Azean paling garang. Kalau dia marah waktu jahitan kat Bilik Jahitan boleh dengar sampai seluruh sekolah. Selalunya sayalah yang kena marah tu, nanti saya cerita sebabnya dalam siri yang lain. Tapi kalau waktu memasak Cikgu Azean terpaksa suka kepada saya kerana Cikgu Azean tahu saya sangat komited kalau waktu memasak. Kalau masak tak jadi, jahit tak ikut apa yang beliau nak.. Siaplah kau.. Dicubit dipiat telinga sampai tercabut tudung kau. Cikgu Fauziah pula sangat bertimbang rasa. Cikgu Fauziah juga garang tetapi sangat bertimbang rasa. (dapat tahu Cikgu Fauziah dah meninggal-Al Fatihah untuk arwah) .Tapi.judgement saya la terhadap cikgu-cikgu SRT.Mereka juga pastinya ada judgment terhadap saya juga kan.. Hihihi


Kuih abuk-abuk ni pun Cikgu Azean garang macam singa tu la ajar. Hihihi
Kalau time masak masuk Bilik Masakan  1 meja 2 kumpulam. 1 kumpulan 2 orang. Partner saya masa form 1 saya dah lupa. Masa form 2 sampai form 3 parnet saya Siammese. Namanya paling pendek kat sekolah. Ti A/P Tian.Ti ni adik beradiknya nama simple-simple semua. Yang saya ingat abangnya form 5 nama Siang. Abang kepada Siang nama Asun. Dulu sekolah Bilik Masakan peti ais pun tiada. Tiap kali ada masak banyak bahan  utama kena bawa sendiri, kecuali bahan-bahan kering banyak yang disediakan kat Bilik Masakan. Kalau kena bawa barang basah seperti kelapa, cili giling bagai memang saya yang akan bawa.Saya tak benarkan Ti bawa, Ti pun faham kita masyarakat Islam ada halal haram. Kalau kena bawa kelapa parut, pagi-pagi buta saya sudah kena bangun, kukur kelapa bertemankan pelita minyak tanah. Pernah masa masakan dalam topik lauk pauk, saya kena masak  Asam Pedas Tumis & dalam topik telur, saya kena masak Sambal Telur. 
Saya curi. telur ayam dalam sarangnya 5 biji. Tak berani cakap sebab tahu ayah memang tidak akan bagi.Bab cili memang saya menggiling cili kering pagi-pagi sebelum gi sekolah.Can you imagine? 
Pengalaman macam ni saya selalu ceritakan kepada Cella waktu sedang memasak & waktu dalam kereta. Masa tu form 2.Bila dah form saya dah tinggal di asrama, tak boleh nak bawa barang basah lagi dah. Saya pun dah  tak ingat masa form 3 kalau kena guna barang basah apa solutionnya untuk saya yang partner dengan Siam. 

Masih ingat lagi Cikgu Azean cakap, sagu ni dia tawar, sebab tu kena campur kelapa, garam & intinya gula. Kalau cekodok pisang tidak apa sebab pisang sudah manis. Apa saja Cikgu Azean cakap memang kena ingat sebab dia memang garang nak meninggal(sebenarnya garang nak mamp*s) tuttttttttttt.... 


Tapi masa Cikgu Azean tunjuk beliau tidak tunjuk kon ni disemat lidi. Cikgu ajar lipat bagi kemas & dirikan dalam kukus lubang besar tu. Yang ni saya semat lidi cungkil gigi sebab saya nak kukus sambil baringkan kuih. Kalau tak semat lidi nanti dia terbuka pula. Kuih abuk-abuk ni antara yang selalu juga saya masak sebab mudah & tak banyak bahan. 

ABUK-ABUK SAGU...
2cwn sagu (rendam kembang)- sebaiknya direndam semalaman @ beberapa jam
2cwn kelapa putih
1 sudu teh garam halus
15 keping daun pisang -anggaran setiap satu selebar tapak tangan orang dewasa
  (jika daun segar-layur atas api supaya lembut
   jika daun layu x perlu lagi layur)

Inti:
1/2 ketul gula melaka
1/4 cawan gula pasir
( boleh ganti brown sugar)

1. Sagu dibasuh dan direndam dalam air yang banyak..(Jangan dikacau-kacau sagu tersebut... in sha Allah  sagu tidak akan hancur)
2. Toskan sagu dan buang air rendamannnya
3. Campur sagu dengan kelapa parut putih dan garam halus.gaul rata
4. Gula Melaka diracik halus atau disagat kasar dan gaul bersama gula pasir
5. Buat kelongsong atau kon menggunakan sekeping daun pisang (Rujuk kat sini.. & KAT SINI... juga 
6. Isikan 1 sudu besar campuran sagu  dalam kon dan gunakan batang sudu untuk membuat lubang ditengah2 sagu untuk mengisi 1 sudu teh inti gula Melaka yang dicampur gula pasir)
CARA ini akan menjadikan intinya berda ditengah-tengah kuih.
7. Tutup kon dan lipat dengan kemas supaya kuih tertutup
8. Buat sehingga habis dan kukus anggaran 15 minit sehingga kuih masak
9. Cara menguji kuih sudah masak ialah dengan mengambil sebungkus kuih dan buka untuk lihat isinys
10. Jika semua sagu berwarna jernih itu manandakan kuih sudah masak.\
11. Jika masih ada bintik pitih pada sagu..tambah masa mnegukus beberapa minit lagi

** Satu lagi cara ialah dengan memasukkan 1 sudu campuran sagu
     Kemudian masukkan 1 sudu campuran inti gula melaka
    Tutup semula campuran inti dengan 1 sudu lagi campuran sagu
    Kemudian baru dilipat kemas
    TETAPI cara ini akan menyebabkan kuih terputus dua bila sudah masak


Sagu sudah dibasuh & direndam  1/2 jam

Sagu dan kelapa parut bergaram

Gaul rata

Daun pisang pemberian Rohanita. Semoga Allah menggadakan pahala buat Ita yang selalu bagi macam-macam hasil tanamannya. Pisang, kantan, jantung, ulam sehinggalah umbut batang pisang pun Ita bagi
Sepatutmya saya nak guna gula kerek yang beli kat Pasar Payang masa hantar Cella tu. Tapi sebab sudah 3 bulan, gula sudah melebur. Saya cuba guna gula merah ni. 

Gula merah + gula perang. Tengok juga gula merah tu ada yang jenis berpasir.Tapi jujurnya lagi sedap inti gula nissey




Dah siap bungkus. Daunnya cantik & bila sudah dimasak pun daunnya masih hijau memawan. Ita cakap daun pisang ni pokoknya ditebang kerana buahnya banyak biji.Baru ni baca info dalam blog Warisan Petani ada cakap pasal Pisang Benggala. Nanti saya nak sampaikan info tu kepada Ita


Kukus dalam rice cooker  sahaja

Siap masak

Try buka 1. Tengok dah betul-betul masak ke 


Alhamdulillah..