Sunday 31 January 2021

SAYUR BENING BETIK & THE GANG

Eh, ada draff la pasal semalam punya semalam punya lauk

Sayur bening betik. Lauk mak-mak


Biasa orang guna betik muda untuk rasa lebih ori. Tapi saya suka betik mengkal untuk ada rasa manis-manis sikit. 
Hanya hiris betik. Campak bawang putih bawang merah hiris dan sejemput bilis. Eloknya 3 bahan ni tumbuk dulu baru lagi sedap. Tambah garam & dalam 15 biji lada hitam/lada putih tumbuk.Boh air sampai tenggelam betik masak la sampai mendidih & betik lembut. 
Lauk macam ni saya suka hirup panas-panas.Makan nasi, kemudian hirup kuah. Saya tak suka kuah-kuah banjir. Agaknya saya sesuai tinggal kat padang pasir kot.. Hihih

Makan lauk macam ni memang berpeluh sebab kuah bening ni ada letak lada putih Asalnya nak letak lada hitam tapi yang ada hanya lada hitam biji belum tumbuk. Lada putih ada stok dah siap tumbuk 


Sambal terung pipit ni pun saya masak masa masak betik bening ni la. Memang berpeluh la. Makan nasi gaul sambal pedas berapi ni. Hirup sayur bening betik pun pedas juga.. Mana tak berpeluh.. Hihihi


Ikan pekasam goreng. Baru la kena gandingan untuk sayur bening & sambal terung pipit. Kena pada tekak saya la.. Tekak anak-anak memang tak la.. Tekak depa tu takdak taste. Hanya tau ayammmmmmm sahaja.Hihihihihi



Nasi jangan lupa pulak. Selalu juga terjadi kan, lauk dah siap, tengok rice cooker tak on.. Hihihi


LEMPENG HAMPAS ALMOND

Hari ini kesibukan sebab semua kerja buat tanpa perancangan yang betul. Semua kerja jadi lembab. 

Pagi masak Lempeng Hampas Almod. Semalam kan buat susu almond. Hampasnya tidak dibazirkan. Sayang sebab almond mahal. Lagipun hampasnya banyak fiber. 


Maka malam tadi lagi saya plan nak masak lempeng ni. Dah siap adun tepungnya. Tapi semua kekenyangan sebab makan nasi lewat petang. Adah & abangnya pun balik kerja hampir serentak. Terus saya panaskan nasi & lauk & pukul 6.30 semua dinner nasi. Adunan yang dah dibancuh saya tutup dengan plastic cling & simpan dalam peti ais. Jimat dah untuk sarapan dah ada menu


Maka pagi ni sarapan lempeng hampas almond ni la. Saya buat ala lempeng korea tu


Hampas almond, sisa buat susu almond semalam


Adunannya ikut adunan lempeng ala Korea, cuma tambah hampas almond. Udang pun tak ada, ganti ikan bilis sahaja. 

LEMPENG HAMPAS ALMOND
2 cawan tepung gandum
½ cawan hampas almond
1½ cawan air
1 biji telur
1/2 sudu teh garam
1/2 cawan udang/ganti ikan bilis
1/2 cawan kucai potong
2 biji cili api merah
minyak
1. Campur tepung gandum dan hampas
2. Gaul bersama garam dan bancuh dengan air.
3. Tambah kucai,cili potong, udang dan telur.
4. Biarkan 15 minit supaya adunan sebati
5. Panaskan 1 sudu minyak dalam pan/kuali.
6. Tuang 1 senduk penuh batter
7. Masak hingga nampak garing bawahnya dan terbalikkan.
8. Masak kedua2 belah hingga garing
9. Hidangkan bersama sos kicap



Siap melempeng. Dapat la 8 keping

SOS KICAP
1/2 cawan kicap cair
2 cili api merah- cincang halus
1 sudu teh gula
1 sudu besar cuka
1 ulas bawang putih - cincang halus
2 helai daun kucai- cincang halus
- Campur  semua bahan dan sesuaikan rasanya.


Dapat la sorang 2 keping. 


Saturday 30 January 2021

SUSU BADAM / ALMOND MILK

 Saya memang suka almond. Tapi suka makan roasted almond. Selalu beli yang pack kecik kat Petronas @ Speedmart yang harganya rm4. 99 tu. 10 tahun dulu harganya rm 1.99 sahaja. La ni dah 3 kali ganda dah harganya.. Selalunya saya beli time isi minyak kereta & makan sorang-sorang sambil drive.Tak mau bawa balik sebab kena share.. Hihihi


Susu almond pernah tahu tapi rasanya tak pernah beli. 1st time minum, Adah beli.Dia kata bagus susu almond tu. Pastu dia tak mimum pun sebab dia kata rasa pelik & tak sedap. Saya cuba minum & rasa memang lah tak sesedap susu biasa tapi sedaplah. Saya memang tahu khasiat susu almond tapi tak pernah membeli. Apatah lagi membuat sendiri.


Tapi hari ni saya merajinkan diri buat susu almond sendiri. Banyak khasiat susu almond ni. Antaranya baik untuk jantung, buah pinggang & juga anti canser serta banyak lagi khsiat lain terutama untuk yang umur dah banyak  macam saya ni. Bukan selalu minum pun tapi dah ada, minum lah kannn.. Hihihi

Dapat lah 2 gelas untuk minum & lagi sebotol tu saya simpan dalam peti ais untuk minum esok pulaSaya buat ni pun hasil dari Google. 


Guna 1 cawan penuh almond mentah


Basuh & rendam semalaman & basuh hingga air jernih


Blend dengan 4 cawan air

Tapis 


Hampasnya. Macam oats pulak. Mula saya guna penapis santan ni. 

Saya tapis beberapa kali menggunakan tapis teh yang lubangnya halus. Saya buat beberapa kali untuk dapatkan susu yang tidak berhampas

Hampas-hampas halus setelah beberapa kali tapis


Masak susu almond hingga mendidih. Tambah secubit garam & sehelai pandan



Susunya agak pekat macam pati santan
Biarkan suam 

Boleh minum suam atau disejukkan beberapa jam

Ni saya minum suam pagi tadi. Suruh Cella minum segelas. 
Tapi sudahnya dua-dua tu saya habiskan


Cella hanya minum sikit. Katanya tak larat nak habiskan sebab dia kata rasa macam minum santan pekat.. Hihihi.. 

Susu Almond.. 


TERUNG PIPIT SAMBAL CILI PADI


Terung pipit ni kalau kat kampung tak dipandang sangat pun. Kalau zaman kanak-kanak lagi la, tiap kali mak masak sambal bilis letak terung pipit, eiiiiii tak sukanya. Susah nak cari ikan bilis yang jarang-jarang  dalam sambal tu. Penuh dengan terung pipit yang mostly kanak-kanak & remaja tak suka & tak akan pernah nak cuba mencari kesedapan rasa terung pipit ni. Hanya tidak suka & tidak akan suka!!! 


Tapi benarlah pesan cerdik pandai. 
"jangan terlalu membenci akan sesuatu, kelak nanti sayang kemudiannya" 


Maka benarlah juga dengan terung pipit yang semua penduduk kampung saya panggilnya sebagai Terung Belanda ini. Ia telah menjadi kesukaan saya sejak bergelar mak-mak. Dulu memandang pun tak sudi. Kini tercari-cari. Asal jumpa mesti beli. Kalau mahal, beli sikit.. 



Saya masak sambal guna cili padi & ikan bilis pun saya blend juga sekali bersama. Cili & bawang.
Saya guna cili padi dalam 1 cawan, bawang besar sebiji, bawang putih 3 ulas & sacawan bilis bersih. Asalnya nak blend kasar-kasar. Tapi terhalus juga walaupun hanya 2 kali on.. Panas minyak & tumis bahan blend. Campak sekeping asam, garam& secubit gula. Dah mendidih, campakkan terung pipit & tambah secawan air biar mendidih supaya terung empuk lembut. Kalau cara saya ni kena biar mendidih lama nak kasi terung lembut. Ada yang goreng dulu terungnya supaya cepat dimasak. Tapi saya kurang gemar nak goreng dulu sebab nanti terungnya akan  kemek & jadi kedut-kedut. 


Kalau masak tanpa goreng memang lambat sikit, tapi terungnya cantik  ploles macam pakai kolojen. Hihihihi.. Masak tak banyak pun. Tapi macam banyak la jugak.Lagipun saya sorang sahaja makan terung ni.Anak-anak takdak sorang pun nak makan. Rasanya lagi 20 tahun depa akan tercari-cari la terung ni macam saya sekarang. Zaman dulu tak makan, dah tua suka makan. Kalau menurun kepada mereka, nanti depa akan tau kesedapan terung ni.. Hihihi


Lauk ni untuk saya layankan selera saya.. Anak-anak depa makan lauk ayam. 
 




BEKAL MEE KERING GORENG BERULANG KALI

Mee kering goreng. Bekal untuk seisi  rumah semalam. 


Tapi yang 6 pack ni bekal saya & Cella ni.. Masa ni abang & kakaknya dah gi kerja. Abangnya pukul 5.45 dah gerak, diikuti kakaknya pula. Kami berdua gerak paling akhir

Ni bekal anak bujang sorang tu tapi sebenarnya telur tu dah tukar. Bekal sebenarnya dia telur rebus tu sebiji tak berkupas pun dia bawa. Dah kena start bekal semula dah setelah terhenti sekejap.Hari tu stop sekejap seminggu dua sebab rasa penat & dia pun nak makan kat cafe & mamak. Tak lama, PKP 2.0 dah tak boleh makan dalam premis, kena la back to normal.. Bawa bekal. 
Hari Selasa baru ni saya tak sempat buat bekal untuk anak bujang tu sebab dia gi kerja awal sebelum pukul 5.Katanya dia pun tak sempat nak beli makanan. Dah lewat petang baru makan beli maggi goreng kat mamak. Perut masuk angin. Malamnya muntah-muntah. Sudahnya hari Rabu MC. Rasa bersalah la pulak tak sempat masak bekal punya pasal. 


Ni bekal Adah. Pun sebiji telur tapi dah siap kupas la. Adah pula katanya kena relief staf kat branch Seri Kembangan. Kena gi awal sikit la


Masak Mee Kering ni banyak pula.. 10 keping mee memang penuh kuali

MEE KERING GORENG
1pack mee kering (10 keping)
1 keping besar dada (dari seekor ayam)
1 batang carrot - potong jejari
1 pokok daun sup + daun bawang
1/4 cawan minyak
2 sudu teh garam
1 sudu gula perang
1/4 cawan kicap

Bahan Blend:
10 cili kering
1/2 bawang besar
5 bawang putih

1. Jerang air 1/2 periuk untuk celur mee
2. Semantara air memndidih panaskan minyak.
3. Tumis isi ayam bergaram hingga masak & carik-carikkan.
4. Dalam minyak goreng, tumis bahan blend naik minyak tambah garam, gula & carrot.
5. Celur mee dalam air mendidih anggaran 2 minit sekadar untuk mee boleh dilerai. Jangan rebus lama nanti mee lembik x sedap.
6 Cedok mee & terus masukkan kedalam bahan tumis.Biar ada sikit air supaya mee dapat menyerap bahan tumis
7. Masukkan juga isi ayam  & gaul rata sambil direnjis kicap
8.Sesuaikan rasa & tabur daun sup+daun bawang


Isikan dalam bekas ni dapatlah 6 bekas. Dua bekas untuk saya &  Cella. Lagi 4 dah plan nak bagi 2 pada security guard perumahan kami ni. Lagi 2 nak bagi cleaner. Kalau tak memang tak larat nak makan kot Lagipun bekal menu yang  dah berulang kali. Dalam sebulan ada sahaja siaran ulangannya. Hihihi


Sampai sahaja tempat kerja, terus jerang air & bancuh kopi 0 dulu sebab lepas makan semua nak marathon siapkan kerja. 



Dekat pukul 7, menyelesaikan tugasan terakhir sebelum balik rumah. Post assignment. Ops, ada lagi.. Visi cari makan.. Hihihi.. Pukul 10 sudah hanyut dibuai mimpi.. Alhamdulillah, bangun pagi ni masih Allah panjangkan umur. 


KEBAIKAN vs KEJAHATAN

 

Sebaik baik manusia adalah yang mengajar kebaikan dan sejahat jahat manusia adalah yang mengajar kejahatan . 


Orang yang pertama tadi kebaikannya terus mengalir hingga selepas kematiannya , dan orang kedua tadi pula kejahatannya terus mengalir hingga selepas kematiannya, tiada siapa yang dapat menghalangnya.


(Syeikh Abdul Aziz Al-Toranfi)

Friday 29 January 2021

NASI LEMAK CHICKEN CHOP SEDAP

 Hari ni masak mee untuk bekal semua. Pagi-pagi lagi semua dah gerak ke tempat kerja masing-masing. Cella pun nak ikut maknya  hari ni. Dihangkutnya segala bahan assignment ikut saya dah macam nak balik kampung. Saya siapkan kerja saya, dia siapkan kerja dia. Pukul 4.30 kemas-kemas semua, jenguk keluar parking kosong, semua dah balik rupanya.Hanya tinggal security guard berbual di pondok jaga. Kelam kabut jugalah kemas barang, kunci pintu & mengejar masa nk ke Pejabat Pos  sebelum pukul 5.00 petang. Sampai Pejabat Pos DP

, ya ampun panjangnya Q.. Melilau cari altenatif. Kata Cella nak kena pos hari ini juga kepada lecturernya sebab due date 31 Januari. Sabtu Ahad & Isnin KL cuti. Jenuh jugalah nak cari pejabat pos sebelum pukul 5 memang tak sempat.Pergi GDex Cella pula tak nak, Jumpa J&T kat LF pun panjang Q sampai ke luar kaki lima. Cella kata dia dah google ada 1 dekat TEKUN  sana ada J&T tempat tersorok mungkin tak ramai. Alhamdulillah, sebelum pukul 7 malam tadi dah settle. 

OTW nak balik rumah tawaf pula nak cari makan sebab sudah kebuluran. Deside nak beli Nasi Lemak Chicken Chop. 


Dari pagi bawa bekal mee sahaja & inilah  sahaja yang masuk perut sejak pagi sampai lepas maghrib ni. 

Walaupun lapar tergediks2 tapi sebab dah merata perginya dari pagi sampai ke malam,maka kena lah mandi bagai dulu sebelum makan. #kitajagakita


4 bungkus Nasi Lemak Chicken Chop juadah untuk dinner. Beli kat foodtruck depan kuaters tu. Murah baq hang.. Hihihi
Hanya rm4. 80 1 pack



Nasi Lemak Chicken Chop. Ada nasi lemak & sambal bilis kat bawah chicken chop tu. 


Black pepper sauce dia pun pekat



Nampak tu nasi lemaknya dibawah lapisan chicken chop tu


Dah diasingkan, macam ni la portion nya... 
Nasi lemak memang lemak santan segar. Sambalnya penuh ikan bilis halus. Chicken chopnya sekeping & ada juga sikit fries. Ya, Allah, kami makan dengan penuh nikmat. Alhamdulillah

Ni Cella la buka semua 4 pack tu. Katamya sebab dia yang gi beli, dia nak pilih yang paling banyak. Sudahnya dia tak tahu nak pilih yang mana satu sebab katanya semua sama banyak.. Hahahaha
Esok, lusa, tulat KL cuti..... tapi dalam rumah ni saya sorang sahaja cuti. Lagi 3 orang tu tak cuti.. Selangor & Trengganu
Hihihihi

**update:
Semalam nampak post foodtruck tu dalam group komuniti.. Saya pun bg review:


Rupanya seller dia memang 2in1 juga. Berniaga sambil bersedekah. Hari tu lama juga dia tutup sebab sakit. Semoga seller ni dikurniakan kesihatan yang baik & dilimpahkan rezeki dunia & akhirat.