Sunday 10 January 2021

KARI UBI KEMILI REMPAH GILING

 Pagi semalam lepas kes ular masuk rumah tu selesai. Saya plan nak pi Pekan Nat Sabtu. Adah nak cari Pulut Udang & Apam Balik

 

Balik dari Nat Sabtu saya masak Gulai Ilan Jenahak + Ubi Kemili
Guna Rempah Giling yang dibeli di Nat Sabtu. Amboi, bau dia nostalgia betoi baq hang... Rasa macam gulai mak dok masak zaman kanak-kanal dulu. Dulu ssmua makanan terasa nikmat. 


Seperiuk gulai ikan + ubi kemili  ni memang sangat menggamit memory. Kalau masak guna ikan  puyu & haruan lagi lah feel. Dulu-dulu masa masih tinggal dikampung lama sebelah rumah tokwan hidup kami sangat terhimpit. Bukan kerana miskin harta sangat tapi keadaan masa tu sangat  terhimpit dengan persekitaran yang negatif. Tapi mak sangat kuat mental untuk bertahan. Hidup dalam serba kekurangan. Setiap hari kalau mak nak menggulai ikan haruan atau puyu, mak akan merendam rempah ratus dari rumah & akan menggiling rempah ratus tu di pelantar rumah tokwan. Batu giling tu lah banyak berjasa memproses rempah giling untuk masak gulai kari & sambal tumis untuk hidangan tengahari kami. 



Inilah Batu Giling yang umurnya mungkin sudah  1 abad. Kata mak batu giling nilah mak gunakan sejak dari zaman mak kanak-kanak. Tok (nenek) meninggal di Mekah 1975.Selepas tok wan(datuk) pula meninggal tahun 1983,kami juga turut berpindah. Mak & ayah bina rumah baru di tanah emak sendiri. Rumah tokwan juga sudah dijual & segala barangan dalam rumah diambil adik beradik mak. Mak hanya ambil satu-satunya batu giling sahaja. Sejak tu kerja menggiling cili sambal & rempah kari menjadi lebih mudah tanpa ke rumah tokwan. Saya yang baru form 1 ketika itu sudah mahir menggiling
Apa tidaknya, kerana sejak form 1 sudah ada subject Sains Rumah Tangga yang memerlukan saya menggiling cili & rempah jika ada subject masakan. Kampung saya bukan ada elektrik, pastilah tiada blender bagai. Form 5 baru kampung saya dapat bekalan elektrik.Menggiling rempah kari, waima rempah kurma menjadi tugas saya. Mula-mula emak yang sediakan bahan. Cili, ketumbar, jintan bagai dan  saya hanya menggiling. Lama-kelamaan saya sudah tahu menyediakannnya sendiri. Kalau rempah kari ikan wajib ada cili kering, ketumbar biji, jintan manis, jintan putih. Semua itu harus direndam air panas agar mudah nak giling. Jangan lupa kunyit hidup, bawang putih & bawang merah.3 bahan ni digiling akhir sekali setelah semua rempah ratus halus lumat. Dapat seketul rempah giling basah. Air basuhan permukaan batu giling itu juga diambil & feel sangat meraup air basuhan batu giling tu. Paling bercinta kalau menggiling rempah kurma. Banyak ketumbar jintan yang memang liat nak lumat. Hihihihi... Kini setelah rumah mak dikampung pula semakin usang kerana mak sudah tinggal dengan Achik, maka batu giling tersebut mak  bawa ke rumah saya di sana.

Demo dari mak saya(dah nak setahun dah video ni) tentang cara menggiling. Bukan main golek sahaja anak batu giling tu macam canai karipap. Ada caranya anak batu tu digolek sambil digeserkan supaya rempah ratus lumat. Audio tu mak saya tengah bagtau saya masa zaman dulu, dalam pantang pun mak kena giling rempah. Kata mak untuk elakkan bentan sebab batu giling tu berat, mak akan siap berbarut ketat-ketat & bersimpuh rapat-rapat sambil menggiling. Ngeri + sopan. Alhamdulillah mak sihat sampai sekarang. 
 Walaupun sudah hampir setahun batu giling tu di situ, Saya hanya berkesempatan balik 2 kali sahaja termasuk kali ni kerana PKP. Belum sempat lagi menggiling rempah menggunakan batu giling ni. Balik kali ni sebab teringin sangat makan gulai kari rempah giling & terjumpa pula orang jual. Terus beli.. 


Seperiuk gulai ubi kemili bersama ikan jenahak. Aroma rempah giling. 2 kali emak saya menambah nasi. Katanya sejak sudah tua makan tidak lagi bertambah. Tapi kali ini menambah. Berselera benar emak makan tengahari semalam. Kata emak saya aroma & rasa kari yang saya masak ini sama seperti kari rempah giling guna batu giling berpuluh tahun dulu. Kata emak puas makan nasi hari ni macam makan zaman kanakgkanak dan zaman muda. Sudah lama tidak makan gulai rempah giling sesedap ini. 
Alhamdulillah



Gerai menjual rempah giling. Bermacam rempah dijualnya. Rempah rendang, kari ikan, kari daging, kurma, sambal tumis bagai. 1kg harganya rm20. Tapi bukannya nak beli sekilo kan. Hihihi.. Saya beli 200gm untuk masak 1kg ikan. 



Juga saya beli ubi kemili untuk dimasak kari bersama ikan menggunakan rempah giling. Seronok dapat ubi kemili besar-besar.Harganya sekilo rm12. Sedap masak kari ni. Ubi kemili ni biasanya dituai pada hujung tahun dimusim hujan selepas kemarau. Dulu mak memang tanam ubi kemili ni di huma. Bulat-bulat sebesar nyiru batas ubi kemiliyang mak gembur. Kalau batas ubi keledek panjang-panjang.Tapi batas ubi kemili bentuk bulatan. 



Nak masak kari kena kikis dulu kulit ubi kemili. Tapi habislah jari jadi berkarat macam  kita kupas buah labu. Kalau yang jaga kulit tangan tak payahlah makan gulai ubi kemili, nanti jari dah tak syantiks.. Hihihi. Tapi bila gosok dengan span basuh pinggan tu hilang la ia. Sebab tu kalau jumpa yang ubinya besar baru baru feel nak masak gulai sebab senang nak kikis. Kalau ubi kecik, sesuai rebus makan gitu sahaja. 


1/2 kg ubi kemili banyak ni sahaja sebab besar-besar saiznya. Puas kalau nak masak kari




Masak guna rempah giling
Santan segar
Ikan fresh
Memang sedapnya rasa. 
Kalau tidak, takkan mak saya memuji kerana selalu gulai masakan mak lagi sedap. Hihihi


GULAI UBI KEMILI GUNA REMPAH GILING
1kg ikan (sebaiknya ikan haruan/puyu/keli) 
200gm rempah giling(1 cawan) 
1/4 cawan minyak
1/2 kg ubi kemili-kikis kulitnya
2 bawang merah - hiris
2 bawang putih - hiris
1 tangkai daun kari
2 asam keping
1 sudu garam
1 biji kelapa (4 cawan santan)

1. Panaskan minyak & tumis bawang merah, bawang putih & daun kari hingga harum. 
2. Masukkan rempah giling & 1/2 cawan air. 
3. Tambah asam, garam & masak hingga naik minyak
4. Masukkan ikan & balik-balikkan hingga ikan 1/2 masak baru masukkan ubi kemili & santan
5. Masak hingga mendidih & ubi empuk. (kalau guna ikan kecil atau ikan yang cepat dimasak  angkat dahulu ikan selepas 1/2 masak. Bila ubi empuk baru masukkan semula ikannya. 
6. Perlahankan api & masak hingga naik minyak & sesuaikan rasanya. 

**Kari akan lebih sedap jika dimasak beberapa jam sebelum makan. 

** Di lain masa, in sha Allah saya belanja resepi & cara buat rempah giling homemade. 

6 comments:

  1. jaman kecik2 masa susah dulu, bapa wak banyak tanam ubi kemili ni.
    Biasanya rebus aje maka buat kudapan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Lepas ni bokeh cuba pula masak kari.... Penjual tu cakap buat campur dalam asam pedas & asam rebus pun sedap...

      Delete
  2. Akak suka tengok orang giling lada atau rempah tapi akak tak pandai guna sebab arwah mak akak hanya guna lesung je.Ingat masa zaman akak menikah dulu jiran sebelah gilingkan daun inai .

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya kak.. Giling inaiiii...
      Nostalgia jugak tu musim orang kahwin & musim raya gigih menggiling inai

      Delete
  3. Izinkan saya kongsi resepi na...

    ReplyDelete