Sunday, 29 November 2020

UBI KELADI REBUS CICAH KELAPA

 Teringin nak makan ubi  keladi rebus cicah kelapa. Tapi tiada pokok keladi hendak dikorek ubinya. Kalau dapat keladi telur sedapnya lahai direbus empuk dicicah kelapa bergula + sikit garam. 


Tiada keladi telur, keladi tidak bertelur pun boleh. Keladi juga kan.. Kalau keladi telur terus direbus bersama kulitnya. Hendak makan baru dikopek kulitnya. Tapi ini keladi Indonesia. Saya kupas kulitnya & potong dadu besar-besar. Kalau direbus takut berlendir pula. Maka saya kukus. 20 minit dikukus, alhamdulillah empuk gebu ubinya. Harum aroma keladinya. Warna ungunya terserlah



Padat isinya & sungguh sedap pada tekak. Saya. Dimakan bersama kelapa parut putih bergaul gula dan secubit garam


Sayangnya tidak dapat digandingkan dengan Kopi 0.Saya hanya lawankan bersama teh 0 panas.. Kalau dulu-dulu emak saya memang menanam pelbagai keladi di kampung. Hendak makan ubinya gali sahaja. Hendak menggulai pelepahnya potong sahaja seberapa yang hendak. Tapi ada petuanya. Kata emak masa potong pelepah keladi kena berlawanan cahaya matahari. Jangan terpijak bayang sendiri, supaya keladi yang diambil tidak gatal. Apa rasionalnya wallahua'lam. Tapi itu dulu, sekarang dikampung  pun susah hendak menanam. Lagi-lagi kalau ubi-ubian. Serangan babi memang tidak terkawal. Kata emak beberapa bulan lepas emak cuba menanam ubi kayu. Alhamdulillah elok suburnya & sudah mula berisi. Beberapa hari lepas emak call bercerita sekarang musim hujan. Sudah beberapa hari tidak balik ke kampung. Kata emak hendak pulang ke kampung untuk menggali ubi kayu yang ditanam.Malangnya, tanaman ubi kayu emak sudah rata disondol gerombolan babi. Pandai pula babi-babi tu tahu bila ubi sesuai dituai. Kalau tanam keladi lagilah menjadi favourite si babi-babi itu. Dulu-dulu babi hanya menghuni hutan & jumlahnya tidak banyak. Tapi sekarang terlalu banyak babi hingga berkeliaran dijalanraya pun.Bukan spesis babi hutan, tapi spesis babi peliharaaan. Kata orang kampung, ia berpunca ketika wabak JE melanda negara satu ketika dahulu. Ada orang-orang yang tidak bertanggungjawab membawa babi-babi peliharaan mereka & dilepaskan dihutan untuk mengelakkan dimusnahkan oleh pihak berkuasa. Kesannya berlaku pembiakan tidak terkawal. Babi pula kalau sekali beranak bukan seekor dua. Yang menjadi mangsa adalah orang-orang kampung. Habis tanaman dimusnahkan. Anak-anak getah yang baharu ditanam juga menjadi mangsa serangan babi.Kerugian bukan sedikit. Berulang kali menanam getah belum tentu panjang umir pokok tu. Kehidupan juga terganggu kerna  babi ada dimana-mana. Kalau fikir masalah negara boleh sakit lagi kepala. Sekarang nak makan semua kena beli. Nasib baik juga rumah dipekan tu ada juga tanahnya sejengkal dua untuk emak bercucuk tanam ulam & cili. 


Lemak lunak bila dikunyah. Rasa ubi keladinya kenyal kenyal bercampur kelapa. 

Berketul-ketul saya makan tanpa rasa bersalah sedikit pun.. Hihihi

TELAGA ITU

 Sebuah telaga di tepi bendang.. di kampung lama kami... 

Tempat kami berkongsi mandi, membasuh & mendapatkan bekalan air minuman. Telaga itu dikongsi oleh 4 keluarga. Tidak pernah ada jadual untuk siapa yang patut dulu mandi atau membasuh atau mencedok ainya mengisi tempayan minuman. Pandai-pandailah menggunakan mata untuk melihat ada kelibat jik orang sedang mandi. Pandai-pandai telingalah untuk mendengar bunyi basuhan menandakan ada orang sedang membasuh.Jika yang mandi & yang membasuh itu sejantina, pergi sajalah. Bukankah sambil mandi, sambil membasuh boleh juga bertanya berita, berkongsi sabun jika sudah kehabisan. Tapi andai yang sedang mandi & membasuh itu lain jantinya, tunggulah sekejap. Tidak begitu manis, apatah lagi jika yang sedang mandi itu anak gadis. Tentu ada malu & segannya. Cuma kadang bila terdesak untuk berkejar kemana-mana pepandailah mencari ruang untuk mencelah mandi. Anak dara yang sedang berkemban itu jangan diusik. Anak dara juga walau berkemban, pepandailah tutup bahumu yang terdedah dengan kain batik atau tuala.Jika yang membasuh itu pangkatnya makcik & nenek, boleh sahaja berbual bicara sambil mandi.. in sya Allah tidak berlaku fitnah. Tapi jika isterinya orang, cukup sekadar menegur sepatah menandakan kamu terdesak menggunakan telaga  untuk bersegera. Tak perlu terlalu beramah mesra. Telaga bukan tempat nya. Telaga itu bulat. Jika yang membasuhnya disebelah sana, bukankah ada lagi ruang disebelah sini untuk mencedok airnya. Hati-hati semasa mencedok airnya, jika terlepas tali timba, satu masalah juga kepada semua. Jika timbanya dibuat daripada gelen minyak disel plastik masih ada pilihan kerana timbanya masih timbul. Carikan ranting kayu yang panjang, kaitlah tali timba tu & tarik ke atas. Teruskan mandi. Tapi andai timba daripada tin minyak kelapa cap  udang yang potong separuh itu, andai terlepas talinya, tenggelamlah ia ke dasar telaga bersama talinya. Boleh dapatkan galah yang tersandar dipohon rambai tu, tapi nanti keruhlah telaga digagau galah yang mencari punca tali timba. Untung nasib dapat juga tali timba tersangkut pada galah & naik lah semula timba itu kedarat. Jika tidak bersemadilah timba itu didasar telaga. Tunggulah musim kemarau akan terungkaplah segala rahsia di dasar telaga .Kalau yang jujur, maka dibuatlah timba baharu sebagai ganti. Selalu terjadi si penjatuh timba akan mendiamkan diri bila semua orang sudah riuh mencari timba. Mana tidak riuh, yang baru balik dari bendang ada selut hendak dicucikan. Yang balik dari motong, ada bau yang hendak dibersihkan. Habis riuh, timbanya tidak juga muncul, tahulah mereka timba sudah tenggelam di dasar telaga.Tidak perlu ditanya siapa pembuat onar, tapi jalan penyelesaian harus difikirkan. Bukan mudah mendapatkan tin minyak masak @ gelen minyak disel untuk menggantikan timba yang tenggelam. Altenatifnya upih pinang di potong dilipat menjadi bentuk timba. Segala akar menjalar dihutan rumbia dipintal panjang & diikat pada timba  upih pinang. Dapatlah semua 4 seleluarga mencedok air semula. Cuma kelemahan menggunakan timba upih ini ia terlalu ringan & semasa dijatuhkan ke dalam telaga ia sukar diterbalikkan bagi membolehkan air dicedok. Puas menggerakkan tali baru air terisi.Tapi apa pilihan yang ada? Tunggulah hari Sabtu nanti tokwan akan ke pekan menjual anor & kok. Sebelum balik bolehlah tokwan minta gelen atau tin minyak kosong dari Cina AhKuang. Jerat lembu yang tersimpan di alang jelapang boleh dijadikan tali timba. Akan bergantilah timba baharu nanti. Tinnya harus dipotong separuh. Timbanya jangan terlalu besar & tinggi. Nanti tidak terangkat oleh anak-anak kecil yang mamdi. Dapat mandi dengan adanya timba baru juga sudah menjadi  satu keterujaan. Maka anak yang sehari sekali mandi akan berulang 3 kali sehari mandi bertimbakan tin minyak atau gelen plasti yang baru. 

Saya yang masih bersekolah rendah, akan berulang alik sehari beberapa kali mengangkut air untuk membasuh pinggan & untuk isi ditempayan. Jika langit mendung, emak sudah berpesan, salin tempayan. Buang semua sisa air lama & basuh bersih. Isi tempayan penuh-penuh. Jika hujan turun nanti air telaga akan keruh. Jika hujan berterusan air telaga akan bertambah keruh & terpaksa menunggu berhari-hari untuk ainya kembali jernih. Sebab itulah bila mendung mesti pastikan tempayan penuh berisi. Jika tidak, air keruhlah menjadi minuman. Jika musim hujan, andai air kosong dihidangkan itu jernih, menandakan anak gadis rumah tersebut seorang yang rajin & beringat. Jika gelas dihulur airnya keruh,pelbagai andaian boleh disimpulkan. 


Kini telaga itu sudah berkubur. Kampung itu sudah usangSelepas tokwan meninggal, kami berpindah. Rumah tokwan juga sudah tidak berpenghuni. Hanya tinggal 1 rumah. Pun sudah berperigi sendiri. Kini air  paip sudah mengambil alih. Sesekali pulang kenangan itu masih utuh. Beberapa bulan yang lepas ketika Raya Haji, saya bersama Achik cuba menjejak tapak telaga itu. Malang tidak kami ketemu. Landskapnya sudah berubah. Penuh semak samun tidak berbela. Pohon rambai juga sudah tiada kesan tunggulnya. Bendang di tepi telaga juga sudah hilang bentuknya. Hendak berlama juga sudah tidak berani. Saya & Achik tinggalkan kawasan telaga. Telaga itu sudah hilang. 

Saya hanya mampu memberi gambaran. Berdasarkan bayangan kenangan masa silam. 


Ilustrasi : by Cella (medium pen & water colour) 



CUCUR JAGUNG + BILIS KUDAPAN MALAM

 Kudapan malam tadi

Cucur Jagung + Bilis bersama Thai Chilly Sauce. Dilawankan  dengan teh 0 panas. Bertemankan hujan sepanjang malam. 

Makan panas-panas. Rangup, masin, pedas dan sikit manis. Tak sedar habis sebekas



Sambil menghirup teh 0 panas. Riuh rendah katak di luar sana memanggil hujan. Apa lagi yang nak dipanggil. Bukankah hujan sudah turun? 


Jagung dibeli sudah lebih seminggu. Hendak dibuburkan sudah tidak sesuai. Sudah mula kering & berkedut isinya. Kalau dibubur juga akan terasa hambar & berhampas. Jangan dibuang makanan itu, tambahan dikala ekonomi negara sedang diuji. Makanya jagung ducucurkan bersama bilis. Sedapnya hingga kegigitan terakhir. Benda yang nampak tidak begitu beharga pun, jika diolah diberi perisa. Mampu sahaja menawan selera. 

CUCUR JAGUNG +BILIS
2 tongkol jagung-hiris ambil isi
2 genggam bilis-bersihkan kepala & perutnya
1 biji bawang holland-dadu halus
1 cili merah-hiris halus
1 pokok daun sup-hiris
1 cawan tepung b
1 biji telur
1 sudu teh garam
1 sudu teh gula
Minyak

1. Gaul tepung, jagung, bawang, daun sup, cili, garam dan gula hingga bercampur rata. 
2. Pacahkan telur  & gaul 
3.Tambah air sikit demi sikit hingga sekadar melekatkan adunan. Jangan lembik nanti menyerap minyak
4. Jemput dengan tangan anggaran sesudu makan & sambil leperkan & terua masukkan dalam minyak yang sudah dipanaskan. 
5. Goreng sambil dibalik-balikkan
6. Angkat & hidangkan dengan sos cili

Alhamdulillah.. Rezeki malam