Saturday, 28 November 2020

AIR NASI

 

Air Didihan Nasi atau hanya dipanggil Air Nasi. Minuman nostalgia zaman dulu. Bila mak tanak nasi terutama menggunakan beras yang baharu dituai padinya memang selalu dapat minum air nasi ni. Tiap kali emak tanak nasi atas dapur kayu yang tinggi tu, saya akan panjat tin beras yang bersusun tepi dapur kayu tu. Menanti dengan harapan ada air nasi yang mak akan cedok. Beras kalau padi yang baharu dituai agak sukar hendak mengagak airnya. Ini kerana beras daripada padi baru lebih kurang beras wangi cap naga. Baunya sangatlah harum tak ubah seperti beras wangi. Teksturnya memang melekit berkanji macam juga beras wangi. Kalau terkurang air akan mentah. Kalau terlebih sikit air akan lembik. Jadi selalunya untuk elak nasi lembik, mak akan buangkan sikit air masa mendidih. Air tu memang pekat kalau nasi beras baru. Mak akan sendukkan perlahan supaya tidak tersenduk nasi yang sedang mendidih itu. Dapat dalam 1 cawan mak tambah sikit garam & gula. Kacau & berebut minum dengan adik saya Achik. Itulah Air Barli bagi kami. Hingga sekarang sesekali saya masih mencedok air didihan nasi & +gula & sikit garam & menikmatinya. Sunggulah tidak seenak nasi puluhan tahun dahulu tapi setiap kali minum, kenangan-kenangan lalu tetap segar dalam ingatan seperti baru sebentar tadi terjadi. 


Bila padi semakin lama disimpan dalam jelapang, bila dijemur & dihantar ke kilang untuk dimesin dijadikan beras, lama kelamaan beras sudah tidak lagi sewangi ketika baru dituai. Sikit demi sikit beras kembali rasa seperti beras biasa. Jika terlalu lama disimpan padinya, beras yang terhasil akan sedikit kemerahan & dipanggil padi usang atau beras usang. Dulu hampir setiap rumah ada jelapang sendiri untuk menyimpan padi untuk bekalan hingga tiba pula musim menuai padi musim seterusnya.Seguni atau 2 guni dipilih daripada padi terbaik diasingkan & ditandakan sebagai padi benih. Yang itu tidak akan diusik.Yang selebihnya adalah untuk stok makanan harian. Kalau ada kenduri kahwin di kampung, mak cakap memang orang kampung akan sumbangkan padi kepada tuan kenduri. Seorang 1/2 guni akan dikumpul, dijemur & ditumbuk bergotong royong beramai macam rewang. Yang berjiran akan menggolek lesung ke rumah yang akan kenduri untuk membolehkan menumbuk padi beramai. Rempah kari pun mak cakap masa perkahwinan emak dulu bergantang-gamtang perlu ditumbuk untuk gulai 2 ekor kerbau. Mak cakap rempah ketumbar, jintan segala dijemur & disangai. Kemudian ditumbuk di diayak  secara bergotong royong. Zaman saya, sudah tiada lagi acara menumbuk rempah ratus tu. Sudah dibeli rempah siap bentuk serbuk tu. Cuma padi, saya sempat merasa beras daripada padi yang ditumbuk & dikisar dengan pengisar tangan. Dulu kat kampung saya padi hanya sekali setahun kerana tiada bekalan air yang disalurkan melalui  tali air. Hanya mengharap hujan semata-mata. Tapi rezekinya Allah kurniakan kemenjadian hasil memang tak terjangkau akal. Dengan limpahan padi, ikan haruan, keli, puyu dan segala macam pokok buah-buahan yang tidak ditanam tapi banyak yang tumbuh sendiri & dikongsi makan seluruh kampung. Ok dulu meraban hari ni. Dari Air Nasi dah jauh pula merabannya. Hihihihi

MASAK SPAGHETTI JER

 Semalam Jumaat lepas masak Abuk-abuk Sagu terus ketiduran. Sakit kepala kembali menyerang. Mungkin sebab hari Khamis saya minum kopi masa makan rendang itik dengan cleaner tu. Malam tadi makan ubat & tidur dengan harapan bangun pagi ni akan lega. Sama seperti saya yang degil tak mahu tinggalkan kopi, maka sakit kepala pun degil tak mahu lega. Padan muka


Pagi tadi dalam kesakitan kepala bangun juga masak bekal untuk bujang. Kesian pula semalam pun saya masak ketupat goreng tu lambat tak sempat bawa bekal sebab masuk kerja awal. Hari ni masak express sahaja. Spaghetti Bolognese. Guna sos segera Adabi sahaja. Tambah sosej. Pukul 5 pagi dia dah gerak 


Makanya merangkap lunch la untuk yang kat rumah. Saya tidak minat spaghetti bolosnese ni. Lepas subuh, kepala sudah tidak boleh tahan, saya bancuh secawan milo, bakar 2 keping roti garlic & telan pula sebiji Synflex. Kita dilarang tidur selepas subuh tapi saya tertidur juga. Siap mimpi pergi ambil ubat  ke Klinik D. Mansur.. Hihihihi tu namanya mimpi siang hari. Orang dah ke bulan, ekau masih bermimpi... Alhamdulillah bangun sebelum zuhur tadi sakit kepala dah hilang. Betul lah nikmat kesihatan itu tiada tandingnya.. Setakat Allah uji dengan seciput kesakitan tu adalah sebagai kifarah untuk menggugurkan dosa-dosa kecil. Apalah sangat nak dibandingkan dengan nikmat seluas alam yang Allah kurniakan...Alhamdulillah..... 

Bangun tengok Cella masih di meja dengan asigmentnya... Dia cakap kakaknya ke Bangi.. Mereka berdua dah makan spaghetti tu.. Mmmm kepala ligat lagi berfikir nak masak apa ni petang ni..Kat Radio Klasik DJ AdiSuwardy tengah buat servey  dengan topik minum petang dengan menu cucur. Cucur Udang, Cucur Bawang & Cucur Bilis dipertandingkan. Macam sedap la pulak.. 

ABUK-ABUK SAGU KUIH NOSTALGIA

Semalam seharian dalam rumah. Tidak kemana-mana.. Saya masak Kuih Abuk-abuk Sagu. Kuih nostalgia juga ni. 


Kuih abuk-abuk sagu ni emak saya tidak pernah buat pun. Kali pertama makan & kali pertama belajar buat masa subject Sains Rumah Tangga ketika tingkatan 2 dalam Bab Kuih Tempatan. Antara menu & resipi kuih tempatan dalam bab tersebut yang masih saya ingat ialah kuih abuk-abuk, onde-onde keledek, kuih keria, cucur badak, lepat pisang, kuih kasui, pulut panggang, kuih cara.Dalam jadual  subject SRT akan ada 2waktu seminggu. Pelajar lelaki  tidak belajar SRT. Mereka boleh pilih hendak Sains Pertanian(bertani) atau Seni Perusahaan(bertukang) Jadi masa subject SRT/S. Pertankan/S. Perusahaan, kelas akan berpecah. Lelaki ke kebun @ bengkel. Perempuan ke Bilik Jahitan/Bilil Masakan. Cikgu SRT akan ajar masak berselang minggu. Seminggu memasak. Minggu berikutnya menjahit. Saya masih ingat nama-nama cikgu SRT dari tingkata1 hingga tingkatan 3.Tingkatan 1 Cikgu Rahimah, cikgu yang paling cantik. Tingkatan 2 Cikgu Azean, andalusia garang macam singa. Tingkatan 3 Cikgu Fauziah sangat bertimbang rasa. (siap lablekan cikgu) hihihi. Cikgu Rahimah cantik & kalau waktu masak/jahit  kena cermat & bersih. Masak tak jadi pun tak apa kalau dengan Cikgu Rahimah. Janji bersih & cermat. Cikgu Azean paling garang. Kalau dia marah waktu jahitan kat Bilik Jahitan boleh dengar sampai seluruh sekolah. Selalunya sayalah yang kena marah tu, nanti saya cerita sebabnya dalam siri yang lain. Tapi kalau waktu memasak Cikgu Azean terpaksa suka kepada saya kerana Cikgu Azean tahu saya sangat komited kalau waktu memasak. Kalau masak tak jadi, jahit tak ikut apa yang beliau nak.. Siaplah kau.. Dicubit dipiat telinga sampai tercabut tudung kau. Cikgu Fauziah pula sangat bertimbang rasa. Cikgu Fauziah juga garang tetapi sangat bertimbang rasa. (dapat tahu Cikgu Fauziah dah meninggal-Al Fatihah untuk arwah) .Tapi.judgement saya la terhadap cikgu-cikgu SRT.Mereka juga pastinya ada judgment terhadap saya juga kan.. Hihihi


Kuih abuk-abuk ni pun Cikgu Azean garang macam singa tu la ajar. Hihihi
Kalau time masak masuk Bilik Masakan  1 meja 2 kumpulam. 1 kumpulan 2 orang. Partner saya masa form 1 saya dah lupa. Masa form 2 sampai form 3 parnet saya Siammese. Namanya paling pendek kat sekolah. Ti A/P Tian.Ti ni adik beradiknya nama simple-simple semua. Yang saya ingat abangnya form 5 nama Siang. Abang kepada Siang nama Asun. Dulu sekolah Bilik Masakan peti ais pun tiada. Tiap kali ada masak banyak bahan  utama kena bawa sendiri, kecuali bahan-bahan kering banyak yang disediakan kat Bilik Masakan. Kalau kena bawa barang basah seperti kelapa, cili giling bagai memang saya yang akan bawa.Saya tak benarkan Ti bawa, Ti pun faham kita masyarakat Islam ada halal haram. Kalau kena bawa kelapa parut, pagi-pagi buta saya sudah kena bangun, kukur kelapa bertemankan pelita minyak tanah. Pernah masa masakan dalam topik lauk pauk, saya kena masak  Asam Pedas Tumis & dalam topik telur, saya kena masak Sambal Telur. 
Saya curi. telur ayam dalam sarangnya 5 biji. Tak berani cakap sebab tahu ayah memang tidak akan bagi.Bab cili memang saya menggiling cili kering pagi-pagi sebelum gi sekolah.Can you imagine? 
Pengalaman macam ni saya selalu ceritakan kepada Cella waktu sedang memasak & waktu dalam kereta. Masa tu form 2.Bila dah form saya dah tinggal di asrama, tak boleh nak bawa barang basah lagi dah. Saya pun dah  tak ingat masa form 3 kalau kena guna barang basah apa solutionnya untuk saya yang partner dengan Siam. 

Masih ingat lagi Cikgu Azean cakap, sagu ni dia tawar, sebab tu kena campur kelapa, garam & intinya gula. Kalau cekodok pisang tidak apa sebab pisang sudah manis. Apa saja Cikgu Azean cakap memang kena ingat sebab dia memang garang nak meninggal(sebenarnya garang nak mamp*s) tuttttttttttt.... 


Tapi masa Cikgu Azean tunjuk beliau tidak tunjuk kon ni disemat lidi. Cikgu ajar lipat bagi kemas & dirikan dalam kukus lubang besar tu. Yang ni saya semat lidi cungkil gigi sebab saya nak kukus sambil baringkan kuih. Kalau tak semat lidi nanti dia terbuka pula. Kuih abuk-abuk ni antara yang selalu juga saya masak sebab mudah & tak banyak bahan. 

ABUK-ABUK SAGU...
2cwn sagu (rendam kembang)- sebaiknya direndam semalaman @ beberapa jam
2cwn kelapa putih
1 sudu teh garam halus
15 keping daun pisang -anggaran setiap satu selebar tapak tangan orang dewasa
  (jika daun segar-layur atas api supaya lembut
   jika daun layu x perlu lagi layur)

Inti:
1/2 ketul gula melaka
1/4 cawan gula pasir
( boleh ganti brown sugar)

1. Sagu dibasuh dan direndam dalam air yang banyak..(Jangan dikacau-kacau sagu tersebut... in sha Allah  sagu tidak akan hancur)
2. Toskan sagu dan buang air rendamannnya
3. Campur sagu dengan kelapa parut putih dan garam halus.gaul rata
4. Gula Melaka diracik halus atau disagat kasar dan gaul bersama gula pasir
5. Buat kelongsong atau kon menggunakan sekeping daun pisang (Rujuk kat sini.. & KAT SINI... juga 
6. Isikan 1 sudu besar campuran sagu  dalam kon dan gunakan batang sudu untuk membuat lubang ditengah2 sagu untuk mengisi 1 sudu teh inti gula Melaka yang dicampur gula pasir)
CARA ini akan menjadikan intinya berda ditengah-tengah kuih.
7. Tutup kon dan lipat dengan kemas supaya kuih tertutup
8. Buat sehingga habis dan kukus anggaran 15 minit sehingga kuih masak
9. Cara menguji kuih sudah masak ialah dengan mengambil sebungkus kuih dan buka untuk lihat isinys
10. Jika semua sagu berwarna jernih itu manandakan kuih sudah masak.\
11. Jika masih ada bintik pitih pada sagu..tambah masa mnegukus beberapa minit lagi

** Satu lagi cara ialah dengan memasukkan 1 sudu campuran sagu
     Kemudian masukkan 1 sudu campuran inti gula melaka
    Tutup semula campuran inti dengan 1 sudu lagi campuran sagu
    Kemudian baru dilipat kemas
    TETAPI cara ini akan menyebabkan kuih terputus dua bila sudah masak


Sagu sudah dibasuh & direndam  1/2 jam

Sagu dan kelapa parut bergaram

Gaul rata

Daun pisang pemberian Rohanita. Semoga Allah menggadakan pahala buat Ita yang selalu bagi macam-macam hasil tanamannya. Pisang, kantan, jantung, ulam sehinggalah umbut batang pisang pun Ita bagi
Sepatutmya saya nak guna gula kerek yang beli kat Pasar Payang masa hantar Cella tu. Tapi sebab sudah 3 bulan, gula sudah melebur. Saya cuba guna gula merah ni. 

Gula merah + gula perang. Tengok juga gula merah tu ada yang jenis berpasir.Tapi jujurnya lagi sedap inti gula nissey




Dah siap bungkus. Daunnya cantik & bila sudah dimasak pun daunnya masih hijau memawan. Ita cakap daun pisang ni pokoknya ditebang kerana buahnya banyak biji.Baru ni baca info dalam blog Warisan Petani ada cakap pasal Pisang Benggala. Nanti saya nak sampaikan info tu kepada Ita


Kukus dalam rice cooker  sahaja

Siap masak

Try buka 1. Tengok dah betul-betul masak ke 


Alhamdulillah..