Tuesday 9 November 2021

KESEJUKAN AZAB NERAKA

Kesejukan Azab Neraka Yang Membunuh

==========

1. Selain kepanasan neraka Jahanam, Allah juga menjelaskan dalam al-Quran bahawa terdapat azab neraka yang sejuk, yang apabila diminum, bergugran terlerai kulit-kulit manusia kerana terlalu sejuknya azab air yang disediakan buat mereka. Firman Allah:


جَهَنَّمَ يَصْلَوْنَهَا فَبِئْسَ ٱلْمِهَادُ هَٰذَا فَلْيَذُوقُوهُ حَمِيمٌ وَغَسَّاقٌ


Iaitu neraka Jahannam yang mereka akan menderita bakarannya; maka seburuk-buruk tempat menetap ialah neraka Jahannam; [57] Ini sejenis azab seksa, maka hendaklah mereka merasainya, air panas yang menggelegak dan air danur yang mengalir (untuk minuman mereka); (Surah Sad: 56-57)


2. Menurut al-Imam al-Baghawi, yang dimaksudkan dengan perkataan Ghassaq adalah kesejukan yang melampau sehingga terbakar keringnya kulit manusia. Kata Ibn Abbas:


هو الزمهرير يحرقهم ببرده ، كما تحرقهم النار بحرها


Ia adalah zamharir yang membakar dengan kesejukan yang amat dahsyat seperti mana api yang membakar dengan kepanasannya. Pandangan yang sama diutarakan oleh al-Imam Mujahid dan Muqatil.


3. Dahsyatnya azab kedinginan dalam neraka Jahannam ini memberikan seksaan kepada para penghuni neraka sehingga kulit-kulit mereka tertanggal. Dari Ka’ab, beliau berkata:


“Sesungguhnya di neraka adanya dingin iaitu Zamharir (dingin yang amat beku), yang membuat kulit-kulit tertanggal sehingga mereka(yang berada di neraka) meminta pertolongan pada panasnya neraka.”


4. Kesejukan azab yang menyeksa manusia ini juga disebutkan dalam hadis. Sabda Rasulullah:


اشْتَكَتْ النَّارُ إِلَى رَبِّهَا فَقَالَتْ يَا رَبِّ أَكَلَ بَعْضِي بَعْضًا فَأَذِنَ لَهَا بِنَفَسَيْنِ نَفَسٍ فِي الشِّتَاءِ وَنَفَسٍ فِي الصَّيْفِ فَهْوَ أَشَدُّ مَا تَجِدُونَ مِنْ الْحَرِّ وَأَشَدُّ مَا تَجِدُونَ مِنْ الزَّمْهَرِيرِ


"Neraka menyampaikan keluh kesahnya kepada Tuhannya dan nerkata; "Wahai Tuhan, mengapa kami saling memakan satu sama lain?. Allah pun mengizinkan neraka untuk bernafas dua kali, bernafas ketika musim dingin dan bernapas ketika musim panas, kedua nafas itulah yang kalian dapatkan ketika panas menyengat dan dingin membeku."


5. Menurut al-Imam Ibn Hajar, yang dimaksudkan dengan zamharir dalam hadis ini adalah kesejukan yang amat sangat sehingga menyeksa penghuni neraka, menanggalkan kulit-kulit mereka.


Semoga Allah membimbing kita.


Dr. Ahmad Sanusi Azmi

1 comment:

  1. Neraka bukan hanya dipenuhi api dan kepanasan. Malah azab sejuk pun ada. Terima kasih untuk perkongsian ni.

    ReplyDelete