Thursday 8 July 2021

WANITA DAPAT APA?

 LELAKI DAPAT BIDADARI, WANITA DAPAT APA?


 Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.


“EMAS!”


Serentak jawapan pelajar perempuan kelas saya yang berjumlah 10 orang itu. Lantas derai tawa 2 pelajar lelaki kedengaran kerana jawapan “tepat serentak” mereka. Kisahnya, dalam sebuah kelas saya tanyakan apa agaknya pilihan orang perempuan jika mereka dibentangkan dengan berbagai perkara terdiri daripada longgokan baju, kain, beg tangan serta kasut berbagai jenama, emas, perak dan seorang lelaki kacak bertubuh sasa sebagai calon suami.


Tampak jelas kebenaran firman Allah tentang kegemaran wanita kepada perhiasan terutama sekali emas:


أَوَمَنْ يُنَشَّأُ فِي الْحِلْيَةِ وَهُوَ فِي الْخِصَامِ غَيْرُ مُبِينٍ


Ertinya: Patutkah (yang dikatakan anak Allah itu jenis perempuan) yang biasanya dididik dan dibesarkan dalam perhiasan, sedang dia (budak perempuan) semasa berbantah dan bertikam lidah tidak dapat memberikan alasan yang jelas? (al-Zukhruf 43:18).


Ayat ini menempelak segelintir Arab jahiliah yang menyifatkan para malaikat sebagai anak perempuan Allah. Selain itu, para ulama menjadikan ayat ini dalil keharusan orang perempuan memakai perhiasan seperti emas kerana ia sesuai dengan fitrah mereka yang lembut. Apa yang pasti jawapan serentak pelajar saya di atas jelas menunjukkan kegemaran utama mereka adalah PERHIASAN dan bukannya lelaki.


Saya juga pernah tanya soalan sama kepada sekumpulan murid lelaki dewasa. Apa agaknya pilihan mereka antara longgokan emas, baju, telefon pintar, wanita cantik solehah, kereta  dan motorsikal. Lantas mereka jawab: “Sudah pasti wanita solehah Ustaz!”


Aduhai benar sekali sabda Rasulullah SAW bahawa godaan atau tarikan utama lelaki adalah wanita:


عَنْ أُسَامَةَ بْنِ زَيْدٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا تَرَكْتُ بَعْدِي فِتْنَةً أَضَرَّ عَلَى الرِّجَالِ مِنْ النِّسَاءِ


Ertinya: Tidak aku tinggalkan selepasku ujian yang jauh lebih bahaya kepada lelaki selain wanita (Sahih al-Bukhari & Muslim). 


Bahkan dalam firman Allah ini, kedudukan wanita mendahului perkara lain:


زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاءِ وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنْطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالْأَنْعَامِ وَالْحَرْثِ….


Ertinya: Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia (lelaki): kesukaan kepada benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan, anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun daripada emas, perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; binatang ternak serta kebun tanaman….(Ali ‘Imran 3:14)


Kesimpulannya pilihan serta kecederungan antara lelaki dan perempuan sangat berbeza. Allah selaku Pencipta manusia paling tahu apa kehendak dan keperluan mereka semasa di dunia dan di akhirat. Sebut sahaja akhirat, kita dapati banyak ayat menyebut perihal bidadari syurga yang disediakan Allah kepada para penghuninya yang lelaki. Setiap kali membicarakan ayat berkaitan bidadari syurga selalu sahaja orang perempuan bertanya:


“Ustaz! Allah asyik sebut lelaki dapat bidadari. Apa pula kami orang perempuan dapat dalam syurga?”


Soalan itu ada benarnya. Allah banyak menyebut perihal bidadari dalam syurga dan pastinya bidadari dipasangkan untuk lelaki. Antaranya: 


فِيهِنَّ قَاصِرَاتُ الطَّرْفِ لَمْ يَطْمِثْهُنَّ إِنْسٌ قَبْلَهُمْ وَلَا جَانٌّ


Ertinya: Di dalam syurga itu terdapat bidadari yang pandangannya tertumpu (kepada mereka semata-mata), yang tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia dan jin; (al-Rahman 55:56).


Juga firman-Nya: 


فِيهِنَّ خَيْرَاتٌ حِسَانٌ (70) فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ (71) حُورٌ مَقْصُورَاتٌ فِي الْخِيَامِ (72) فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ (73) لَمْ يَطْمِثْهُنَّ إِنْسٌ قَبْلَهُمْ وَلَا جَانٌّ (74) فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ (75)


Ertinya: Dalam kedua Syurga itu juga terdapat (teman) yang baik akhlaknya, lagi cantik parasnya; Maka yang mana satu antara nikmat tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?  Ia itu bidadari, yang hanya tinggal tetap di tempat tinggal masing-masing; (al-Rahman 55:70-72).


Juga firman-Nya:


كَذَلِكَ وَزَوَّجْنَاهُمْ بِحُورٍ عِينٍ


Ertinya: Demikianlah keadaannya; dan Kami jadikan kawan teman mereka bidadari yang putih melepak, lagi luas cantik matanya (al-Dukhan 44:54).


Dan banyak lagi firman Allah seperti (al-Baqarah 2:25, Ali ‘Imran 3:15, al-Nisa’ 4:57, al-Saffat 36:48-49, al-Tur 52:20, al-Waqi’ah 56:22-23 dan sebagainya.


Sebenarnya tiada diskriminasi jantina dalam al-Quran. Untuk orang lelaki Allah gunakan tarikan bidadari sesuai dengan fitrah mereka di dunia seperti yang disebut pada awal rencana ini. Manakala wanita turut dijanjikan ganjaran hebat sesuai dengan kehendak dan fitrah mereka. Buktinya perhatikan ayat ini: 


ادْخُلُوا الْجَنَّةَ أَنْتُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ تُحْبَرُونَ (70) يُطَافُ عَلَيْهِمْ بِصِحَافٍ مِنْ ذَهَبٍ وَأَكْوَابٍ وَفِيهَا مَا تَشْتَهِيهِ الْأَنْفُسُ وَتَلَذُّ الْأَعْيُنُ وَأَنْتُمْ فِيهَا خَالِدُونَ (71)


Ertinya: (Mereka diberi ganjaran terbaik dengan dikatakan kepada mereka): "Masuklah kamu ke dalam Syurga bersama isteri kamu (yang beriman), dengan menikmati sepenuh kegembiraan dan kesenangan".  Diedarkan kepada mereka pinggan besar dan piala daripada emas; dan di dalam Syurga itu pula disediakan segala yang diingini oleh nafsu serta di pandang indah oleh mata; dan (dikatakan kepada mereka): "Kamu adalah tetap kekal di dalamnya" (al-Zukhruf 43:70-71).


Kesimpulannya, jika lelaki dijanjikan bidadari maka wanita juga ada habuannya tersendiri. Jika anda melihat Allah janjikan bidadari untuk lelaki, maka wanita punyai ganjaran tersendiri yang lebih luas sebagaimana disebut pada frasa – “Diedarkan kepada mereka pinggan besar dan piala daripada emas; dan di dalam Syurga itu pula disediakan segala yang diingini oleh nafsu serta di pandang indah oleh mata;”


Potongan ayat ini sebenarnya memberi sebuah CEK KOSONG yang sangat hebat untuk orang perempuan. Allah peruntukkan untuk mereka segala ni’mat hebat yang jauh lebih hebat daripada belaian seorang lelaki. Oleh itu, untuk lebih adil kita tidak sepatutnya berfikir untuk alam akhirat dengan acuan fikir hidup di dunia yang penuh dendam kesumat dan cemburu. Apabila sampai ke syurga kelak, dendam serta cemburu sudah ditamatkan perkhidmatannya oleh Allah:


إِنَّ الْمُتَّقِينَ فِي جَنَّاتٍ وَعُيُونٍ (45) ادْخُلُوهَا بِسَلامٍ آمِنِينَ (46) وَنزعْنَا مَا فِي صُدُورِهِمْ مِنْ غِلٍّ إِخْوَانًا عَلَى سُرُرٍ مُتَقَابِلِينَ (47)


Ertinya: Sesungguhnya orang yang bertaqwa adalah ditempatkan dalam beberapa taman Syurga, dengan mata air terpancar padanya. (Mereka dipersilakan oleh malaikat dengan berkata): "Masuklah kamu ke dalamnya dengan selamat sejahtera serta beroleh aman". “DAN KAMI CABUT AKAN APA YANG ADA DIHATI MEREKA DARI PERASAAN HASAD DENGKI (PERMUSUHAN DAN KEBENCIAN) SEHINGGA JADILAH MEREKA BERSAUDARA (DALAM SUASANA KASIH MESRA), SERTA MEREKA DUDUK SALING MENGHADAP DI ATAS PELAMIN” (al-Hijr  15:45-47).


Pesan saya kepada semua, usahlah sibuk mempertikaikan keadilan Allah dengan ganjaran bidadari kepada lelaki di akhirat kelak kerana Allah Maha mengetahui keperluan kita. Tiada guna mencebik bibir kerana rasa tak puas hati dengan janji bidadari untuk orang lelaki sedangkan “TIKET KE SYURGA” belum tentu kita miliki kerana kosongnya poket kita daripada mata wang akhirat dalam bentuk iman, taqwa dan amal soleh.  Dapatkan tiketnya dahulu, kemudian barulah bincang lot syurga mana yang mahu didiami. Percayalah cakap saya, apabila sudah sampai ke syurga dan tenggelam dalam lautan emas, pakaian, kasut, beg tangan serta segala ganjaran syurga, cemburu anda kepada para suami akan hilang sama sekali.

4 comments:

  1. sy lebih tertarik kpd handbag kak.. hahaha

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hahaha...
      boleh..boleh..boleh..
      Dalam syurga semua ada...
      Semoga Allah sudah sediakan tempat untuk kita di syurgaNya...amiinn

      Delete
  2. Kuliah hari ini, saya dapat cek kosong untuk diisi.... iman & taqwa.

    ReplyDelete