Wednesday, 31 March 2021

RENDANG HIJAU AYAM PENCEN CILI API

Aroma raya lagi.... dalam rumah ni...Hihihihi

Bau rendang satu rumah


Rendang Ayam Pencen Cili Api..Hari Ahad minta anak bujang singgah pasar beli ayam pencen.Dia beli sekali dengan ayam daging.Katanya ayam pencen takdak isi..Hihihi

Bersama nasi impit Adabi..
Memang feel raya la.Tak tahu lah raya kali ni masih dalam PKP @ dah boleh rentas negeri.Kalau raya dalam PKP dah pasrah terpaksa beraya di KL lagi.Kalau dapat rentas negeri ,Alhamdulillah dapatlah balik kampung.Sekarang ni tak boleh nak jangka..

Rendang ayam pencen ni kali ni masak versi rendang hijau cili api pula.

Sebabnya ayam pencen ni bau  hamis dia agak kuat berbanding ayam daging.Rendam dalam air bercampur sikit tepung gandum nak kurangkan bau dia.Bila masak yang pedas berapi tak la terasa bau dia


Kali ni hanya dapat 2 biji telur tak jadi dalam perut ayam tu.Selalu dapat banyak telur dia.Saya suka tapi anak-anak semua tak makan.Alhamdulillah....
hihihihi...

RENDANG AYAM PENCEN CILI PADI

1 ekor ayam pencen- bersihkan dan rebus empuk

2 asam keping

2 sudu teh garam

1 sudu besar gula melaka

1 kotak kecil santan

2 sudu minyak

1 daun kunyit


Bahan Blend:

2 cawan cili padi hijau

1 bawang besar

3 serai

2 hiris lengkuas

1 ketul kunyit


1. Rebus ayam pencen hingga empuk

2. Panaskan  minyak dan tumis bahan blend

3. Masukkan ayam yang dah direbus bersama air rebusan ayam

4. Masukkan garam,gula dan asam keping.

5. Masak hingga mendidih dan kering baru masukkan santan dan daun kunyit

6. Bila pekat dan naik minyak,sesuaikan rasa dan tabur daun kunyit hiris halus

Macam masak lemak cili api sebab masa ni baru masuk santan


Saya rebus dulu ayam sebab nak singkatkan masa memasak..Guna santan pekat supaya cepat kering

Satu rumah bau rendang.

Saya rebus ketupat segera Adabi dalam 20 biji.Eh,ketupat Adabi sekarang dah tak keras macam dulu.Sekarang berasnya dah dikurangkan ke?
Ni agaknya Kak Saniah dah komplen kat Adabi suruh buat versi lembut kot..hihihihi..
Happy advance hari raya...hihihihi
Yang belum habis ganti puasa,cepatttttttttt....tak sampai 2 minggu dah nak masuk Ramadhan...



CIRI- CIRI SAHABAT BERJIWA MULIA

 


Sahabat yang berjiwa mulia : 

- Apabila mereka mengasihimu , mereka mengasihi dengan jujur.

- Apabila mereka berjanji dengan kamu , mereka melaksanakan janji tersebut.

- Apabila mereka memberi sesuatu kepada kamu , mereka tidak mengharapkan balasan.

- Apabila mereka kehilangan kamu , mereka mencari kamu dengan penuh rasa cinta.

- Apabila mereka ingat kepada kamu , mereka tidak kedekut untuk titipkan doa .

Tuesday, 30 March 2021

PULUT MANGGA PULAK DAH.....

 2 hari lepas buat pulut pelam.hari ni saya buat pulut mangga pulak...

Hihihihi...macam la mangga dengan pelam tu tak sama...


Hari ni saya masak lebih untuk dikongsikan bersama pekerja kebersihan & security


Yang ada 3ketul & mangga seksi tu untuk security guard.Depa 2 orang saja,Kak Misah & Shahrul.Tapi saya boh 3 ktoi sebab kadang suami Pn Isma selalu lepak dengan security kat depan tu.Boleh la sorang seketoi.

Lagi 8 ketoi dalam bekas tupperware hijau tu untuk pekarja kebersihan.Depa selalu rehat sama-sama kat pondok tepi pokok kuinin dekat pencawang tu.


Limit sorang seketoi sahaja.Semua dah 4&ada yang 5siries .Tak boleh makan pulut banyak- banyak...Hihihihi
RESIPI PULUT LEMAK & SOS SANTAN boleh tengok sini


Buah mangga ni saya basuh & hiris bersama kulitnya.buat potong petak supaya bila nak makan boleh ambil sorang 1 korek dengan sudu.Kalau potong buang kulit nanti berair & tak selera pulak nak makan.


Pulut lemak.Nak makan depa ambik sorang seketoi & curah sos santan.Korek isi mangga & makan.Pinggan & sudu depa kata depa dah ada banyak dalam stor.


Sementara mangga tengah musim.Nak kongsi banyak takdak,kongsi la sikit sorang seketoi pulut lemak & separuh buah mangga.Asalnya anak bujang saya beli 6kg mangga tapi sayangnya dia tak pandai nak pilih.Dia cakap suruh penjual tu pilihkan.Daripada13 biji mangga tu hanya 5 biji cantik.

Bakinya semua sudah lebam benyek kesan dipicit-picit.Nasib baik kat rumah ada lagi 6 biji mangga yang kawannya bawa buah tangan hari Ahad tu.

Chef Wan pernah sound mak- mak yang beli terung,bendi & mangga .Katanya orang pompuan kalau beli suka picit-picit ,pastu letak balik & bila nak betul- betul membeli tak amik yang picit tu tapi amik yang tak dipicit.Apa motif picit???

Hihihihihihi...

ORANG PENGASIH AKAN DISAYANG

 


Firman Allah Taala :

" Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Allah yang bersifat dengan sifat Ar-rahman itu akan menjadikan di dalam hati orang lain perasaan  kasih sayang (terhadapnya) ". (Maryam : 96).


Ada dua syarat untuk layak mendapat kasih sayang ini iaitu : 


✅ Beriman.


✅ Mengerjakan amal soleh.

Monday, 29 March 2021

SENGKUANG CALIT vs AIR KELAPA MUDA

 

Anak bujang saya belikan air kelapa muda bersama ais kiub dibungkus berasingan 


Air kelapa muda ni saya buat versi mak saya buat dulu- dulu.Kampung saya agak pedalaman.Kampug kecik sahaja tak sampai 100 rumah pun.Bentuk mukabumi berbukit menjadikan kampung sata terbahagi 2.Seberang bendang sana rumah- rumah di kaki bukit & tanahnya berpasir.Pokok buah- buahan subur termasuk pokok  kelapa.Seberang sini penempatan berselerak & tanah berbatu laterit membuatkan pokok kurang subur kecuali getah.Pokok kelapa jarang tumbuh.Seingat saya pokok kelapatokwan ada 2 pokok sahaja .itupun hanya sepokok berbuah & tinggi melangit.Kami memang tak akan makan kelapa muda kerana kelapa hanya untuk santan memasak sahaja.Sesekali kalau ada orang panjant kelapa @ emak terjolok kelapa yang muda,mak akan kukur kelapa tu kasar- kasar masukkan dalam jug bersama air kelapa.Kemudian mak akan campur gula & sikit garam.Minuman ini dinamakan "Kērek".Nama ini bukan ma daya yang bagi,tapi memang orang kampung saya panggil minuman ni sebagai kērek.

Ya Allah,sedap dan nikmatnya.Penggunaan sedikit garam tu yang memberikan kelainan rasa.

Hari ni sebab rindukan kenangan itu,maka saya buat minuman kērek yang pernah mak saya buat.Sayangnya isi kelapa ni sikit sangat kerana kelapanya baru belajar tumbuh isi.Hihihi..

Kalau kelapa muda yang isinya sudah keras lagi sedap.Lagi-lagi kalau isinya "digaru" dengan penggaru kelapa macam kat Thailand tu.Kalau mak saya dulu,kelapa tu dikukur kasar.



Anak bujang saya juga beli 3 keping sengkuang calit ni.Pun sedapnya kerana ini memang kuah merah macam dulu- dulu.Ada sesetengag penjual menggunakan kuah rojak buah.Saya tak gemar yang tu sebab rasa tak sama.Saya suka sengkuang kuah merah macam ni sebab rasa masih sama macam yang dibeli di kantin sekolah rendah tahun 80-an dulu.Dulu mak bagi duit belanja sekolah 10sen sahaja.Dapatlah beli sengkuang calit masa rehat.Minuman pula bawa teh 0 dari rumah.Balik sekolah tengah panas terik berbasikal dengan adik saya Achik,kami akan berhenti di mana-mana telaga orang kampung sepanjang jalan yang kami lalu.Hihihi,dulu  telaga dikampung- kampung memang open & public.Sesiapa sahaja boleh ambil air.Paling sedap airnya jika telaga tu dalam rumpun rumbia.Airnya sejuk sangat.Kalau bukan musim kemarau,kami minum sahaja air dari alur mataair yang mengalir dari bukit disepanjang jalan tanah merah tu.Siap kutip buah kemunting & senduduk sekali.Habis biru hitam mulut makan buah senduduk.Dulu tak takut pencemaran atau keracunan.Air mineral asli la kiranya...hihihi



Dulu harganya 10 sen.Sekarang harganya RM 2.50.


Sunday, 28 March 2021

PULUT PELAM KUAH SANTAN

 Musim mangga tengah murah.Mango is mangga.Mangga mean pelam @ Kedah.Pelam a.k.a pauh @ Pantai Timur.

Dulu- dulu zaman saya sekolah , dalam buku Bahasa Melayu selalu  jumpa perkataan mempelam.Jarang jumpa perkataan mangga.Kalau di kampung saya memang panggil Buah Pelam.


Hari ni buat Pulut Mangga aka Pulut Pelam


Buat versi kuah santan ala Thai.Kalau @ Kedah selalunya buah pelam masak ranum dimakan bersama pulut lemak tanpa kuah santan.Pulut kukus digaul santan + sikit garam,kemudian dibiar beberapa minit sebelum dihidang.Rasanya  memang lemak & pulutnya berkilat.
Kalau di kampung saya,pulut lemak biasanya  di hidang secara savoury  bersama gulai ayam,gulai daging,gulai udang,sambal ikan bilis,sambal ikan,ikan pekasam dan ikan masin.Pulut lemak juga selalu digandingkan dengan buah- buahan yang masak ranum & manis isinya seperti pisang emas,nangka,cempedak ,durian & mangga.Ada juga versi pulut dimakan bersama serawa pisang,serawa nangka,serawa labu,serawa ubi kayu,serawa keledek & serawa durian .Tapi pulut yang dimakan dengan serawa hanya dikukus kosong tanpa digaul santan kerana kuah serawa sudah lemak & manis.

Pulut Pelam @ rumah saya hari ni 

Kebetulan ada 2 orang rakan anak bujang saya datang selepas asar petang tadi.Saya masak mihun goreng.Mihun la yang paling ekspres nak masak kalau tetamu bagtahu last minutes @ datang mengejut.

Mihun goreng pedas.

Hidang bersama jeruk cili putih Sabah .

Maka pulut pelam sebagai pemanisnya.


Siram sos santan yang lemak masin


Sudukan sedikit pulut+ santan lemak masin+ mangga lunak & manis.Gandingan mantop untuk yang meminatinya.Selera tak sama.Ada yang suka makanan ini & ada juga yang tak berselera bila pulut dimakan dengan buah- buahan manis.

PULUT PELAM SOS SANTAN

Pulut:
1 kg pulut- rendam semalaman
3cawan santan pekat+ 1 sudu teh garam + 3 sudu besar gula pasir putih

(untuk dapatkan pulut lemak yang sedap & cantik,mesti guna santan segar)

1 helai pandan
1/2 sudu teh pewarna hijau
(jika suka pulut bewarna hijau)


1. Kukus pulut hingga masak
2. Santan dicampur garam,gula dan pewarna hijau..(jika suka pulut warna hijau)
3.Bila pulut masak...gaulkan pulut bersama santan tadi hingga rata..
Memang mula2 nampak macam santan banyak dan sedikit melekit bergaul santan.
Biarkan sekejap...Pulut akan menyerap santan  dan akan jadi berkilat
4. Jika nak terus makan x perlu kukus semula
    Lagi lemak pulut digaul santan tanpa dikukus
    semula..
TETAPI jika untuk tahan lebih lama...Kukis semula pulut bergaul santan ..TANPA ditutup ..
Ini untuk mengelakkan pulut menjadi lembik kerana wap berkumpul.

Sos Santan:

2 cawan santan pekat segar (santan segar lebih sedap berlemak)

(jika tiada boleh guna1 kotak santan + 1 cawan air)

1 helai pandan

1 sudu tepung beras@ tepung gandum

1 sudu teh garam


**Campur semua bahan & kacau atas api hingga mendidh & pekat. Sejukkan

***Sos santan biar agak masin untuk seimbang dengan manis buah pelam.


MALAM NI MALAM NISFU SYA'BAN

 Berbaki kurang lebih  15 hari lagi,in sha Allah jika diizinkanNya ,kita akan bertemu Ramadhan.Bulan penuh barokah yang dinantikan seluruh umat Islam.Malam Nisfu Sya'aban iaitu pertengahan Sya'ban,selalunya menjadi penanda aras untuk kita mengingati semakin hampirnya Ramadhan.


Cahaya bulan 14 Sya'ban ketika azan subuh pagi ini @ KL.Sungguh cantik sekali.Patutlah perempuan yang cantik diumpamakan bagai bulan purnama.

Ketika dikampung zaman sekolah ,saya memang menantikan bulan purnama kerana kampung saya agak pedalaman & tiada elektrik.Cahaya bulan penuh akan menerangi seluruh alam,& itulah peluang kali menikmati pemandangan malam yang indah.Paling penting cahaya bulan 15hb hingga 25hb mengikut calendar Islam sebab tarikh- tarikh tu bulan lambat tenggelam & masih terang waktu pagi.Dapatlah berbasikal ke sekolah berteman cahaya bulan.Kalau tiada bulan penat kena guna tenaga lebih nak kayuh basikal yang ditekan dynamo pada tayar basikal untuk menyalakan lampu basikal.Hihihi zaman saya dulu dynamo tu untuk nyalakan lampu basikal .Budak sekarang Dynamo tu depa hanya tahu sabun cecair basuh kain.

 Jika bulan tiada,seluruh kampung kami gelap gelita namun indah dihiasi kerdipan cahaya kelip- kelip yang sungguh banyak pada ketika itu.  Tahun 1988 baru ada bekalan elektrik.


Menjelang 6.30 pagi bulan kian menghampiri ufuk barat.Berakhirlah cahaya 14 Sya'ban & sama- sama kita nantikan & mengimarahkan malam nisfu Sya'ban bermula maghrib nanti iaitu sebaik sahaja terbenamnya matahari


Daripada Abu Musa al-Asy’ari RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

إِنَّ اللَّهَ لَيَطَّلِعُ فِي لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ


Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT melihat pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. [Riwayat Ibn Majah, no. Hadith 1380] Imam al-Zahabi mengatakan hadith ini dhaif disebabkan terdapat pada sanadnya Ibn Lahi’ah. [Lihat: Talkhis al-‘ilal al-Mutanihiyah, 184]

 

Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

إنَّ اللهَ تعالى يَنْزِلُ ليلةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ إِلَى سَمَاءِ الدُّنْيَا ، فيَغْفِرُ لِأَكْثَرَ مِنْ عَدَدِ شَعْرِ غَنَمِ كلبٍ


Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT turun ke langit dunia pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan sebanyak bilangan bulu kambing pengawal”. [Riwayat al-Tirmizi, no. Hadith 670] Al-‘Aini mengatakan hukum hadith ini adalah munqathi’. [Lihat: ‘Umdah al-Qari, 11:116]

 Sumber info:

https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/1121-irsyad-al-hadith-siri-ke-70-kelebihan-malam-nisfu-sya-ban






Saturday, 27 March 2021

SAMBAL BERLADO IKAN TONGKOL,KAILAN IKAN MASIN & TELUR DADAR

 Semalam Adah wasap.Dia tanya dia nak masak ikan tongkol yang saya lengat tu,boleh tak? Alhamdulillah...boleh sangat aih ceq oii....

Walaupun plan asal saya ikan tongkol lengat tu saya nak masak nasi dagang weekend nanti,tapi bila anakanda offer nak masak pastilah saya dengan senang hati sanggup beli lain ikan tu untuk plan weekend nanti.Hihihi


Adah kata ikan tu dia buat masak berlado.Kailan ikan masin & telur dadar untuk abangnya


Inilah 3 lauk yang Adah siap masakkan.

Telur dadar ni kalau saya yang masak haruslah saya buat telur dadar garing rangup ala kedai tomyam tu.Tapi sekarang saya perasan anak-anak dah tak suka telur dadar yang saya masak.Depa lagi suka buat sendiri telur dadar kurang minyak & yang saya tak boleh terima depa langsung tak letak garam.Kata depa tak payah letak garam sebab lauk lain dah masin.Saya memang tak boleh terima alasan tu.Tapi dah depa yang nak makan,biarlah.

Kailan ikan masin ni memang sedap sungguh.Tapi ikan masinnya ada yang bertulang sebab Adah guna ikan gelama masin yang dikerat-kerat.Mungkin dia tak jumpa isi ikan talang dalam laci peti ais tu.Adah kata dia letak kiub ayam sebab tu sedap.Hihihi

Sambal berlado ikan tongkol ni saya nampak macam dia guna cili  merah + cili padi merah,sebab walaupun merah menyala tapi tak la sepedas menggigit lidah sangat.Kalau fully cili padi merah Bangladesh tu memang mengalir air mata.Ada serai juga.Adah kata dia terlebih masukkan air asam jawa.Tapi saya rasa ok sahaja.Dah dia kata saya komen tak telus.Dia kata komen tu saja nak ambil hatinya sahaja..

Pulakkkkkk......
Ok,Sambal tu tak sedap!
(walaupun sebenarnya sedap sangat)

Friday, 26 March 2021

SHOOPING ITU TERAPI BAGI WANITA

 Ada ke wanita yang tak suka shooping?

Shooping tak semestinya di mall.Kat tempat kerja pun sekarang ni dah macam little mall.Sebut sahaja nak apa,semua ada.Saya jarang pergi mall.Tapi kadang- kadang tak muat tangan juga bila balik kerja.Sebabnya bila ada yang open order dalam group,tak sedar teroder .Itu sikit,ini sikit.Eh,tiba- tiba sampainya pada hari yang sama..Nasib baik ada bawa duit.Hihihi


Nasi Kerabu..Tumpang order dari Kak Mel.


Boleh tahan nasi kerabunya lauk ayam goreng & telur masin hanya RM4.Murah kan..

Order juga pai tee dari Rose.Takkan nak order 1 jer kan..Tak tamak la cam tu..Hihihi

1 set ada 12 cup pai tee..+ 1bekas sayur siap cincang halus,1 bungkus sos & 1 pack kecil kacang tanah tumbuk.1set baru RM5.Rajinnya anak- anak bujang Rose cari duit poket.Anaknya 5 lelaki & yang bongsu sahaja perempuan.Tapi semua kerja rumah tip top ,kalah kita yang ada anak dara..Siap buat bznz kecil- kecilan dari rumah sementara belajar online ni..Ibu yang hebat!

Hasil kerja anak bujangnya.Kemas.Rose cakap suaminya yang banyak didik anak- anak jantan dia.Kalau tempat tidur tak kemaskan,bilik air tak bersihkan,suaminya akan jadi gorilla...Hahaha
Hasilnya anak- anaknya memang berdisiplin & serba boleh.

Kacang campur .Pun dapat hari ni juga .Order minggu lepas.Kacang tanah pedas+ cornflakes pedas + popia roll pedas.1 bekas ni RM 10

Eh,cili kisar pun main order jer sekarang.Macam dah tak pandai nak blend cili dah sekarang ni.Hihihi.
Sebenarnya sebelum- sebelum ni tak ada la pula saya pandai nak order macam- macam walaupun kawan- kawan open order macam-macam.Sampaikan ada yang kata saya kedekut.Semua nak masak sendiri,nak buat sendiri.Tak nak beli..Kedekut..Hihihihi...
Biarlah nak cakap apapun,kerana mereka mungkin bergurau.Hakikatnya,
kasut saya hanya saya yang tahu.Cuma lately ni,senang cakap sejak 2021 ni la  saya dah mula order itu ini bila ada yang open order.Dulu pun bukannya tiada nafsu untuk membeli,untuk shooping.Tapi semuanya kerana saya kena  ukur baju dibadan sendiri...

Ops,cakap pasal baju.Ni pun hari ni juga baru dapat.Baju T .Baju kelab.Order tahun lepas.Hari ni dapat.
Walau hanya shooping makanan ,tapi dah cukup jadi terapi.Hihihihi

Thursday, 25 March 2021

MANGGA 3KG RM10

 

Musim mangga tengah murah.Kat tempat saya 3kg Rm10..Ada tempat katanya 4kg RM10.....

Alhamdulillah,dalam mahal durian ,masih ada mangga murah untuk dinikmati..



Hari ni Adah buat 1 jug besar Jus Mangga ..


Menggunakan mangga segar dari kebun payung kuning tepi jalan tu.Hihihi


Macam nak beli lagi la dalam 10kg nak blend buat puree mangga & frozenkan untuk kegunaan bulan puasa nanti sebagai minuman.Sementara buah tengah murah ni.Jom kita pakat buat,nak tak?

Wednesday, 24 March 2021

RENDANG DAGING KERBAU BY ADAH

 Semalam Adah masak rendang daging

Rebus la nasi impit


Lately rasa macam selalu pulak makan rendang & nasi impit .Dah macam raya .Adakah ini petanda nak dapat balik raya tahun ni?

update:
Tapi nampak gaya macam kena bertabah sahaja beraya di perantauan lagi tahun ni..huwaaaaa


Rendang by Adah

Rasanya macam daging kerbau.Agaknya daging kerbau ni.Sebab daging ni Achik yang belikan masa balik bulan Januari  hari tu.Masa tu kan dapat rentas negeri sekejap tu sebelum PKP semula

Rendang Daging Kerbau & Nasi Impit

Bekal anak bujang.Mak tak bawa bekal sebab dah order makanan kat tempat kerja...