Thursday, 31 December 2020

BUAH JAMBU KELING

Penatnya rasa sejak sebulan dua  ni. Banyaknya kerja nak dibereskan.Mujur minggu lepas hampir selesai. Apapun alhamdulillah, kerana penat bekerja dan ada gaji, ada rezeki.Astaghfirullah... Semoga Allah ampunkan dosa. Berapa ramai lagi diluar sana penat memikir kerana tiada kerja.Huhuhu.... 


Jambu Keling... Post  terakhir  2020.Esok dah 2021..

Jambu Keling. Memang itu nama yang orang kampung saya beri kepada buah ini. Walaupun ada yang panggil jambu bol,jambu bola, jambu apa lagi ek. Tapi kalau orang kampung saya memang panggilnya jambu keling. Sejak beberapa bulan ni, buah ni asyik lalu lalang..Terliurnya nak makan....

Nak jadi rezeki.. 


Tengok dalam group komuniti ada orang Kelantan jual.. Terus gi beli. Sekilo Rm10. Walaupun, saya bukan pecinta buah-buah masam. Bukan juga penggemar colek atau menyicah kerana gigi mudah ngilu kalau makan buah masam. Tetapi saya begitu beria-ia sangat nak beli buah jambu keling ni lebih kepada kerinduan pada masa lalu. Harapan saya, bila saya beli buah jambu keling, anak-anak akan mencuba & bertanya untuk saya ceritakan pasal buah jambu keling ni. Tapi, memang tak lah.... Depa tak hairan pun
Tak jeling pun.. 
Takpa lah, sekurang-kurangnya saya dah kenalkan kepada mereka. Walau teringin untuk mekan, tapi gigi memang ngilu. Kunyah jugalah sebiji...hihihi




Buah jambu tiga serangkai, 
Datang dari tanah Jawa, 
Apa ilmu cik adik pakai, 
Makin dipandang makin katawa. 



Setiap kali nampak jambu keling saya akan teringat kisah tu. Sekarang, geng nak curi jambu keling tu semua sudah tua pun. Semua sudah bercucu pun kecuali saya & kak Syun. Tapi Pak Din yang lebih tua daripad emak saya, masih lagi sihat bila berjumpa sesekali ketika balik kampung. Saya tidak pasti Pak Din & semua geng pencuri tu masih ingat atau tidak peristiwa ini.Tapi saya memang tidak lupa. Semua cerita & watak dalam cerita ini memang benar-benar wujud & cerita di atas juga memang benar-benar berlaku. Tapi bila sudah dewasa tiada lagi dag perangai kanak-kanak tu... Dengan Pak Din pun dah lama minta halal pasal jambu tu.. Hihihihi.. 


Jambu Keling.... Sejenis flora yang pernah mencipta kenangan dalam hidup saya. 

ICE CREAM ROTI PELANGI

 

Roti Pelangi dengan Vanilla  Ice Cream 

Kata Cella tengah viral sekrang. 
Entahlah, saya tak tahu pun
Yang saya tahu tahun-tahun 90's dulu memang ada motor bunyikan loceng ting, ting, ting, ting! lalu  lalang kat kuaters setiap hari. Berlari la si abang & Adah turun beli ice cream kapit roti.. Masa Adah & abangnya masih kecil, adik saya Achik,pernah tinggal. dengan saya sekejap,masa baru posting KL. Setiap petang, dia sampai rumah dulu dari saya. Jadi, dia akan amik budak 2 ketoi tu dari rumah baby sitter(Cella belum wujud) & bawa depa beli jajan bagai sementara tunggu saya balik.Biasanya maghrib baru sampai rumah. Babu & ice cream memang Achiknya belanja la. Tapi dulu ice creamnya yang pelangi. Roti bun tu putih plain sahaja. 
Sekarang dah sebaliknya. Roti pula yang pelangi, Ice cream plain. Gitulah kitaran hidup pun. Hari ni suram,esok gembira. Suka duka silih berganti. 

Hari tu nampak roti pelangi ni. 
Cella cakap nak beli makan ngan ice cream. 
Rotinya super fluffy, dah macam kapas. 
Saya tak minat sangat roti yang terlalu lembut gebu macam tu. Pada saya macam makan cotton candy jer. Saya suka roti yang keras. Kalau dapat sourdough bread, huh sukanya saya. Roti yang kasar-kasar texture dia macam tilam dunlop dulu-dulu. Hihihi
Rasa puas gigit, kunyah lama-lama baru telan. Rasa puas dimulut, ditekak dan kenyang dia lama. Pau pun macam tu, saya suka pau kampung yang kasar-kasar lubang nya. Kalau pau sekarang ni memang nampak cantik gebu putih melepak macam kapas tapi bila makan kurang feel.. Itu tekak saya la.. Selera kita tak sama. Bak kata mak saya, kalau semua selera sama, kain kat kedai tu tak payah buat banyak corak.. Hihihi.. 

Bila tengok warna pelangi ni saya teringat cikgu Sains saya masa darjah 6 dulu.. Sebenarnya dulu saya sekolah itulah cikgu kelas, itulah cikgu Bahasa Melayu. Itulah cikgu PJ, cikgu Ilmu Kesihatan, cikgu Tatarakyat, cikgu Matematik, cikgu Lukisan, cikgu Sejarah, cikgu Ilmu Alam, cikgu Sains. Semuanya cikgu tu borong ajar semua subject,merangkap cikgu kelas. Yang cikgu lain ajar hanya English & Agama. Yang nak cakapnya cikgu kelas iaitu Cikgu Shuib bin Ariffin(saya hafal nama bapak cikgu tu sekali.. Hihihi) merangkap cikgu Sains tu ajar formula nk hafal susunan warna pelangi. Formula warna pelangi tu susunannya dari atas ialah... 

Minah =Merah
Jumpa =Jingga
Kekasih = Kuning
Hati =Hijua
Bawa =Biru
Ikan = Indigo (biru nila) 
&
Ubi = Ungu

Formula tu masih melekat dalam kepala saya sampai hari ni. Walaupun masa sekolah menengah ada cikgu lain ajar formula yang lebih moden

Michael 
Jackson
Kena
Halau
Balik
India
Utara

Tapi saya lebih melekat dengan Minah. Mungkin sebab saya lebih jiwang dan kekampungan, maka Minah lebih melekat dari Micheal Jackson tu.. Hihihi

Kalau ice cream pula. Saya paling suka vanila & jagung. Paling saya tak suka perisa coklat. Coklat saya suka. Tapi kalau ice cream coklat saya tak suka sebab rasa macam tanah.. Hihihi

KELAZATAN BERIBADAH

 

Ibadah menjadikan jiwa rasa seronok. Setiap keseronokan akan berakhir kecuali keseronokan dalam beribadah .Setiap kelazatan akan berakhir kecuali kelazatan dalam melakukan ketaatan.


Sesiapa yang melazimi zikrullah dia pasti akan masuk dua syurga iaitu syurga dunia dan syurga akhirat.

 

(Abdul Aziz Ad-Dumaiji)

Wednesday, 30 December 2020

NASI LEMAK ALA KENNY ROGERS?

 Semalam pagi saya masak nasi lemak. Nasi lemak sambal bilis, sambal ikan & ayam goreng. Bunyi macam mewahnya lauk.. Tapi ayam ada 3 ketul sahaja. Itupun ayam goreng  frozen. Sambal Ikan tu pula semalam tu punya yang dimasak sambal dengan udang tu,udang habis, ikannya berbaki lagi sekor.Sambal bilis wajib la dah nama nasi lemak kan... Hihihi.. 

Ni Cella la kata Nasi Lemak Ala Kenny Rogers. Dia kata kalau kat Kenny Rogers set nasi lemaknya ada ayam goreng & ada 1 muffin.Saya tak tahu pun sebab seumur hidup seingat saya, saya pernah sekali sahaja kot masuk Kenny Rogers. Itupun saya masuk sahaja & tak makan pun... Jangan kata tak pernah masuk la.. Hihihi.. Nama sahaja dah lebih 20 tahun dok KL tapi saya  agak Jakun(guna perkataan jakun ni, jangan puak Jakun pula saman sudah.. Hihihu) 



Cella, kakak & abangnya saya pesan suruh amik ayam tu sorang seketul. Kebetulan hanya ada 3 ketul ayam goreng segera dalam freezer tu. Goreng untuk depa sahaja la. 


Semua makan alas dengan kertas nasi lemak ni. Sebabnya tiba- tiba pula sinki tu buat hal lagi sekali. Slow sahaja airnya. Jadi, saya letak kertas pembungkus makanan  ni & pesan semua.. Sapa nak makan, sila alas pinggan dengan kertas tu & hati-hati jangan kotorkan pingan.  Kertas tu memang ada stok untuk bungkua bekal


Depa lagi suka la.. Tak payah basuh pinggan. Lepas makan hanya lipat-lipat & buang dalam bakul sampah. Tapi tu la, sebab ayam hanya ada 3 ketul, nasi pula saya masak banyak. Memang tak habis la. Padahal saya masak sambal bilis banyak, Depa tak pandang la pulak nasi lemak biasa. Malam anak bujang tu keluar, beli pula char kue teow. Memang tak habis la nasi lemak tu. Nasib baik saya masak nasi lemak kukus, jadi boleh ulang panaskan supaya tidak basi. 


Mak punya.. Nasi lemak sambal ikan. Ni baki  sambal ikan semalamnya. Saya panaskan & tambah sekeping ikn tenggiri goreng..Jadilah sambal 2 jenis ikan. Tapi saya lagi suka ikan selayang ni..


Nasi lemak sambal ikan. Dulu zaman sekolah, kalau balik sekolah, kalau mak saya masak sambal ikan, sukanya. Tapi mak saya tak panggil sambal. Mak saya cakap ikan masak cabai. Kalau sambal ayam pun mak akn sebut ayam masak cabai. Hanya sambal bilis, udang atau sotong dipanggil sambal. Tapi kalau mak saya masak sambal ikan & ayam, mak akan letak serai & kunyit hidup masa giling cabainya. Ya Allah, sedapnya. Dapat gaul kuah pun dah sedap.Kuali yang mak masak sambal tu pun berebut gaul nasi dalam tu. Nasi yang digaul dalam kuali sambal tu sedap dia lain macam. 

SYAITAN MUSUH YANG NYATA

 


Firman Allah : 

" Dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan,  sesungguhnya Syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu".(Al Baqarah:208).


Perkara haram sukar pada awalnya kemudian ia menjadi mudah kemudian  ia diterima kemudian ia menjadi jinak , kemudian ia menjadi seronok, kemudian ia terlekat di hati kemudian hati akan teruja mencari perkara haram yang lain pula.

Tuesday, 29 December 2020

Monday, 28 December 2020

MUFFIN PISANG FROZEN

Tengah musim pisang.. Hihihi. Sebenarnya masih lagi menu pisang. Pisang setandan yang Ita bagi hari tu sebab masaknya serentak memang tak sempat nak makan sekaligus. Saya buangkan biji pisang tu & buat 4 bungkus berasingan anggaran 1 bungkus tu 2 cawan pisang lenyek & frozenkan. Dapatlah bertahan lama. Sebungkus sudah dijadikan lepat.Sebungkus saya buat muffin pisang ni


Muffin Pisang ni saya masak awal pagi semalam. Pagi-pagi lagi rumah berbau harum muffin pisang dibakar. 


Antara kuih yang mudah nak buat. Leburkan semua. Sudukan dalam paper cup & masukkan dalam oven. Dah boleh buat kerja lain. Sebenarnya memasak guna oven ni seronok sebab tak payah nak control api dan tak payah nak kacau bagai. Sebab tu nampak wanita-wanita barat mereka banyak leisure time sebab banyak masak guna oven. Tapi tu la...kos bahan masakan barat macam mahal la pulak walaupun cara masak mereka nampak mudah. Itu yang mata saya la nampak. Hakikat sebenar tak tahulah sebab tak pernah masuk dalam kasut depa. Hihihihi


Muffin Pisang ni memang guna pisang yang saya dh lenyek & frozen. Pisang frozen ni keluarkan sekejap sahaja. Dalam 5 minit sahaja  sudah nyahbeku. Memula ingat nak buat cekodok sahaja untuk sarapan sebab nak terus masak lunch. Tapi dah reheat pisang tu teringat nak buat muffin pula. Kalau buat cekodok, kadang saya sorang makan.Bila tak habis, sayang kalau dibuang. Kalau masak muffin boleh tahan lama.Makan panas-panas pun boleh, makan sejuk pun sedap. Lagi lama lagi moist & bertambah sedap. Selongkar "mini bakery store" cari paper cup & bahan lain. Setor mini saya tu tong Toyogo yang besar tu jer. Hihihi. Segala mak nenek bahan bakery saya susun dalam tu.Kadang bila sesekali selongkar memang feel macam masuk kedai bakery la. Padahal tong Toyogo jer kot.. Hihihi... 


Sambil Cella melayan online class, sempat dia pesan suruh letak coklat chip. Saya tak suka coklat chip. So, saya buat 2 versi. Plain & versi coklat chip.Selalu kalau baking Cella yang excited nak buat tapi ni dia tengah class. Tapi kejap-kejap dia datang jenguk. Pic-pic yang terang tu Cella yang snapkan. Yang kelabu asap skit tu saya snap sendiri. Hihihi... 




Dapat 15 pcs. Saya masukkan sikit essn pisang untuk serlahkan keharumannya. 



MUFFIN PISANG
2 cawan pisang lenyek
3 cawan tepung self raising
1 cawan gula perang
1 cawan minyak jagung
2 biji telur
1/2 cawan coklat chip (jika suka) 
1/2 cawan almond flakes(jika suka) 
1/2 sudu teh soda bikarbonat
1/2 sudu teh garam
1/2 sudu teh esen pisang
15-20  paper cup tebal

1. Pisang lenyak dicampur garam dan soda bikarbonat. Biar 5 minit. 
2. Masukkan telur dan gula perang. Kacau hingga gula larut. 
3. Tambah minyak jagung & esen pisang. 
4. Kaup & balikkkan tepung sikit demi sikit hingga adunan agak pekat macam cekodok pisang. Tambah coklat chip jika suka
5.Sudukan ke dalam paper cup & taburkan almond flakes. Sementara tu panaskan oven 180°
6. Bakar selama 20-25 minit. Cucuk dengan lidi, jika lidi yang keluar tu bersih tiada kesan adunan melekit, tandanya kuih sudah masak. 


Saya memang tak suka coklat chip. So, saya sudukan yang plain tu dalam 5 cup & baru saya tambahkan coklat chip dalam adunan selebihnya. 


Sejukkan atas redai sesambil masak lunch. Makan panas-panas atas dan bawah kuih garing sedap. Kalau makan dah sejuk pula rasa moist. Saya suka haruman esen pisang. Tapi kena hati-hati masa tuang  sebab kalau terlebih letak pedih hidung baunya & silap-silap tak boleh nak telan kuih tu sebab bau dia kuat kalau terlebih letak. 

SAMBAL IKAN + UDANG vs MASAK LEMAK PUTIH SENGKUANG + SUHUN

 Panjang judul entri hari ini. Tapi lauknya 2 jenis sahaja.Panjang tajuk enti ni, panjang lagi cerita saya di bawah.... Hihihi

Sambal Ikan + udang. Lauk lunch semalam. 
Minggu ni memang x ke pasar langsung. Hanya mengorek peti beku mecarI fosil-fosil zaman purbakala sahaja.. Hihihi dhaif naw bunyi nya kan. Habit buruk saya suka menyumbat simpan makanan sampai terlupa. Saya selalu ada perasaan terlalu takut kehabisan makanan & akibatnya akan terjadilah longgokan fosil di kutub utara membeku keras dalam iglu tu. Hahaha, saya mudah terpengaruh dengan chanel Nat Geo Wild & kalau kat Hip TV saya selalu terperangkap dalam chanel Nat People. Malam semalam tengok pasal program penempatan semula nomad-nomad kutub di Iqaluit yang dilakukan oleh kerajaan Canada. (Kira macam penempatan semula orang asli la kat Malaysia ni) . Nama Iqaluit tu saya ingat sebab saya terjemahkan dalam bahasa Kedah jadi  i qaluit = saya kaluit. Kaluit tu kalut @ gelabah... hihihi) Dari dokumentari tu diceritakan bahawa mereka sukar menyesuaikan kehidupan baharu kerana sudah terbiasa kehidupan ringkas  iaitu memburu binatang untuk makanan & tinggal dalam khemah & igloo dalam suhu sehingga pernah mencecah - 50°C.Bila dipenempatan baharu mereka perlu servive dengam cara hidup baharu. Perlu mencari pekerjaan baharu, komitmen baharu seperti bil utiliti etc & budaya baharu. Kesannya dicatatkan kes bunuh diri yang tinggi.Saya hanya menulis apa yang saya tengok dalam dokumantari tersebut. Saya belum pernah mejejak kaki ke sana. Tapi bila tengok ramalan cuaca dunia hari ini suhu Iqaluit - 12°C dibawah paras beku.Matahari akan terbit pada pukul 9.22 pagi dan terbenam pada pulul 13.48pm.Pendeknya siang di sana . Syukur kita di bumi bertuah Malaysia ni sejuk tidaklah seperti salji, panas pula tidaklah seperti di gurun. Alhamdulillah... 
Meraban sampai ke Canada la pulak..Jom balik Malaysia... Hihihi. 



Sambal Ikan+Udang ni terjadi kerana hasil korekan dalam freezer jump ikan 3 ekor & jumpa udang adalah dalam 10 ekor kot. Rasanya udang tu saya beli nak buat rencah kue teow dah berbulan tu. Hihihi



Masak la dua makhluk laut ni menjadi sambal tumis. Saya ada jemputan majlis pertunangan anak jiran, tapi kena la juga masak untuk di rumah. 


Selain Sambal Ikan + Udang, saya juga masak sayur lemak putih sengkuang +suhun. Kalau masak lemak putih memang sesuai berjodohan dengan sambal tumis ni. 


1st time makan sayur lemak sengkuang ni masa darjah 5.Masa tu masih tinggal kat kampung lama. Emak saya buat masak lemak putih sengkuang ni bila bapa saudara beli sengkuang & ikan minta  mak masak. Bapa saudara tu abang ipar mak saya. Isterinya kakak mak saya merangkap mak sedara saya. Masa tu mak sedara saya ni pergi menjaga anaknya bersalin di Sabah hampir setahun lamanya. Bapa sedara ni tak ikut sebab kerja. Kerjanya pula dikilang padi  di bandar. Setiap petang waktu balik kerja, bapa sedara ni akan beli ikan & sayur minta mak saya masak.Makanan tu dibahagi 2.Sebahagian untuk bapa sedara dan sebahagian  lagi sebagai upah mak masak. Kemudian mak masukkan bahagian bapa sedara tu dalam sia(mangkuk tingkat) dan saya hantar ke rumah bapa sedara ni. Seronok kemain saya sebab setiap hari dapat makan sedap. Selalu mak masak ikan kering atau ikan sawah sahaja yang mak pancing. Tapi tidak lama lepas tu mak dah tak nak lagi masak untuk bapa sedara tu.Kata emak tidak manis emak selalu masak untuk bapa sedara tu kerana bapa sedara tu adalah ipar & bukan abang kandung. Masa tu saya langsung tidak boleh terima kerana pada saya apa yang salahnya. Yang sebenarnya saya sedih sebab kembali makan ikan kering & tak dapat lagi makan lauk sedap terutama sayur lemak sengkuang  yang sedap tu. Sampai hari ini, saya masih ingat kesedapan masak lemak putih sengkuang tu. Sesekali saya akan masak untuk menikmatinya seorang diri kerana anak-anak memang tidak akan makan. Biarlah saya makan bertemankan kenangan lalu yang penuh warna warni. Mengenang bukan untuk kembali. Tepi lebih kepada teringat sahaja. 


Kesudahannya hanya Cella yang makan nasi berlaukkan sambal tu. Saya ajak Adah temankan ke jemputan jiran tu kerana Cella nak siapkan assigmentnya. Adah temankan separuh jalan sahaja kerana dia nk keluar makan dengan Ziha kawannya. Di majlis tu saya hanya makan kuih kerana selera saya tertinggal di rumah untuk makan sambal & masak lemak putih sengkuang yang penuh kenangan. Hihihi



CARA ORANG MUSLIM KELUAR DARI KESEMPITAN & KESEDIHAN

 

Kita semua bersedih ...

tetapi  .....

Siapa yang sekiranya dia bersedih : 

- akan bertambah zikir dia kepada Allah.

- akan bertambah sujud dan rukuk dia kepada Allah.

- akan bertambah lagi ketukan pintu langit (untuk mengadu kepada Allah)


# Begitulah cara seorang muslim itu keluar daripada kesempitan dan kesedihan .


(Dr Ahmad Isa Al Ma'sarawi)

Sunday, 27 December 2020

KE MAJLIS BERTUNANG ANAK JIRAN

 

Pelamin bertunang... Bukan kat rumah saya. Ni rumah jiran.Baru sahaja balik dari rumah jiran. Ada buat Majlis Pertunangan anak gadisnya. Majlisnya pukul 2 petang. Tapi kita jenjiran ni pakat gerak pukul 4 tadi.Biar pihak lelaki dah selesai dulu. Sekarang kan SOP nya jangan bersesak. 

Hantaran dari pihak lelaki. Sempat juga la snap sesambil tengok pelamin. Masa sampai tadi pihak lelaki belum balik.Mak-mak kalau tak dapat tengok pelamin dan hantaran memang tak puas la kan.. Ingat nak tengok semua hantaran lelaki perempuan sebab nampak banyak.Setiap pihak nampak berbelas juga bekasnya.Sebelah lelaki temanya pink. Dari perempuan temanya gold(tak sempat snap) Bila tengok anak orang bertunang. Berdebar pula rasa.Anak-anak kita juga dah teruna & 2 anak dara tu. Bagaimana lah nanti bila sampai jodoh mereka. Takutnya nak menguruskan majlis & nak melalui semua itu. Huhuhu.Apa lagi yang mampu dilakukan selain doa memohon agar Semoga Allah mudahkan segala urusan di dunia dan akhirat nanti.


Trend sekarang, majlis tunang juga sudah ada pelamin.Seingat saya tahun-tahun 80's bertunang kalau di kampung saya dibuat senyap-sanyap dihadiri keluarga terdekat sahaja. Tiada majlis sarung cincin. Cincin dan hantaran yang dibawa diserahkan kepada keluarga perempuan & biasanya 3 bekas berbalas 5  sahaja untuk majlis bertunang. Tapi kenduri kahwin memang wajib tumbangkan seekor atau 2 ekor lembu atau kerbau. Masuk tahun 90's mula dibuat secara sedikit terbuka. Jiran terdekat sudah dijemput. Hanya kenduri kecil-kecilan & tiada pelamin bagai. Anak dara duduknya dalam bilik. Hanya wakil pihak lelaki masuk sarungkn cincin dalam bilik & anak dara memang kekal dalam bilik hingga pihak lelaki berangkat pulang. Tahun - tahun 90-an lah saya sudah gatal bertunang. Baru habis sekolah  Belum habis belajar pun. Baru setahun di college sudah bertunang. Tapi masa tu bukan sahaja saya yang kahwin awal. Memang ramai batch saya yang kahwin awal. Umur 18/19 sudah ramai berkahwin walaupun masih belajar. Ada yang umur 16 pun sudah berkahwin kerana zaman tu kalau fail SRP memang tak dapat naik form 4.So,yang tidak dapat sambung belajar memang dikahwinkan. Saya cukup risau masa tu. Kita dah la rupa tak semenggah, kalau gagal SRP siapa  lah  yang hendak bermenantukan kita ni... Hihihi. Alhamdulillah lulus SRPnya, SPMnya & walaupun masa tu belum berjaya lagi masuk U, dapat la naik form 6.Sekurang-kurangnya lega tidak perlu fikir kahwin. Alhamduliiah lepas tu berjaya sambung college, pastu gatal nak kahwin. Now sedar-sedar anak dah bujang teruna & anak dara. Semoga Allah mudahkan urusan kami & kita semua. Amiinn... 

LEPAT PISANG TEPUNG BERAS

 Kudapan petang semalam.. 

Lepat Pisang Tepung Beras. 


Setanda  Pisang yang Ita bagi hari tu masih berbaki. Saya asingkan biji & lenyek serta frozenkan.Ada 3 bungkus yang difrozen. Sebungkus saya masak lepat pisang ni



Daun pisang ni pun pemberian Ita juga. Daun dari pokok pisang yang ditebang ambil buah tu. Tapi daunnya agak keras lah sebab dari pokok pisang tua. Sekeras-keras daunnya pun, jauh lebih baik dari daun pisang beli. Daun pisang beli kebanyakannya daun pokok pisang hutan yang tumbuh liar dalam hutan tu. Kalau untuk bungkus nasi lemak cantik la. Tapi kalau untuk kuih kukus, daunnya akan hitam bila sudah dimasak. 

Lepat Pisang Tepung Beras. Saya suka guna tepung beras untuk lepat pisang kerana kuih lebih lembut dan harum. Boleh guna tepung gandum tapi kalau terlebih tepung, kuih akan liat & keras. Kalau guna tepung beras, kuih lebih lembut & kalau terelajak tepung pun kuih hanya sedikit keras tetapi tidak liat kerana tepung beras tiada glutin. 


LEPAT PISANG TEPUNG BERAS
2 cawan pisang lenyek
2 cawan tepung beras
1 cawan kelapa parut putih
1/2 cawan gula
1/2 sudus teh garam
10-15 keping daun pisang(layur)

1. Gaul pisang lenyek dengan tepung, gula, garam, kelapa & kacau sebati
2.Bentangkan daun pisang & sudukan 1-2 sudu adunan pisang keatas daun pisang
3. Bungkus kemas & kukus 15-20 minit hingga kuih masak. 
4. Hidangkan panas atau sejuk bersama minuman panas

DOA TETAPKAN IMAN

 

Firman Allah ;

' Dan Kami telah teguhkan hati mereka ' ( Al-kahfi: 14)  .

Jangan sekali kali kamu terpegun dengan keadaan dirimu yang baik dan kuat istiqamah itu .

- Hati boleh berubah .

- Hati boleh berpaling.

- Hati boleh menyeleweng .


Yang boleh menetapkan hati hanyalah Allah s.w.t sahaja.


Ulang sentiasa doa ini :

يا مقلب القلوب ثبت قلوبنا على دينك. 

"Wahai Tuhan kami tetapkanlah hati hati kami di atas agamamu ini".

Saturday, 26 December 2020

KUDAPAN PETANG - INANG-INANG

 Kudapan petang.... 


Ada stok inang-inang.. 


Goreng sahaja macam keropok


Colourfull

Goreng jugak biji gajus kawankan dengan  inang-inang


Gajus tu asalnya beli nak buat ayam gajus
Tapi belum buat-buat lagi
So,separuh kita paw makan dengan inang-inang